Monday 30 March 2015

#KitaLawan: Polis Serbu Pejabat PKR


Diterbitkan: Ahad, 29 Mac 2015 6:04 PM
  (Ubah saiz teks)
PETALING JAYA: Enam anggota polis menyerbu Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini pada petang Ahad dipercayai bagi mengambil barang bukti berkaitan perhimpunan haram #KitaLawan.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil mendakwa anggota polis berkenaan memecah masuk pintu pejabat Setiausaha Agungnya, Mohd Rafizi Ramli.

Ketika serbuan, Rafizi yang direman sejak Jumaat lalu untuk disoal siasat mengikut Akta Hasutan 1948 turut dibawa ke lokasi ditemani peguam dan Ahli Parlimen Kapar, G. Manivanan.

Dakwa Fahmi, antara barang yang dirampas anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi itu ialah empat komputer, sepucuk surat pekeliling berkaitan perhimpunan #KitaLawan serta kenyataan media berhubung perhimpunan yang sama.

Lembaga Pengampunan Lupus Petisyen Kes Liwat Anwar


Diterbitkan: Jumaat, 27 Mac 2015 11:00 AM
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Petisyen pengampunan diraja berhubung hukuman penjara lima tahun terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang difailkan keluarganya telah dilupuskan.

Bagaimanapun tidak dinyatakan status permohonan tersebut.

Ia hanya akan akan diumumkan dalam Mahkamah Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas di sini pada Rabu depan, kata peguamnya N. Surendran.

#KitaLawan: Reman Ditolak, Khalid Samad Bebas


Diterbitkan: Ahad, 29 Mac 2015 4:30 PM
  (Ubah saiz teks)
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang ditahan kerana terlibat dalam perhimpunan #KitaLawan pada Sabtu dibebaskan selepas polis gagal mendapatkan permohonan reman terhadapnya.

Peguam Michelle Yesudas menerusi Twitter memberitahu bahawa majistret Nurul Ain Abd Rahim turut menolak reman ke atas dua pelajar universiti yang ditahan berhubung perhimpunan sama.

"Dua pelajar universiti ditangkap semalam dan Khalid Samad bebas, reman ditolak," demikian tulis Michelle.

Pada awal pagi Ahad, Khalid yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat ditahan di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan #KitaLawan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Zainuddin Ahmad berkata, Khalid ditahan di kediamannya di Shah Alam, kira-kira 3.20 pagi Ahad.

Friday 27 March 2015

Bekas Pegawai Tadbir Saman Naib Canselor UUM


Diterbitkan: Khamis, 26 Mac 2015 9:24 AM
  (Ubah saiz teks)
PETALING JAYA: Seorang bekas Pegawai Tadbir Universiti Utara Malaysia (UUM) memfailkan saman terhadap Naib Canselor UUM, Datuk Mohamed Mustaffa Ishak kerana didakwa menamatkan perkhidmatannya di universiti itu tanpa mengikut prosedur undang-undang.
Plantif, Shayzan Amir Endut, 41, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman melalui Tetuan Azam Aziz & Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, kira-kira pukul 2 petang Rabu.
Syahzan yang sebelum ini merupakan Pegawai Tadbir Gred N41 di UUM menamakan Mohamed Mustaffa sebagai defenden pertama dan UUM sebagai defenden kedua.
Peguam plantif, Mohd Khairul Azam berkata, Syahzan mengetahui tentang penamatan perkhidmatannya melalui Tuan Pendaftar pada 25 Februari 2015 dan menerima surat penamatan perkhidmatan pada hari yang sama.
Jelasnya, surat yang ditandatangani Pendaftar, Mohamad Akhir Yusof bagi pihak Naib Canselor UUM menyatakan penamatan itu berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JPU) yang ke-205 Bil. 1/2015.

Guan Eng menang saman lagi, dapat RM550,000


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan ketua penerangan PERKASA, Ruslan Kassim serta tiga syarikat akhbar membayar ganti rugi RM550,000 ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Tiga syarikat akhbar berkenaan, New Straits Times (M) Bhd, Berita Harian Sdn Bhd and Utusan Melayu (M) Bhd diperintahkan berbuat demikian atas fitnah yang dibuat ke atas Lim.

