Friday 28 February 2014

Sindiket Kutip Derma Peroleh Lebih RM500,000 Sejak Dua Tahun Lepas

IPOH: Polis menahan dua daripada 19 anggota sindiket yang menggunakan dokumen palsu untuk mengutip derma sejak dua tahun lepas dengan jumlah kutipan dianggarkan lebih RM500,000.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak Supt Maszely Minhad berkata kedua-dua wanita masing-masing berumur 36 tahun dan 37 tahun itu ditahan ketika sedang mengutip derma di sebuah sekolah di sini pada pukul 9.40 pagi Selasa lepas.
"Mereka mendakwa mengutip derma untuk tabung pembinaan tambahan asrama dan surau sebuah pertubuhan anak yatim di Simpang Pulai," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Polis Rakam Keterangan Enam Individu Bantu Siasatan Kes Wanita Diserang Anjing

GEORGE TOWN: Polis telah mengambil keterangan enam individu bagi membantu siasatan kes seorang wanita diserang anjing daripada baka German Shepherd, di Solok Bukit Jambul di sini Ahad lepas.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Supt Shahurinain Jais berkata polis masih menunggu laporan Jabatan Veterinar bagi mengetahui status kesihatan haiwan berkenaan.
"Anjing terbabit akan dikuarantin dalam tempoh 10 hari dan Jabatan Veterinar sedang memantau perkembangan haiwan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa di Hospital Pantai Bayan Baru di sini, Khamis.

Altantuya: Rayuan Pendakwaan Terhadap Pembebasan Anggota Polis Didengar 23 Jun


PUTRAJAYA: Rayuan pendakwaan terhadap pembebasan dua anggota Unit Tindakan Khas polis daripada pertuduhan membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu ditetapkan untuk pendengaran selama tiga hari di Mahkamah Persekutuan mulai 23 Jun.
Timbalan Pendaftar Izuddin Mohamad menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas rayuan itu dikemukakan kepada beliau untuk pengurusan kes, Khamis.
Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup memberitahu pemberita pendengaran rayuan itu ditetapkan dari 23 hingga 25 Jun.
Peguam J. Kuldeep Kumar yang mewakili Cif Inspektor Azilah Hadri, turut menyebut kes itu bagi pihak peguam mewakili Koperal Sirul Azhar Umar iaitu Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hasnal Rezua Merican, mengesahkan tarikh pendengaran itu.

Anwar Kemuka Permohonan Ketiga Untuk Batal Kelayakan Muhammad Shafee


PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan permohonan kali ketiga untuk membatalkan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah daripada mengetuai pasukan pendakwa raya dalam rayuan terhadap pembebasan ketua pembangkang itu daripada pertuduhan liwat.
Peguam utama Anwar, Karpal Singh ketika dihubungi hari ini mengesahkan bahawa permohonan itu dikemukakan di pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di sini dua hari lepas.
Beliau berkata Mahkamah Rayuan menetapkan Isnin depan (3 Mac) untuk mendengar permohonan itu.
Anwar, 67, dalam afidavit menyokong permohonannya menyatakan bahawa peguam kanan itu (Muhammad Shafee) tidak layak dan bukan orang yang sesuai untuk mengetuai pendakwaan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bulan lepas mengekalkan keputusan Lembaga Tatatertib Peguambela dan Peguamcara.

Thursday 27 February 2014

Dua Beradik Mati Dikelar Rapat Dengan Pembantu Rumah - Bapa Mangsa

Ibu kepada mangsa kanak-kanak yang dikelar oleh pembantu rumah (dua, kanan) bersama ahli keluarganya ketika tiba di perkarangan unit forensik Hospital Sungai Buloh, Rabu. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Bapa kepada dua beradik yang menjadi mangsa kelar di Taman Sri Putra, Sungai Buloh masih terkejut dengan kejadian itu kerana tidak menyangka pembantu rumah itu sanggup berbuat demikian sedangkan dia amat rapat dengan kedua-dua anaknya.
Selvan Joseph, 44, berkata sehingga kini dia hairan dan terkejut dengan tindakan Agnes, 30, seorang warga Indonesia, kerana dia amat disenangi anggota keluarga isterinya.
Beliau yang tinggal berasingan dengan isterinya sejak setahun lalu berkata sehari sebelum kejadian, kedua-dua anaknya sempat keluar bersama ibu mereka, pembantu rumah itu dan ahli keluarga yang lain dan tiada tanda-tanda perselisihan faham tercetus antara mereka.

Tindakan Pantas Dua Lelaki Selamatkan Kanak-Kanak Diculik

KOTA BAHARU: Tindakan pantas dua lelaki berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun daripada diculik dua individu tidak dikenali di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Kemuning, Pengkalan Chepa di sini Isnin lepas.
Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu dua lelaki yang melalui kawasan berkenaan telah berhenti apabila melihat insiden yang mencurigakan membabitkan dua lelaki dan seorang kanak-kanak.
Suspek kemudian melarikan diri apabila melihat dua lelaki berkenaan datang ke arah mereka untuk memberikan pertolongan kepada kanak-kanak itu, katanya kepada pemberita selepas majlis Seminar Kecemerlangan Pelajar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Baharu di sini, Rabu.

Fitnah: Marina Saman Presiden Dan 15 AJK ISMA

KUALA LUMPUR: Aktivis sosial Datin Paduka Marina Mahathir menyaman Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan 15 anggota jawatankuasa (AJK) pertubuhan itu berhubung pernyataan berunsur fitnah mengaitkannya dengan aktiviti Gabungan Badan Bukan Kerajaan (Ngo) Hak Asasi Manusia (Comango).
Dalam saman itu, Marina, yang juga anggota Lembaga Pengarah Sisters in Islam (SiS) menamakan presiden pertubuhan itu Abdullah Zaik Abd Rahman, timbalan presidennya Aminuddin Yahaya dan naib presiden Abdul Rahman Mat Dali serta 13 AJK pertubuhan itu sebagai defendan.
Marina, yang diwakili peguam Muhammad Faizal Faiz Mohd Hasani memfailkan saman itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui Tetuan Lee Hishammuddin Allen & Gledhill pada 16 Januari lepas.

