Monday 21 July 2014

Mahkamah Rayuan Tolak Permohonan TV3 Semak Keputusan Kes Saman Fitnah



Diterbitkan: Khamis, 17 Julai 2014 8:52 PM
  (Ubah saiz teks)
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini pada Khamis menolak permohonan oleh Stesen Televisyen Malaysia Berhad (TV3) bagi menyemak semula keputusannya yang mendapati stesen televisyen itu bertanggungjawab memfitnah bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berhubung tweet beliau berkaitan nombor pendaftaran kenderaan WWW1, milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, dua tahun lepas.

Panel tiga anggota yang dipengerusikan oleh Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif memberitahu peguam T.H.Liew, yang mewakili TV3, supaya merujuk kembali perkara itu ke Mahkamah Persekutuan berhubung dengan permohonan bagi kebenaran untuk mengemukakan rayuan.

"Kamu tidak boleh membuat permohonan dua penjuru sedangkan kamu juga mengemukakan permohonan berasingan di Mahkamah Persekutuan," kata Hakim Md Raus ketika menolak permohonan bagi semakan.

Hakim Raus juga memerintahkan TV3, yang dimiliki oleh Media Prima Bhd, membayar kos perundangan RM5,000 kepada peguam Nizar.

Dua orang lagi hakim yang menganggotai panel ialah Hakim Datuk Linton Albert dan Hakim Datuk Wira Mohtaruddin Baki.

TV3 mahukan semakan keputusan Mahkamah Rayuan atas alasan bahawa hakim yang mendengar kes itu dalam panel Mahkamah Rayuan sebelumnya, Hakim Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, ialah bekas anggota PAS.

Pada 25 Februari tahun ini, panel Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Hakim Mohamad Ariff membenarkan rayuan Nizar dan memerintahkan kes itu dirujuk kembali ke Mahkamah Tinggi untuk penaksiran ganti rugi selepas (Mahkamah Rayuan) mendapati TV3 bertanggungjawab memfitnah beliau.

Mahkamah (Mahkamah Rayuan) telah mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membuat keputusan memihak kepada TV3 dan menolak saman Mohammad Nizar terhadap TV3 menuntut RM50 juta kerana fitnah.

Mohammad Nizar menyaman TV3 dan penerbit Buletin Utama, Rohani Ngah, berhubung komen beliau mengenai nombor pendaftaran kereta, WWW1 yang berjaya dibida oleh Sultan Johor dengan harga RM520,000 pada Mei 2012.

No comments:

Post a Comment