Ia bagi ganti rugi teruk dan teladan atas satu tulisan pemimpin PERKASA itu kerana menuduh Lim menjadi perisik Singapura.

Hakim Datuk Nor Bee Ariffin memerintahkan PERKASA membayar RM150,000 manakala NSTP (M) Bhd dan Utusan diperintahkan membayar RM200,000.

Beliau juga mengarahkan ketiga-tiga pihak terbabit membayar kos RM20,000.

Tuesday 24 March 2015

Protes GST Di Kompleks Kastam Kelana Jaya Satu Pencerobohan - KPN


Diterbitkan: Selasa, 24 Mac 2015 7:44 AM
Khalid Abu Bakar
Tan Sri Khalid Abu Bakar
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Mereka yang terlibat menyerbu masuk ke Kompleks Kastam di Kelana Jaya ketika mengadakan demonstrasi membantah pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana menceroboh.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis Selangor sedang meneliti kes berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

"Ini merupakan satu pencerobohan yang mereka lakukan dan biarlah pihak polis Selangor meneliti dulu kedudukan mereka terbabit," katanya kepada pemberita selepas Majlis Bacaan Yassin sempena Peringatan Hari Polis yang ke-208 di Masjid Bukit Aman, di sini, malam Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai mereka yang terbabit dalam protes GST yang ditahan selepas bertindak menyerbu masuk ke kompleks berkenaan pagi tadi.

3 pekerja BFM disiasat isu video hudud



Polis hari ini merakamkan kenyataan daripada tiga kakitangan BFM yang terlibat dalam penerbitan video kontroversi berkaitan hudud.

Pasukan polis tiba pada jam 10 pagi tadi, diikuti pegawai daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Mereka disiasat bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” kata radio perniagaan itu dalam kenyataannya.

Seksyen 298 berkaitan kata-kata yang menjejaskan perasaan beragama seseorang.

Seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum setahun, denda atau kedua-duanya,

Seksyen 233 pula berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan jaringan, yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau penjara RM50,000.

“Pengurusan BFM Media Sdn Bhd menyokong penuh pekerja-pekerja dalam melaksanakan tugas mereka.

“Radio stesen ini mempertahankan mereka dan tetap komited memberikan sokongan diperlukan mereka pada masa-masa sukar,” kata BFM.

Monday 23 March 2015

Video Hudud 'Persenda Islam' - KPN


Diterbitkan: Ahad, 22 Mac 2015 1:57 PM
Khalid Abu Bakar
Tan Sri Khalid Abu Bakar
  (Ubah saiz teks)
PUTRAJAYA: Wartawan BFM Aisyah Tajudin boleh berdepan hukuman sehingga setahun penjara berhubung video hudud di Kelantan, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata.

Khalid berkata, ini kali kedua stesen radio perniagaan berbahasa Inggeris itu mempersendakan agama Islam dengan memuat naik klip video menyindir pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Katanya pada akhir tahun lepas, stesen radio BFM didenda RM10,000 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung satu wawancara yang dibuatnya bersama sarjana agama dari Amerika Syarikat, Reza Aslan berhubung kalimah Allah pada 21 Oktober 2013.

"Saya ingin ingatkan stesen-stesen radio, khususnya BFM supaya lebih berhati-hati kerana sebelum ini mereka pernah dikenakan tindakan berhubung isu kalimah Allah.

"Kini, sekali lagi dia cuba mainkan isu yang sensitif kerana apa yang diucapkan oleh (wartawan BFM) Aisyah (Tajuddin) sebenarnya boleh dianggap mempersendakan agama Islam yang tentunya melukai perasaan ramai orang dan boleh dikenakan tindakan undang-undang," katanya.

Khalid berkata beliau akan berbincang dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi menentukan tindakan lebih tegas boleh diambil terhadap stesen radio BFM serta mencari kaedah terbaik mengawal penyiaran isu-isu sensitif yang membangkitkan kemarahan masyarakat.

Dalam pada itu, beliau berkata polis akan memanggil Aisyah, penulis skrip dan pihak yang membuat ugutan terhadap penyampai BFM itu bagi membantu kes yang disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan berkenaan kesalahan menimbulkan suasana tidak harmoni dan perpecahan di kalangan masyarakat.

Katanya sehingga kini polis menerima lima laporan berhubung penyiaran video kontroversi itu.