Pasangan Malaysia Di Sweden: Aishah Beri Testimoni Samar Dan Tidak Pasti

Aishah, 14, (kanan) bersama adik-adiknya, Ammar, 12, Adam, 11, dan Arif, 7.
STOCKHOLM: Anak perempuan kepada pasangan Malaysia di Sweden yang dibicarakan kerana didakwa memukul anak mereka, memberikan testimoni yang tidak pasti dan samar-samar, dengan mengatakan bahawa isu keluarga adalah rahsia.
Aishah, yang kelihatan mengelak dalam wawancara susulan yang telah dirakam , berkali-kali berkata bahawa dia tidak pasti atau telah lupa mengenai butiran peristiwa yang menjangkau dua tahun lepas.
"Saya tidak berasa selesa memberitahu mengenai perkara ini," katanya, yang menyebabkan polis wanita yang menemubualnya bertanya siapakah yang memutuskan bahawa perkara tersebut adalah rahsia.

Monday 24 February 2014

Jabatan Imigresen Tahan 170 Warga Asing Sekitar KLCC

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen menahan 170 pendatang tanpa izin termasuk empat kanak-kanak atas pelbagai kesalahan dalam Ops Bersepadu 6P selama tiga jam di sekitar Kuala Lumpur City Centre (KLCC) di sini, Ahad.
Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Kawalan) Datuk Sakib Kusmi berkata pendatang tanpa izin yang ditahan dalam operasi bermula dari pukul 12 tengah hari itu terdiri daripada 70 warga Bangladesh, 60 warga Myanmar, 20 warga Indonesia dan 20 warga negara lain.
Antara kesalahan yang dilakukan oleh 120 pendatang asing lelaki, 46 wanita dan empat kanak-kanak itu ialah tidak memiliki dokumen pengenalan diri, tinggal melebihi masa, dokumen palsu dan pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) yang tidak diiktiraf serta kesalahan yang melanggar Akta Imigresen, katanya.

Penganggur Didakwa Bunuh Isteri

BUKIT MERTAJAM: Seorang penganggur dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan membunuh isterinya pada tahun lepas.Chiam Nguang Huat, 40, yang tidak diwakili peguam, dituduh melakukan kesalahan itu terhadap Lai Siew Fong di sebuah rumah, di Taman Bayu Mutiara di sini, pada pukul 4 petang, 24 Jun.
Tuduhan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan dicatatkan.
Hakim Munsyiri Peet menetapkan 10 April untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lim Saw Sim. BERNAMA

Sunday 23 February 2014

Tiga Lagi Pengikut Tuhan Harun Berjaya Ditahan

PETALING JAYA: Tiga pengikut Tuhan Harun ditahan di sebuah apartment di Papar, Sabah bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pegawai penguatkuasa agama Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Ahmad Rafli Abdul Malek yang mati ditembak di Kuantan.
Ketiga-tiga suspek yang menyembunyikan diri selepas kes pembunuhan pada 10 November tahun lalu, ditahan oleh Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) kira-kira pukul 2.30 petang Jumaat di Melinsung Summer Bay Resort Apartment, 40km dari Kota Kinabalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah berkata dua suspek yang ditahan dipercayai terlibat dalam insiden itu.
"Kedua-dua suspek berusia 36 dan 27 tahun masing-masing berasal dari Johor Baru dan Kluang dipercayai terlibat dalam kes itu.

Warga Emas Cedera Disamun Suami Isteri

BESUT: Seorang wanita warga emas 54 tahun dan cucu lelakinya berumur 10 tahun cedera dipukul dengan kayu oleh kenalan lamanya yang menyamun mereka di Taman Haji Hassan, Kampung Alor Lintah dekat sini Jumaat lalu.
Mangsa yang tinggal bersama cucu lelakinya itu terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Besut dan menerima lapan jahitan di kepala manakala cucunya hanya dirawat sebagai pesakit luar.
Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata dalam kejadian itu mangsa didatangi kedua-dua suspek suami isteri berumur 27 dan 20 tahun yang juga jiran lamanya ketika beliau dan cucunya hendak masuk tidur pada 11.45 malam.

Operator Kilang Terlepas Hukuman Mati

ALOR SETAR: Seorang operator kilang terlepas daripada hukuman gantung apabila Mahkamah Tinggi di sini pada Ahad melepaskan dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah tiga tahun lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Zakiah Kassim membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwa raya gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap Ahmad Fauzi Ismail, 36.

BN Kekal Kemenangan Kerusi Parlimen Machang

Ahmad Jazlan Yaakub.
KOTA BARU: Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dari Barisan Nasional (BN) kekal sebagai anggota Parlimen Machang selepas Mahkamah Pilihan Raya pada Ahad menolak petisyen pilihan raya PKR bagi membatalkan kemenangan beliau pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Mei lepas.
Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim menolak petisyen itu yang difailkan calon PKR Wan Zawawi Wan Ismail dan memerintahkannya membayar kos perundangan RM10,000 kepada Ahmad Jazlan selaku responden pertama.
Beliau turut memerintahkannya membayar kos perundangan sebanyak RM30,000 kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Machang selaku responden kedua dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaku responden ketiga.
Hakim Zamani berkata Ahmad Jazlan telah dipilih secara sewajarnya sebagai anggota Parlimen Machang pada PRU13 itu mengikut Seksyen 36(1)(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Saturday 22 February 2014

Pasukan VAT69 Tembak Penceroboh Bersenjata Hampiri Mereka - Saksi

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu pasukan komando VAT69 melepaskan tembakan ke arah tiga penceroboh bersenjata selepas mereka menuju dalam keadaan tergesa-gesa ke arah pasukan VAT69.
Menceritakan detik cemas itu, Inspektor Mazrul Mansor, anggota komando VAT69berkata apabila melihat tiga penceroboh itu menuju ke arah pasukannya, beliau telah mengarahkan pasukannya berada dalam keadaan bersedia.
"Apabila pihak penceroboh menghampiri kami, saya arahkan pasukan saya menembak ke arah mereka," katanya pada hari ke-21 perbicaraan 30 individu yang didakwa terhadap pelbagai pertuduhan berkaitan kegiatan pengganas di Sabah tahun lepas.

