Saturday 13 September 2014

Pecah Amanah: Bekas Eksekutif Akaun Bebas Tuduhan


Diterbitkan: Jumaat, 12 September 2014 6:13 PM
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Bekas eksekutif akaun sebuah syarikat mengalirkan air mata kegembiraan selepas Mahkamah Tinggi di sini mengetepikan hukuman penjara enam tahun dan denda RM620,000 kerana melakukan tujuh kesalahan pecah amanah membabitkan lebih RM600,000.

Hakim Amelia Tee Hong Geok Abdullah membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Heow Siew Chun, 41, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda yang diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen Mat Ghani Abdullah pada 12 November 2013.

Sehubungan itu, Tee melepas dan membebaskan Heow daripada pertuduhan berkenaan.

Dalam penghakimannya, Tee berkata, selepas meneliti rekod rayuan, mahkamah berpuas hati hakim Mahkamah Sesyen telah terkhilaf ketika mensabitkan perayu (Heow).

Pihak pendakwa gagal untuk mengemukakan bukti yang boleh dipercayai dan boleh diterima untuk membuktikan pertuduhan itu," katanya dan menambah hakim juga telah terkhilaf apabila memerintahkan perayu membela diri terhadap kesnya itu.

Heow dijatuhi hukuman penjara berjumlah 42 tahun dan didenda RM620,000 atau penjara 62 bulan jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah melakukan pecah amanah.


Dia dijatuhi hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dan hakim memerintahkan hukuman itu berjalan serentak iaitu tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara selama enam tahun.

Tertuduh didakwa pecah amanah wang tunai RM644,664.86 milik syarikat pemasangan bumbung, Atapan Ace Sdn Bhd di syarikat itu di Taman Taynton, Cheras di sini antara Disember 2004 dan Disember 2011.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt manakala peguam Gooi Soon Seng mewakili Heow.

No comments:

Post a Comment