Sultan Johor ampun banduan kes bunuh



Sultan Johor turut Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan memberi pengampunan dan pembebasan seorang banduan serta meringankan hukuman 10 banduan bersempena Istiadat Kemahkotaan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Ismail Karim berkata banduan yang dibebaskan itu merupakan juvana ketika melakukan kesalahan bunuh pada 2004, yang dilepaskan pada 19 Mac baru-baru ini selepas mengadap Sultan Johor.

"Sultan Ibrahim berkenan mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan Negeri Johor pada 5 Mac lepas.

"Mesyuarat terbabit telah menimbangkan 10 kes rayuan pengampunan hukuman mati di bawah Peraturan 114, Peraturan-Peraturan Penjara 2000 dan 13 kes Kajian Hukuman Empat Tahun Sekali (KHETS) di bawah Peraturan 54, Peraturan-Peraturan Penjara 2000," katanya kepada pemberita di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan.

Friday 20 March 2015

Polis Buka Semula Siasatan Kes Kematian Teoh Beng Hock


Diterbitkan: Selasa, 17 Mac 2015 8:07 AM
  (Ubah saiz teks)
PETALING JAYA: Polis akan membuka semula siasatan serta merta dan menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kes kematian Teoh Beng Hock.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata ia akan dibuka semula selepas mendapat arahan Jabatan Peguam Negara dan siasatan menyeluruh juga masih dijalankan.
"Justeru, tidak timbul isu pihak berkuasa, khususnya pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) dalam kes ini tidak mengambil sebarang tindakan atau ingkar arahan Mahkamah Rayuan.
"Bagi memastikan keadilan kepada semua pihak, termasuk keluarga mendiang Beng Hock, PDRM memerlukan masa untuk menjalankan siasatan dari pelbagai sudut," katanya dalam kenyataan pada Isnin. 
Mahkamah Rayuan pada September tahun lalu menukar keputusan terbuka dalam kes kematian Beng Hock dan memutuskan bahawa kematiannya itu akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali.
Mengulas lanjut, Khalid berkata pihaknya dari semasa ke semasa akan turut memaklumkan kepada pendakwaraya berhubung status hasil siasatan yang sedang dijalankan.
Justeru, katanya, semua pihak diharap memberi kerjasama bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan dengan baik dan tidak mempolitikkan isu ini.
"Diingatkan juga supaya (semua pihak) tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat dan menjejaskan reputasi agensi penguatkuasa," katanya.

DUN K'tan lulus RUU pindaan hudud



DUN Kelantan hari ini meluluskan sebulat suara rang undang-undang pindaan ke atas Kanun Jenayah Syariah II.

Kesemua 44 orang ADUN menyokong cadangan pindaan tersebut selepas perbahasan oleh Datuk Md Alwi Che Ahmad (Umno-Kok Lanas) dan tiga ADUN PAS.

DUN Kelantan dianggotai 45 orang wakil rakyat. Satu daripada kerusi tersebut, Chempaka, kini kosong ekoran kematian penyandangnya allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Terdahulu, PKR mengarahkan wakilnya, Roslan Puteh (PKR-Guchil) untuk tidak menyertai perbahasan mahupun mengundi dalam persidangan hari ini.

Roslan didapati hadir dalam persidangan dan tidak merakamkan bantahan ke atas rang undang-undang tersebut.

Ketika ditanya, Roslan mengesahkan bahawa beliau tidak mengangkat tangan semasa Speaker Dewan bertanya untuk merakamkan bantahan.

"Saya tidak angkat tangan. Orang lain juga tidak angkat tangan," katanya kepada Malaysiakini.

Kes Kita Lawan: Tian Chua pula ditahan



Naib presiden PKR, Tian Chua menjadi individu ke-11 yang ditahan polis berhubung perhimpunan 7 Mac.

Beliau ditahan di kediamannya di Kuala Lumpur sekitar tengah malam tadi.

"Saya sangat penat dan baru bersiap untuk tidur, kemudian saya sedar mereka berada di luar.

"Mereka menunjukkan kepada saya waran tangkap dan akan membawa saya ke (ibu pejabat polis daerah) Dang Wangi,” katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, para anggota polis tersebut berlegar di sekitar kawasan rumahnya selama 15 minit, kata MP Batu itu lagi.