"Kami Seperti Hamba" - Anak Pasangan Malaysia

Ammar (tengah) bersama adik-adiknya Adam (kiri) dan Arif (kanan).
STOCKHOLM: Anak lelaki pasangan Malaysia di Sweden yang didakwa mendera anak mereka berkata rotan yang digunakan terhadap adik beradiknya bertujuan memastikan mereka berdisiplin seperti hamba.
"Ia seperti mereka mengawal kami dengan benda itu. Kami tidak mahu dikenakan hukuman dengan benda itu," kata Ammar , 12, dalam satu temubual yang direkodkan awal januari lalu.
Video temubual itu disiarkan ketika prosiding di Mahkamah Daerah Solna di sini, pada hari Jumaat.
"Mereka fikir mereka seperti tuan dan kami hamba," katanya.
Mendengar keterangan itu, ibunya Shalwati Nurshal dilihat memuncungkan bibirnya dan menyilang tangan.
Shalwati dan suaminya, Azizul Raheem Awalluddin ditahan pada 18 Disember tahun lalu selepas Ammar memberitahu kakitangan di sekolahnya bahawa dia dipukul.
Aduannya itu menyebabkan mereka melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa.

Friday 21 February 2014

Pemandu Lori Cedera Ditembak Di Kaki

SHAH ALAM: Seorang pemandu lori ditembak di bahagian kaki selepas terlibat dengan adegan kejar-mengejar dengan dua buah kereta peronda polis.
Difahamkan lelaki tersebut memandu secara berbahaya di Jalan Kebun di sini ketika anggota polis sedang mengawal lalu lintas kira-kira pukul 7 pagi Jumaat.
Apabila diarahkan untuk menghentikan lori tersebut, pemandu itu memecut laju dan dua buah kereta peronda polis mengejar lori itu sehingga Taman Kandis, Klang.

Pengurusan Kes Rayuan Pendakwaan Terhadap Pembebasan Azilah, Sirul Azhar 25 Februari Ini

PUTRAJAYA: Rayuan pendakwaan terhadap pembebasan dua anggota Unit Tindakan Khas polis daripada tuduhan membunuh wanita warga Mongolia Altantuya Shaariibuu ditetapkan untuk pengurusan kes pada Selasa, 25 Feb.
Peguam Datuk Hazman Ahmad mewakili Cif Inspektor Azilah Hadri berkata beliau menerima notis daripada pendaftar Mahkamah Persekutuan semalam memaklumkan tentang tarikh pengurusan kes itu.
"Pada hari berkenaan (25 Feb) mahkamah akan menetapkan tarikh untuk mendengar rayuan pendakwaan," katanya ketika dihubungi di sini Jumaat.
Pada 23 Ogos tahun lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah, 37, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 42, serta melepas dan membebaskan mereka daripada tuduhan membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara 10 malam 19 Okt dan 1 pagi 20 Okt, 2006.

Kata Hasutan Terhadap Sultan Perak: Karpal Singh Diputuskan Bersalah

KUALA LUMPUR: Peguam Karpal Singh yang juga pengerusi DAP didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini terhadap pertuduhan mengeluarkan perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak berhubung pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar pada 2009.
Karpal, 73, dituduh mengeluarkan kenyataan itu di firma guamannya di Jalan Pudu Lama pada 6 Februari 2009.
Hakim Datuk Azman Abdullah menetapkan 7 Mac untuk menjatuhkan hukuman setelah peguam Karpal Singh, Gobind Singh Deo yang juga anaknya, memberitahu mahkamah bahawa tertuduh tidak berapa sihat dan memerlukan masa untuk menyediakan mitigasi

Polis Rampas 10 Kenderaan Mewah

KUALA LANGAT: Polis merampas 10 kenderaan mewah dianggarkan bernilai RM1.4 juta yang dipercayai digunakan sindiket penyeludupan di persisiran pantai berdekatan Batu Hampar, Jugra, Banting di sini, Khamis.
Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata kesemua kenderaan terbabit ditinggalkan anggota sindiket semasa polis menyerbu persisiran pantai itu pukul 6 pagi.
"Kereta mewah yang dirampas terdiri daripada sebuah Toyota Camry, dua jenis Toyota Vellfire, sebuah Toyota Alphard dan enam Toyota Estima yang sebahagian besar nombor pendaftaran dan nombor casisnya telah ditukar.

Ketua DAP Cawangan Kampung Jering Mati Ditembak

Polis forensik membuat pemeriksaan rapi di hadapan rumah bekas Pengerusi DAP Kampung Jering Wong Kong Ting, 56, yang juga seorang kontraktor tanaman semula sawit mati ditembak di rumahnya di Kampung Jering, Ayer Tawar. - fotoBERNAMA
MANJUNG: Ketua DAP Cawangan Kampung Jering mati ditembak di rumahnya di Kampung Jering, Ayer Tawar dekat sini.
Wong Kong Ting, 56, ditemui mati berlumuran darah di hadapan rumahnya oleh anggota keluarga selepas mendengar bunyi tembakan kira-kira pukul 10 malam Rabu.
Mangsa dikejarkan ke Hospital Manjung namun disahkan mati kira-kira pukul 11 malam.
Difahamkan tiga das tembakan telah dilepaskan kearah mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian lengan dan dada.

Emosi Saya Terganggu Seumur Hidup - Anak Pasangan Malaysia Di Sweden

Ammar (tengah) bersama adik-adiknya Adam (kiri) dan Arif (kanan).
STOCKHOLM: Anak lelaki pasangan Malaysia di Sweden yang dibicarakan atas dakwaan mendera berkata hukuman yang diberikan oleh ibunya tidak meninggalkan kesan secara fizikal sebaliknya dari sudut emosi.
Ammar, 12, menerusi temubual berkata dia mahu keluarganya kembali bersama seperti biasa.
"Saya ingin ibu bapa saya kembali ke rumah dan kami boleh menjalani kehidupan bersama-sama," kata Ammar dalam video yang dirakam awal Januari lalu ketika perbicaraan di Mahkamah Daerah Solna di sini pada Khamis.
Ammar yang kelihatan kecewa meminta polis yang menemuduganya agar membebaskan ibu bapanya secepat mungkin.

Thursday 20 February 2014

Tiga Termasuk Warga Bangladesh Didakwa Rompak RM3.6 Juta

KLANG: Tiga lelaki termasuk seorang warga Bangladesh pada Khamis didakwa atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan ke atas sebuah van keselamatan yang membawa wang tunai RM3.36 juta di Kuala Selangor, akhir bulan lepas.
Kelindan lori, S.Segar, 41, jurukimpal P.Balasegaran, 36, dan ejen pekerja warga Bangladesh, Sumon Miah, 41, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Tasnim Abu Bakar.
Mereka didakwa bersama-sama beberapa orang lagi yang masih bebas melakukan rompakan bersenjatakan selaras senjata api jenis Hock No. C49-0041343 ke atas van bernombor pendaftaran WTU 4207 yang membawa wang tunai RM3.6 juta milik Armour Security Systems (M) Sdn Bhd.