Thursday 19 March 2015

'Tabung Kebebasan' dirancang bantu keluarga 13 dipenjara



Para aktivis sedang berusaha bagi mengumpul RM26,000 sebulan untuk membantu keluarga 13 orang yang dijatuhi hukuman 10 bulan penjara kerana menyertai demonstrasi pada Februari 2009 membantah BN mengambil alih pentadbiran di Perak.

Kesemua mereka yang berusia 27 hingga 60 dihantar ke penjara selepas Mahkamah Rayuan hari ini mendapati mereka bersalah dan menjatuhkan hukuman 10 bulan penjara dan denda RM5,000 tiap seorang.

Tabung Kebebasan yang dirancang itu berharap untuk mendapatkan sokongan dari 520 orang untuk mengikrarkan menyumbang RM50 sebulan selama 10 bulan, supaya keluarga mereka masing-masing akan menerima RM2,000 ketika mereka menjalani hukuman penjara.

Anak aktivis berikrar berjuang untuk Abah



Melihat ayahnya, seorang aktivis, dibawa ke penjara semalam, telah mencetuskan api perjuangan dalam jiwa seorang anak yang berusia 14 tahun, Asiah Latif.
 
"Ia begitu pelik bagaimana dia dalam penjara kerana dia berjuang untuk keadilan. Saya tidak akan berhenti berjuang untuk apa yang betul. Saya sayang Abah," kata Asiah dalam posting dalam bahasa Inggeris di Facebook.
 
Bapa Asiah, Bad Latif Mansor adalah antara 13 orang yang dihantar menjalani hukuman penjara selama 10 bulan mulai semalam, apabila Mahkamah Rayuan mendapati mereka bersalah menyertai perhimpunan haram.
 
Mereka juga dikenakan denda RM5,000 setiap seorang kerana menyertai demonstrasi membantah angkat sumpah Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dari BN sebagai menteri besar Perak dalam satu rampasan kuasa politik di negeri ini pada tahun 2009.
 
Ibunya, Nashita Md Noor dalam satu lagi posting di Facebook berkata keluarganya akan tetap kuatkan diri.

Wednesday 18 March 2015

Proses Lahir Hingga Masuk Kubur Dikenakan GST - Sindir Pembangkang


Diterbitkan: Rabu, 18 Mac 2015 1:59 PM
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Seorang wakil rakyat pembangkang dinasihatkan supaya ‘tidak mati’ kerana bimbang dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan bermula 1 April depan.
Gara-gara membangkitkan kos yang perlu ditanggung jika seseorang itu meninggal dunia termasuk upah untuk menggali kubur, G Manivanan (PKR-Kapar) dicadangkan supaya ‘tidak mati’ buat masa ini.
"Tuan speaker, saya cadangkan supaya YB (Kapar) jangan mati. Sebab kalau nak mati pun banyak kos, jadi kalau boleh jangan mati,” kata Datuk Fauzi Abdul Rahman (PKR-Indera Mahkota) ketika mencelah perbahasan Manivanan.
Cadangan Fauzi itu mengundang gelak ketawa wakil rakyat dan kumpulan pemerhati pada sesi persidangan Dewan Rakyat di sini, Rabu.
Terdahulu, ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Parlimen, Manivanan menyatakan pelaksanaan GST akan memberi kesan kepada rakyat sejak bayi hingga seseorang itu meninggal dunia.
"GST akan dikenakan sejak dalam proses kelahiran, alam kanak-kanak, zaman persekolahan, ketika merentasi alam remaja, alam pendidikan tinggi, dunia pekerjaan, ketika meringkuk menunggu hari-hari terakhir dan ketika mahu masuk lubang kubur.
"Setiap peringkat ada GST. Jadi saya sarankan supaya tidak laksanakan GST,” katanya.
Mendengar hujah Manivanan itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ismail Mohd Said turut mencelah bertanya sama ada lubang kubur akan dikenakan GST.
"Keranda tuan Speaker. Kalau (orang) India (meninggal) lagi teruk (kos tinggi). Bunga malai...semua GST,” katanya.