BN Kekal Menang Kerusi Parlimen Bagan Datoh

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) mengekalkan kemenangan kerusi Parlimen Bagan Datoh, Perak selepas Mahkamah Pilihan Raya hari ini membenarkan bantahan awal penyandangnya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap petisyen pilihan raya yang difailkan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Hakim Datuk Hasnah Mohammed Hashim membuat keputusan itu selepas membatalkan petisyen yang difailkan calon PKR, Madhi Hassan dan pengundi Azmi Sulaiman yang memohon keputusan pilihan raya umum ke-13 itu diisytiharkan batal dan tidak sah.

Bekas Timbalan Pengurus Besar Yayasan Selangor Bebas Tuduhan Rasuah

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis melepas dan membebaskan bekas Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) Yayasan Selangor Saifulruddin Sulaiman daripada tiga pertuduhan bersetuju menerima suapan melibatkan RM45,000 berhubung majlis sambutan ulang tahun ke-40 yayasan itu, empat tahun lepas.
Hakim M. Bakri Abd Majid membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pembelaan Saifulruddin, 35, berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Dalam penghakimannya, M.Bakri berpendapat penjelasan diberikan Saifulruddin dalam pembelaannya merupakan penjelasan yang jujur.

Perhilitan Serbu Restoran Tawar Hidangan Eksotik Untuk Hari Valentine

MELAKA: Rancangan oleh beberapa restoran untuk menawarkan hidangan eksotik bagi meraikan Hari Valentine di bandar yang terkenal dengan tabiat makan seperti itu tidak kesampaian apabila pihak penguatkuasa hidupan liar menyerbu premis-premis yang menyimpan paket-paket daging hidupan liar hampir pupus dan beberapa spesies haiwan yang masih hidup.
Pegawai-pegawai penguatkuasa daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menyerbu tiga premis di Machap Baru, kira-kira 7km dari Alor Gajah, di antara pukul 5.45 petang hingga 6.35 petang dalam operasi yang dilakukan pada 14 Februari.

Polis Selamatkan Empat Warga Myanmar Dijadikan Tebusan

SUNGAI PETANI: Empat lelaki warga Myanmar ditemui tidak bermaya dengan tangan dirantai di sebuah rumah di belakang sebuah hotel di Jalan Besar di sini malam Rabu.
Kesemua lelaki berusia 30-an itu dipercayai dikurung di dalam rumah itu selepas memasuki negara ini secara haram melalui Thailand sembilan hari lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah ACP Nashir Ya berkata polis menemui empat lelaki itu kira-kira pukul 10 malam dengan tangan dirantai dan ditempatkan di bahagian dapur rumah usang yang dijaga seorang lelaki warga Myanmar lain.

Pembantu Kolam Ikan Parah Ditetak Sepupu

KOTA BARU: Seorang pembantu kolam ikan parah selepas ditetak dengan pedang oleh dua orang sepupunya di Kampung Paloh, Jalan Pintu Geng di sini pada Selasa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Baharu Supt Idris Abd Rafar berkata dalam kejadian pukul 2 petang itu, mangsa Ikmal Fadzli Ismail, 23, cedera di leher dan tangan selepas ditetak oleh dua suspek yang masing-masing berusia 20-an.
"Ketika kejadian, kedua-dua sepupu itu telah ke rumah Ikmal dan apabila mangsa melihat salah seorang daripada mereka membuka sarung dari pedang yang dibawa mereka, mangsa terus lari masuk ke dalam rumah dan menyorok di dalam bilik air di tingkat atas rumah.

Suspek Utama Pukul Teman Wanita Hingga Mati Ditahan Polis

KUALA LUMPUR: Suspek utama berkaitan kes seorang wanita mati dipukul di Lagoon Perdana, Bandar Sunway dekat sini Isnin lepas ditahan polis awal pagi Rabu.
Suspek yang berumur 30 tahun yang juga teman lelaki kepada wanita terbabit ditahan di sebuah wad di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sejurus dia mendapatkan rawatan di situ.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata suspek mendapat rawatan kerana mengalami kecederaan di kepala.

Penarik Kereta Mengaku Tidak Bersalah Bunuh Pengasas Ambank

Koong Swee Kwan ,44, dibawa meninggalkan Mahkamah Tinggi pada Rabu atas pertuduhan membunuh pengasas Kumpulan Perbankan Arab-Malaysian, Julai tahun lalu.
KUALA LUMPUR: Penarik kereta, Koong Swee Kwan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi pada Rabu atas pertuduhan membunuh pengasas Kumpulan Perbankan Arab-Malaysian (AmBank) Hussain Ahmad Najadi di sebuah tempat letak kereta, Julai tahun lalu.
Koong, 45, turut mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datuk Azman Husin di sini terhadap pertuduhan cubaan membunuh isteri pengasas bank itu, Cheong Mei Kuen, 49.
Mahkamah menetapkan dua minggu bermula 9 hingga 20 Jun untuk perbicaraan.

Saya Dipukul Lebih Seribu Kali Setahun - Anak Pasangan Malaysia Di Sweden

STOCKHOLM: Anak lelaki pasangan Malaysia di Sweden yang dibicarakan atas dakwaan mendera berkata dia dipukul 'lebih seribu kali' dalam masa setahun.
Menerusi rakaman video yang dibuat oleh polis Sweden pada Disember lalu, Ammar berkata ibunya Shalwati Nurshal sering memukulnya apabila dia menghentak-hentak kakinya atau menonton video di YouTube dan tidak bersama keluarga untuk makan malam.
Shalwati dan suaminya Azizul Raheem Awalluddin iaitu pengarah Tourism Malaysia di Stockholm, dibicarakan pada hari kedua di Mahkamah Daerah Solna di sini atas tuduhan mendera anak-anak mereka.
Ammar yang kelihatan gementar pada permulaan video itu bertanya jika ibu bapanya akan mengetahui mengenai temuduga tersebut.

Wednesday 19 February 2014

Laporan Polis Berhubung Dakwaan Hina Islam, Raja Melayu

KOTA BARU: Sekumpulan lima orang pada Selasa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Baharu terhadap sebuah akaun laman sosial yang didakwa menghina Islam dan institusi Kesultanan Melayu.
Yasman Hashim @ Yasin, 30, yang mewakili kumpulan itu berkata mereka membuatlaporan polis kerana bimbang laman sosial itu boleh membawa gejala negatifselepas mereka melihat ia semakin popular.
Ditemui selepas selesai membuat laporan polis pada Selasa, beliau menggesa agarpihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun berkenaan.
Carian Bernama menemui laman sosial berkenaan mula dibuka pada 11 Feb tahunini dengan kebanyakan entrinya menghina agama Islam, Allah SWT dan Nabi MuhammadSAW.
Selain itu laman sosial berkenaan turut menghina institusi KesultananMelayu. - BERNAMA

Wanita Mati Dipercayai Dipukul Teman Lelaki

PETALING JAYA: Seorang wanita meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan kepala dipercayai dipukul teman lelakinya di rumah suspek di Lagoon Perdana, Bandar Sunway di sini, malam Isnin.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli ketika dihubungi Bernama berkata mangsa, Pakizah Raja Khan, 27, disahkan meninggal pukul 1.41 pagi Selasa ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Kenyataan Mengenai Pertemuan Guan Eng Daripada Sumber Yang Dipercayai - Ruslan

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Perkasa Ruslan Kassim pada Selasa memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa kenyataan media yang dikeluarkannya berhubung pertemuan Lim Guan Eng dengan seorang pemimpin kanan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Singapura diperoleh melalui sumber yang boleh dipercayai.
Ruslan, 55, dalam pernyataan tuntutannya berkata kenyataan media itu diperoleh daripada sumber dalaman yang dipercayai bahawa memang wujud pertemuan itu dan ia diakui sendiri oleh ketua menteri Pulau Pinang itu dalam keterangannya pada Isnin.
Menjawab soalan peguam Americk Sindhu, yang mewakili Lim bagaimana sumber dalaman itu diperoleh, Ruslan berkata ia diperoleh melalui laman web yang beliau baca.

Mahkamah Tinggi Kekal Hukuman Penjara Uthayakumar

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mengekalkan hukuman penjara dua tahun enam bulan terhadap peguam P.Uthayakumar oleh Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menulis sepucuk surat berbaur hasutan kepada bekas Perdana Menteri Britain Gordon Brown, tujuh tahun lepas.
Hakim Datuk Mohd Azman Husin berkata setelah meneliti rekod rayuan, beliau mendapati mahkamah rendah telah pun membuat keputusan yang betul dan tepat terhadap perayu.
Uthayakumar didakwa menulis sepucuk surat berbaur hasutan yang dialamatkan kepada Gordon Brown, yang ketika itu merupakan perdana menteri Britain, di 10 Downing Street, London, United Kingdom.

Perbicaraan Pasangan Malaysia Ditahan Di Sweden Bermula

Mirza Mohammad (kiri) berbincang sesuatu dengan Manninen dan Badruddin (kanan) di luar kamar perbicaraan di Stockholm, Sweden.
STOCKHOLM: Perbicaraan pasangan Malaysia yang didakwa memukul tangan salah seorang anak mereka di Sweden bermula di sini pada Selasa, dengan pihak pembela mengeluarkan sepucuk surat di mahkamah yang ditulis oleh salah seorang anak mereka.
"Saya minta maaf, ianya bermula akibat perasaan marah saya," tulis Ammar, 12, anak kedua daripada empat anak pasangan pegawai Tourism Malaysia di Sweden, Azizul Raheem Awalludin dan isterinya, Shalwati Norshal, seorang guru yang bercuti tanpa gaji

Tuesday 18 February 2014

Mayat Penolong Pegawai Daerah Kuala Terengganu Ditemui Di Sungai Berang

KUALA TERENGGANU: Mayat Penolong Pegawai Daerah Kuala Terengganu yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalau ditemui terapung di sebuah sungai di Hulu Terengganu.
Wan Hariff Rafany Wan Muda, 35, ditemui terapung di Sungai Berang di Kampung Tajin kira-kira 11.45 pagi Isnin.
Pada Sabtu lalu, keretanya, sebuah Audi, ditemui dekat pejabat Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd di Kuala Berang.
Mayat Wan Hariff telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat.
Laporan Bernama memetik Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Mohd Jamil sebagai berkata, tiada unsur jenayah ditemui disebalik kehilangan Wan Hariff.
Bagaimanapun, beliau berkata, masih terlalu awal untuk membuat sebarang andaian.

'Arwah sepatutnya pulang Sabtu lalu'



"Sepatutnya dua hari lepas dia sudah balik kampung tapi dia tangguhkan," kata bapa kepada Penolong Kanan Pentadbir Tanah Wan Hariff Rafany Wan Muda yang ditemui mati di Sungai Tajin, Kuala Berang, Hulu Terengganu hari ini.
  
Wan Muda Wan Ibrahim, 64, berkata anak kedua daripada lapan beradik itu sepatutnya pulang ke Besut Sabtu lepas, namun dia menangguhkan hasrat itu kerana hendak menghadiri kenduri di Kuala Terengganu.

APMM Tahan 13 Warga Asing Cuba Seludup Keluar Dari Malaysia

ALOR GAJAH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 13 warga Indonesia termasuk tekong dan pembantu bot yang dipercayai cuba menyeludup keluar dari negara ini ke Sumatera, Indonesia kira-kira tujuh batu nautika dari Tanjung Sepat, Selangor, malam Ahad.
Pengarah Operasi APMM Daerah Kuala Linggi, Komander Maritim V. Pannir Selvan Veloo berkata, kesemua mereka terdiri daripada lapan lelaki, tiga wanita serta seorang kanak-kanak lelaki dan seorang perempuan.
Anggota kumpulan itu berusia antara setahun hingga 55 tahun.