Kanun Jenayah Syariah 1993 (Pindaan 2015) Hanya Terpakai Pada Orang Islam


Diterbitkan: Rabu, 18 Mac 2015 2:30 PM
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob membentangkan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah Hudud, Qisas dan Takzir dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darul Naim, Rabu.- fotoBERNAMA
  (Ubah saiz teks)
KOTA BAHARU: Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang lebih dikenali sebagai hudud, dibentangkan oleh kerajaan negeri Kelantan pada persidangan Dewan Undangan Negeri, Rabu.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata ia hanya terpakai ke atas orang Islam sahaja apabila dikuatkuasakan kelak.

Beliau berkata perkara itu merupakan antara empat pindaan yang dibuat dalam rang undang-undang itu iaitu hanya terpakai kepada orang Islam yang mukallaf yang melakukan kesalahan di Kelantan.

"Berbanding sebelum ini yang memberi pilihan kepada orang bukan Islam untuk memilih pemakaian undang-undang itu ke atas mereka," katanya.

Ahmad berkata rang undang-undang itu turut meminda Seksyen 15(2) Kanun Jenayah Syariah (II) dengan penambahan peruntukan hukuman takzir bagi kesalahan liwat ke atas isteri.

Anwar Fail Semakan Kehakiman Untuk Hadir Sidang Parlimen


Diterbitkan: Rabu, 18 Mac 2015 12:53 PM
Datuk Seri Anwar Ibrahim
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Kommisioner Jeneral Penjara yang menolak permohonannya untuk menghadiri mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-13 yang akan berakhir 9 April ini.

Anwar, 67, memfailkan permohonan itu pada Rabu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini menerusi Tetuan Daim  and  Gamany.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri dan Kommisioner Jeneral Penjara sebagai responden pertama dan kedua.

Menerusi afidavit sokongan, Anwar yang kini berada di Penjara Sungai Buloh mendakwa bahawa beliau masih seorang anggota Dewan Rakyat dan Ketua Pembangkang memandangkan petisyen pengampunan yang dipohon kepada Yang Di-pertuan Agong masih belum diputuskan.

Beliau mengemukakan permohonan pengampunan untuk pembebasan itu pada 24 Februari lalu selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atasnya kerana kesalahan meliwat pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Tuesday 17 March 2015

Petisyen bebaskan Anwar sasar sejuta tandatangan



Pakatan Rakyat akan menghantar petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong bagi merayu pembebasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
Petisyen itu digelar sebagai 'Petisyen Rakyat' dan gabungan tersebut mensasarkan untuk mengumpulkan satu juta tandatangan rakyat Malaysia.
 
Proses pengumpulan tandatangan itu akan berlangsung sehingga 1 Mei, dan selepas itu petisyen berkenaan akan dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong, kata Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin (kiri).
 
Katanya, inisiatif membuat petisyen bagi mengumpul sejuta tandatangan rakyat itu adalah sebagai usaha untuk merayu kepada Seri Paduka menggunakan kuasa-kuasa baginda bagi membebaskan Anwar.
 
Bercakap dalam satu sidang akhbar di lobi Dewan Rakyat hari ini, Shamsul berkata satu "perhimpunan" juga akan diadakan pada 1 Mei, sempena berakhirnya pengumpulan tandatangan tersebut.

IGP mahu Pua jelaskan tweet 'royal my foot'



Polis akan memanggil Tony Pua untuk menjelaskan mengenai satu tulisan MP Petaling Jaya Utara itu di Twitter yang mengkritik pasukan berkenaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pasukannya mahu mendapatkan penjelasan sekiranya kritikan berkenaan merujuk kepada Raja-Raja Melayu.

"Bastards. Real bastards. Royal my foot", tulis Pua dalam bahasa Inggeris dalam merujuk kepada penahanan Nurul Izzah Anwar.

500 sertai nyalaan lilin sokong Nurul Izzah




500 orang penyokong menyertai nyalaan lilin di luar balai polis Jinjang malam ini sebagai tanda sokongan mereka kepada Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang ditahan di lokap balai itu.

Mereka membawa plakad yang bertulis "Bebaskan Nurul Izzah", "Solidariti Bersama Nurul Izzah" dan "Kita Lawan".

Turut kedengaran ialah laungan kuat "bebas Nurul", "hidup Nurul" dan "Puteri Reformasi".

Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail tiba pada jam 9.30 malam dan meluahkan perasaan sedihnya kepada para penyokong yang hadir

"Memang sedih anak diperlakukan sebegitu. Apa salah dia, dia cuma menyuarakan suara hati rakyat.

"Kezaliman tidak akan berkekalan,  kita akan kuat dan bersemangat untuk membela rakyat.

"Mungkin malam ini anak saya... tapi percayalah semangat yang ada pada kita akan lawan kezaliman sehabisnya," kata Azizah dalam ucapannya.

Saturday 14 March 2015

Majlis Peguam tarik balik usul kelakuan Shafee



Majlis Peguam menarik balik usul untuk membincangkan kelakuan peguam veteran Tan Sri Shafee Abdullah daripada dibincangkan dalam perhimpunan tahunannya hari ini.

“Kami diberikan injunksi (mahkamah), kami terikat dengannya.

“Usul itu tidak akan dibentangkan,” kata Presiden Majlis Peguam Christopher Leong kepada Malaysiakini sebelum perhimpunan agung tahunan (AGM) badan itu di Kuala Lumpur.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Asmabi Mohamad semalam membenarkan injunksi interim ex-parte kepada Shafee bagi menghalang Majlis Peguam atau presidennya atau ejen mereka membenarkan usul itu dikemuka, dibincang atau diluluskan semasa AGM.

Injuksi juga melibatkan larangan daripada membincangkan perkara berkaitan kelakuan Shafee dalam kes rayuan Anwar di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Shafee dilantik sebagai peguam utama dalam kes Liwat II melibatkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

'Tekanan darah Anwar rendah, berat turun 3kg'



Keadaan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Penjara Sungai Buloh membimbangkan selepas tekanan darahnya menurun ketara sejak dipenjarakan, dakwa anaknya keduanya Nurul Nuha.

Nuha (kanan) menjelaskan, bacaan tekanan darah Anwar, 67, kini  87-50.

Bacaan normal tekanan darah orang dewasa sepatutnya antata 120-80 kepada 140-90.

Beliau juga berkata bapanya hilang berat badan 3kg selepas dipenjara kira-kira sebulan.

“Kami sangat bimbang ekoran kesihatannya,” katanya kepada Malaysiakini selepas lawatan kedua ke penjara semalam.

Anwar dijatuhi hukuman penjara 5 tahun selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Usul kecam presiden Majlis Peguam gagal



Usul untuk mengecam Presiden Majlis Peguam Christopher Leong dalam perhimpunan agung tahunan (AGM) badan itu oleh sekumpulan peguam 100 peguam, yang digelar G100, gagal.

Usaha itu hanya disokong oleh 161 peguam berbanding jumlah besar 1,194 yang menentangnya.

Usul itu bertujuan menggesa Leong menarik balik kenyataannya dan meminta maaf berhubung ulasannya terhadap sabitan kes Liwat II melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perbahasan usul itu mengambil masa kira-kira 2 jam, termasuk penjelasan Leong sendiri.

Seorang peguam yang enggan namanya disebut berkata Leong tegas enggan memohon maaf.

“Leong berkata beliau tidak akan memohon maaf terhadap salah faham pengkritiknya.

“Kenyataannya tidak pernah menyerang kehakiman seperti apa difikirkan oleh G100,” katanya.

AGM Majlis Peguam berlangsung tertutup dan hanya untuk peguam sahaja.

Kira-kira 100 peguam pada 21 Februari mendesak Leong menarik balik kenyataan dan memohon maaf terbuka berhubung sabitan kes Liwat II.

Rungutan ahli-ahli berkenaan berhubung kenyataan Leong bertarikh 11 Februari, sehari selepas Anwar disabitkan.

Leong, dalam kenyataan itu berkata Anwar "dianiaya" dan bukannya "didakwa".

Friday 13 March 2015

Amerika amat kesal dengan kes Anwar



Rumah Putih menyatakan kekesalan yang amat sangat dengan sabitan kes liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan berjanji akan terus mengetengahkan rasa tidak senangnya berhubung perkara itu.

“Kami sudah jelaskan perkara ini melalui kenyataan-kenyataan dan hubungan dengan kerajaan Malaysia, dan kami akan terus lakukannya,” menurut kenyataan rasmi Rumah Putih.