Monday 17 February 2014

Warga Emas Maut Dipercayai Mangsa Langgar Lari

SUNGAI PETANI: Seorang penunggang motosikal warga emas maut dipercayai akibat kejadian langgar lari di Jalan Sungai Petani-Kuala Ketil, berhampiran Pejabat Penerangan Daerah Kuala Muda dekat sini Isnin.
Rashid Awang, 75, dari Kampung Simpor, Kota Kuala Muda meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kaki dan badan dalam nahas 1.25 petang.
Anaknya, Mohammad, 40, berkata dia dimaklumkan oleh beberapa saksi bahawabapanya dilanggar oleh sebuah kereta jenis Perodua Kancil dan terseret sejauh beberapa meter.
Kenderaan itu kemudian meninggalkan tempat kejadian, katanya kepada pemberita di lokasi kemalangan.
Menurut Mohammad bapanya dalam perjalanan pulang ke rumah ketika kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Khalil Ariffin ketika dihubungi mengesahkan kejadian. - BERNAMA

Mahkamah Tetapkan 7 & 8 Mei Bicara Kes Polis Lepas 'Kasanova'

GEORGE TOWN: Mahkamah Majistret menetapkan 7 dan 8 Mei depan sebagai tarikh perbicaraan kes seorang pegawai kanan polis yang dituduh sengaja melepaskan seorang tahanan dikenali 'Kasanova' pada Oktober lepas.
Majistret Dianne Ningrad Nor Azhar menetapkan tarikh itu semasa sebutan semula kes pada Isnin.
Pada 21 Okt lepas, ASP L. Chandkumary, 56, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan berhubung kes itu.
Bagi pertuduhan pertama wanita itu didakwa sengaja melepaskan tahanan K. Prabaharan, 45, yang menghadapi pertuduhan kes penipuan pada 1.50 tengah hari di Kompleks Mahkamah George Town pada 9 Okt lepas.

Pemandu Teksi Disyaki Bawa Suspek Bunuh Pengasas AmBank Dipenjara 14 Tahun, Enam Sebatan

KUALA LUMPUR: Pemandu teksi yang dipercayai membawa suspek pembunuhan pengasas kumpulan Ambank, Hussain Ahmad Najadi, dihukum penjara 14 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas tuduhan memiliki pistol dan peluru, tahun lalu.
Hakim Azwarnida Affandi, menjatuhkan hukuman itu terhadap Chew Siang Chee, 46, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Azwarnida dalam penghakimannya, berkata pembelaan tertuduh bersifat penafian semata-mata dan hanya difikirkan kemudian.

NSTP Diperintah Bayar Ganti Rugi RM350,000 Kepada Husam

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini Isnin memerintahkan The New Straits Times Press (M) Sdn Bhd (NSTP) membayar ganti rugi RM350,000 kepada naib presiden PAS Datuk Husam Musa dalam kes saman fitnah berhubung isu penyalahgunaan kuasa dan salah urus dalam syarikat Air Kelantan Sdn Bhd.
Hakim, Datuk Su Geok Yiam juga memerintahkan NSTP membayar kos sebanyakRM10,000 kepada Husam.
Beliau membuat keputusan itu di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Md Yunus Shariff yang mewakili Husam dan peguam Rishwant Singh yang mewakili NSTP.
Md Yunus memberitahu pemberita mahkamah turut memerintahkan syarikat itu membayar faedah lima peratus kepada Husam bermula dari tarikh saman itu difailkan.

Sunday 16 February 2014

Bakakuk Dirampas Dari Seorang Lelaki

TAWAU: Polis menahan seorang lelaki dan merampas senapang patah buatan sendiri atau bakakuk bersama tiga butir peluru di kawasan hutan simpan Batu 41, Jalan Sepulut-Kalabakan dekat sini malam Jumaat.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Awang Besar berkata suspek yang berumur 27 tahun itu ditahan kira-kira 9.40 malam oleh sepasukan anggota Jabatan Perhutanan yang sedang membuat operasi di kawasan berkenaan.
"Ketika ditahan, suspek dipercayai cuba memburu di kawasan itu. Pegawai perhutanan yang membuat operasi membanteras pemburu haram di kawasan itu telah menjumpai suspek dan terus menangkap suspek serta merampas selaras bakakuk dan tiga butir peluru," katanya dalam satu kenyataan di sini, Sabtu. - BERNAMA

Pemandu Lori Maut Ditetak Di Hadapan Bank

IPOH: Seorang pemandu lori maut akibat ditetak tiga lelaki bertopeng di hadapan sebuah bank berhampiran Ipoh Padang pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong berkata T. Eswaran, 27, cedera parah di kepala dalam kejadian pukul 9.15 pagi itu dan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun.
"Mangsa dari Taman Kledang Suria, Menglembu baru sahaja mengeluarkan wang dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di bank berkenaan sebelum diserang kumpulan penjenayah terbabit ketika mangsa menuju ke keretanya," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata mangsa terbaring di tepi jalan sebelum dibawa ke hospital oleh ambulans yang dihubungi tetapi meninggal kemudiannya.
Kumpulan itu dilihat melarikan diri dengan kereta Perodua Myvi berwarna perak yang bernombor pendaftaran JLQ 8278, katanya.
Mangsa dikatakan bekerja di Singapura dan balik ke Ipoh untuk bercuti. - BERNAMA

Saturday 15 February 2014

Pekerja Binaan Maut Dalam Kebakaran Di HUS

Kebakaran melibatkan longgokan sisa sampah dari pembinaan di dalam bangunan blok baru HUS mengakibatkan pesakit-pesakit di seluruh wad berdekatan terpaksa dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat di Kuching, Sabtu. - fotoBERNAMA
KUCHING: Seorang pekerja binaan maut akibat terhidu asap tebal berikutan kebakaran di bangunan Kajian Klinikal yang dalam pembinaan di Hospital Umum Sarawak, petang Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Roslan Bek Ahmad berkata ketika kejadian pukul 5 petang itu, mangsa Teguh Prayttno, 35, yang berasal dari Indonesia bersama tiga lagi rakannya sedang melakukan kerja-kerja pembinaan di auditorium di bahagian bawah bangunan tersebut.
"Pihak bomba yang melakukan kerja-kerja memadam kebakaran menemui satu mayat. Hasil siasatan awal mendapat mangsa mungkin maut akibat sesak nafas terhidu asap tebal kerana ketika ditemui mangsa hanya melecur.

Stesen Minyak Di Kerteh Disamun Waktu Solat Jumaat

KEMAMAN: Seorang lelaki menyamun sebuah stesen minyak di Kerteh ketika waktu solat Jumaat dan melarikan wang tunai lebih RM1,000.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 1.40 tengah hari ketika hanya terdapat dua pekerja wanita di dalam kedai serbaneka di stesen tersebut, sementara pekerja lelaki telah keluar mengerjakan solat.
Juruwang Nor Salwani Marwan berkata lelaki tersebut sempat membeli air minuman sebelum melakukan rompakan

Nirmala Nafi Reka Dakwaan Dia Dipukul Majikan Dengan Cawan Besi

KUALA LUMPUR: Pembantu rumah warga Indonesia Nirmala Bonat pada Jumaat menafikan dakwaan yang dia dipukul dengan cawan besi oleh majikannya pada 17 Mei 2004 adalah rekaannya semata-mata.
Nirmala, 29, yang menyambung keterangannya di Mahkamah Tinggi, Jumaat berkata beliau juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam Chan Vy Sing, yang mewakili Yim Pek Ha dan suaminya, Hii Ik Tiing bahawa kecederaan yang dialaminya di bahagian dahi, bibir dan hidung adalah tidak benar.
Menerusi pernyataan saksinya, pada tarikh berkenaan Nirmala dipukul oleh majikannya Yim menggunakan cawan besi yang besar di bahagian dahi dan bibirnya sehingga berdarah di bahagian dahi, bibir dan hidung.

Tiga Lelaki Mengaku Tidak Bersalah Rompak Rumah Pengerusi Gerakan Melaka

MELAKA: Tiga lelaki pada Jumaat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan merompak rumah Pengerusi parti Gerakan Melaka Datuk Lee Ah Fat di Jalan Jalan Datok Palembang, Bukit Baru disini, bulan lepas.
Peniaga getah beku Law Pik Ho, 40, ejen hartanah See Jun Ching, 19, dan penganggur Oh Hung Liang @ Peter Oh, 35, didakwa melakukan rompakan itu 6.30 pagi, 29 Jan lepas.
Mereka didakwa menggunakan parang untuk merompak secara berkumpulan terhadap harta Lee iaitu seutas jam tangan jenama Rolex, seutas jam tangan jenama Tissot, seutas jam tangan jenama Ball, sebentuk cincin emas batu jed dan wang tunai RM3,000.

Friday 14 February 2014

Kerajaan Mohon Batal Tuntutan Kewarganegaraan Navin Moorthy

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang memohon untuk membatalkan saman yang difailkan oleh seorang pelajar yang disenaraikan sebagai 'bukan warganegara' dalam rekod Jabatan Pendaftaran Negara walaupun dia mempunyai sijil kelahiran dan pasport.
Navin Moorty, berdarah kacukan Malaysia-Filipina, memohon untuk didaftarkan sebagai seorang warganegara Malaysia.

Dua Pekerja Ladang Dipenjara Bunuh Orang Utan

Dua pekerja ladang warga Filipina, Armil Gundil (kiri) dan Arcamsar Amil dipenjara dua tahun kerana membunuh orang utan di Lahad Datu, Sabah.
LAHAD DATU: Dua pekerja ladang merupakan yang pertama dipenjara di bawah Enakmen Hidupan Liar Sabah kerana menyebabkan kematian orang utan berusia 15 tahun di sini bulan lalu.

Muhdalena Percaya Lelaki Amuk Bersamanya Adalah 'Imam Mahadi'

Muhdalena Ahmad bersama keluarganya meninggalkan Mahkamah Seksyen Putrajaya selepas hadir bagi membela diri terhadap empat tuduhan termasuk mengamuk bersenjata pedang samurai di hadapan Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya pada Julai 2012. -fotoTheStar/QISHIN TARIQ
PUTRAJAYA: Bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Muhdalena Ahmad memberitahu Mahkamah Seksyen di sini pada Khamis bahawa dia percaya lelaki yang ditembak mati dalam kejadian amuk bersenjatakan pedang samurai di pekarangan kompleks Jabatan Perdana Menteri (JPM) dua tahun lepas, adalah 'Imam Mahadi'.
Muhdalena, 29, turut mengaku membawa pedang samurai dalam kejadian itu seperti mana diarahkan oleh 'Imam Mahadi' kerana percaya lelaki itu adalah pahlawan yang diutuskan Tuhan.
"Saya benar-benar percaya beliau adalah 'Imam Mahadi' dan perlu mematuhi arahannya kerana dia adalah seorang pahlawan yang dihantar oleh Tuhan untuk menyelamatkan umat manusia," jelas Muhdalena ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Kalmizah Salleh.

Thursday 13 February 2014

Mahkamah Persekutuan halang 14 mengakses dokumen SYABAS




dikemaskini Mahkamah Persekutuan menolak permohonan untuk semakan kehakiman berhubung keputusan Mahkamah Rayuan menghalang 14 pengguna mengakses laporan audit dan perjanjian konsesi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS).

Sambil menyifatkannya sebagai mundur ke belakang, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago (kiri) berkata penghakiman itu akan menghadkan fungsi Enakmen Kebebasan Maklumat di Selangor.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan 13 yang lain, telah menamakan  menteri air, tenaga dan teknologi hijau dan SYABAS dalam permohonan itu, untuk mendapatkan akses kepada dokumen-dokumen yang diklasifikasikan rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi.

"Saya percaya ada sesuatu yang tidak kena dalam laporan audit itu. Bagaimanapun, kita tidak boleh mendapat akses kepada kedua-dua
dokumen tersebut," kata MP Klang, Charles Santiago (kiri), salah seorang daripada 13 perayu yang dianggap oleh mahkamah gagal dalam ujian 'locus standi' dalam menjadi sebahagian daripada permohonan itu.

Dalam keputusan hari ini yang disampaikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Hasan Lah berkata hanya MTUC mempunyai asas perundangan untuk mengambil tindakan itu kerana ia telah menulis surat kepada menteri mengenai perkara itu.

Tetapi, seperti 13 yang lain, ia juga tidak akan mempunyai akses kepada dokumen-dokumen kerana OSA.

Hakim Hasan berkata, melihat konteks undang-undang dan fakta keseluruhan permohonan itu, terutama hakikat bahawa ini adalah satu tindakan undang-undang yang kepentingan awam, maka Mahkamah Persekutuan berpendapat MTUC telah menunjukkan bahawa ia mempunyai kepentingan sebenar dan tulen dalam kedua-dua dokumen itu, dan oleh itu, kongres itu terjejas oleh keputusan menteri.

Rayuan Liwat II: Permohonan panggil semula Pereira ditolak




Rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes Liwat II bermula hari ini di Mahkamah Rayuan Putrajaya selepas MP Permatang Pauh itu gagal untuk menghalang peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah daripada mengetuai pihak pendakwaan.

Bagaimanapun, sebelum rayuan pihak pendakwaan didengar, ketiga-tiga panel hakim Mahkamah Rayuan akan mendengar dahulu permohonan Anwar untuk memanggil semula pegawai penyiasat yang telah bersara, Supt Jude Blacious Pereira (kanan).