“Keputusan awal untuk mendakwa Anwar di mahkamah, keputusan merayu keputusan tidak bersalah dan pengubahan hukuman membangkitkan kebimbangan serius terhadap kedaulatan undang-undang dan keadilan sistem kehakiman di Malaysia.”

Shafee cuba sekat bincang isu kelakuan



Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon mahkamah menghalang Badan Peguam Malaysia membincangkan usul berhubung masalah kelakuan profesionalnya.

Peguam kanan itu, yang mengetuai kumpulan pendakwaan dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim, menamakan peguam Tommy Thomas dan bekas hakim Mahkamah Rayuan, VC George - yang menamakan - sebagai responden.

Shafee juga menamakan presiden badan peguam itu Christopher Leong sebagai responden.

Sewaktu dihubungi, Leong berkata beliau tidak mengetahui tentang permohonan terhadapnya atau Badan Peguam Malaysia itu.

Difahamkan, Shafee memohon agar mahkamah mengeluarkan injunksi untuk menghentikan usul itu.

Permohonan itu dijadualkan didengar oleh Hakim Datuk Asmabi Mohamad di Mahkamah Tinggi, pagi ini.

Peguam Thomas dan bekas hakim George membentangkan usul untuk mengheret Shafee ke lembaga disiplin Badan Peguam berkaitan dengan jelajah yang dilakukannya susulan perbicaraan dan pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat.

Shafee merupakan pendakwa raya yang dilantik kerajaan untuk kes tersebut.

Polis Tembak Mati Anggota Kongsi Gelap Di Sungai Petani


Diterbitkan: Khamis, 12 Mac 2015 11:49 PM
Anggota polis dari Unit Forensik memeriksa kenderaan milik suspek dipercayai anggota kongsi gelap 35 yang ditembak mati oleh sepasukan Polis dari Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) dalam kejadian berbalas tembakan di Lencongan Barat, Bandar Languna Merbok di Sungai Petani kira-kira pukul 5.30 petang Khamis. Suspek dikenali sebagai K. Sujenthiran, 27, mati ditempat kejadian selepas bertindak melepaskan tembakan sejurus sepasukan Polis cuba menghampiri kenderaan suspek. -fotoBERNAMA
  (Ubah saiz teks)
SUNGAI PETANI: Seorang lelaki berusia 27 tahun dipercayai anggota kongsi gelap maut ditembak polis selepas berbalas tembakan di Lencongan Barat, Bandar Laguna Merbok di sini, Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah ACP Mohd Nashir Ya berkata dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, K.Sujenthiran, dipercayai anggota kumpulan kongsi gelap 35, bertindak melepaskan tembakan sejurus sepasukan polis cuba menghampiri kenderaan suspek.

Beliau berkata kejadian berlaku ketika sepasukan polis dari Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang yang melakukan rondaan terserempak dengan sebuah kereta Proton Wira Aeroback berwarna hitam yang dipandu lelaki terbabit dalam keadaan mencurigakan.

MP: Sekat akses laman petisyen Rumah Putih



Laman web petisyen Rumah Putih perlu disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana ia didakwa menjadi ruang untuk "kuasa asing mencetuskan huru-hara" di Malaysia.

Dakwaan mengejutkan itu dibuat di Parlimen hari ini oleh MP BN Simpang Renggam, Liang Teck Meng apabila meminta laman web itu disenaraihitamkan oleh pihak berkuasa berkenaan.

Beliau merujuk kepada petisyen White House baru-baru ini yang mengutip 100,000 tandatangan yang diperlukan untuk meminta Amerika Syarikat menjadikan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai keutamaan dalam dasar luarnya.

Dalam perbahasannya di Dewan Rakyat, Liang berkata Rumah Putih hilang "kewibawaannya" dengan membenarkan petisyen pro-Anwar itu, dan berkata beliau tidak percaya ianya satu "kesilapan" apabila petisyen itu dikeluarkan dan kemudian dinaikkan semula.

Petisyen itu mengumpul lebih 30,000 tandatangan dalam 48 jam terakhir sebelum tarikh akhir, untuk melepasi sasaran 100,000 tandatangan yang diperlukan. Ia dikeluarkan sementara semasa semakan penipuan dibuat tetapi kemudian dinaikkan semula dengan semua tandatangan utuh.