Karpal Singh, peguam yang mewakili Anwar, memfailkan permohonan untuk memanggil semula Pereira (kanan) saksi itu minggu lepas.

Ini berikutan kegagalan Pereira untuk diterima sebagai peguam bulan lalu selepas Majlis Peguam memfailkan bantahan awal di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Majlis Peguam berhujah bahawa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) telah didapati bekas pegawai polis itu bukan seorang seorang saksi yang berwibawa dalam pendengaran kes polis menahan lima peguam pada 2009 di Balai Polis Brickfields.

Keputusan itu dibuat oleh tiga anggota panel Suhakam yang diketuai
oleh Shafee (kanan) semasa beliau menjadi pesuruhjaya hak asasi manusia.

Kes pendakwaan akan bertumpu kepada bukti DNA yang telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas ia mendapati wujud kemungkinan ia telah diubah.

Pereira yang mengambil sampel daripada doktor dan mahkamah telah diberitahu bahawa dia telah membuka pakej itu dan melabelnya berbeza daripada apa yang telah ditandakan oleh doktor pada asalnya, sebelum membawanya kepada ahli kimia.

Terdapat juga persoalan mengenai sampel itu tidak disimpan dengan betul. Menurut arahan Hospital Kuala Lumpur ialah ia perlu disimpan dalam peti sejuk, tetapi Pereira menyimpannya dalam kabinet besinya di pejabatnya yang berhawa dingin.

Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan di kondominium Desa Damansara pada 28 Jun 2008.

Nirmala Tidak Cuba Mengelak Ketika Disimbah Air Panas Oleh Majikan

Nirmala Bonat
KUALA LUMPUR: Pembantu rumah warga Indonesia, Nirmala Bonat pada Rabu memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia tidak cuba mengelak air panas yang disimbah di paha kanannya oleh bekas majikan, Yim Pek Ha.
Nirmala, 29, berkata demikian ketika disoal peguam Chan Vy Sing, yang mewakili Yim dan suaminya, Hii Ik Tiing dalam perbicaraan hari ketiga kes saman yang difailkan terhadap mereka kerana mendera dan mencederakannya dengan seterika dan air panas.
Nirmala, yang turut menunjukkan demonstrasi bagaimana air panas itu disimbah ke atasnya berkata kejadian itu berlaku dengan pantas dan dia tidak cuba mengelak.
"Majikan perempuan saya mengambil air panas, langsung menyimbah air itu ke atas paha kanan saya," kata ibu kepada dua anak lelaki itu sambil menunjukkan demonstrasi di hadapan Hakim Siti Khadijah S.Hassan Badjenid.
Nirmala berkata simbahan air itu hanya terkena pada paha kanannya dan tidak terkena pada bahagian lain.
Beliau juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam Chan yang menyatakan dakwaan bahawa air panas itu disimbah oleh Yim adalah rekaannya sendiri kerana kecederaan pada paha kanan itu menunjukkan seolah-olah simbahan air panas itu adalah perbuatan yang disengajakan olehnya.
Chan: "Adakah kamu setuju bahawa kecederaan pada paha kanan kamu boleh terjadi sekiranya air panas itu dituang dengan perlahan hanya dalam keadaan duduk?"
Nirmala: "Saya tidak bersetuju".
Chan: "Saya katakan bahawa kamu telah mengangkat seluar kamu dalam keadaan duduk dan menuang sendiri air panas itu ke atas paha dan disebabkan itu tidak berlaku kecederaan pada tempat lain?"
Nirmala: "Saya tidak bersetuju".
Nirmala juga tidak bersetuju dengan cadangan Chan yang menyatakan dia tidak menghubungi keluarganya di Indonesia ataupun pihak agensi kerana dakwaan bahawa majikannya itu melakukan penderaan terhadapnya adalah tidak benar.
Wanita yang berasal dari Desa Tuapakas di Kota Kupang, Indonesia itu berkatapasangan suami isteri itu tidak pernah memberi ubat kepadanya serta tidak pernahmembawanya ke klinik bagi mengubati kecederaan yang dialaminya itu.
Pada 28 Jan 2010, Nirmala memfailkan saman terhadap Yim, 46, dan Hii, 48, selepas mendakwa didera dan dicederakan beberapa kali oleh Yim, antaranya dengan menggunakan seterika panas yang dilekapkan pada badannya pada Jan 2004.
Wanita itu, yang diambil bekerja sebagai pembantu rumah kepada pasangan terbabit yang tinggal di Villa Putera, Jalan Tun Dr Ismail di sini pada Sept 2003, mendakwa Hii pula telah gagal menghalang isterinya daripadamencederakannya serta gagal memberikannya rawatan perubatan sewajarnya.
Nirmala menuntut ganti rugi am bagi kesakitan dan penderitaan yang dialaminya serta ganti rugi khas lebih RM40,000 bagi kehilangan pendapatan, perbelanjaan perubatan dan perbelanjaan lain yang akan ditaksirkan olehmahkamah.
Pada 1 Okt 2012, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Yim, yang didapati bersalah atas tiga pertuduhan mencederakan Nirmala.
Perbicaraan bersambung pada Khamis. - BERNAMA

Komando VAT69 Diserang Dalam Perjalanan Untuk Bantu Rakan

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu pasukan komando VAT69 di sektor A di Kampung Tanduo, Lahad Datudiserang penceroboh bersenjata pada 1 Mac lepas ketika dalam perjalanan untuk memberi pertolongan kepada rakan-rakan mereka yang sedang bertempur di sektor masing-masing.
Inspektor Sahar Omar, yang mengetuai tiga patrol di sektor A ketika menjalankan operasi tinjau rapat di kampung tersebut, berkata beliau dan pasukannya diarahkan oleh ketua sektor tersebut DSP Hakemal Hawari untuk memberi bantuan selepas mendengar tembakan dari arah sektor B dan C.
"DSP Hakemal mengarahkan saya dan pasukan saya untuk memberi bantuan dan berpecah dalam kumpulan kecil bergerak menuju kawasan bunyi tembakan. Kami bergerak dalam keadaan berlari.
"Dalam perjalanan ke arah sektor B dan C, kami jumpa sebuah rumah di mana kami diserang (ditembak) bertubi-tubi. Musuh (penceroboh) berada di tanah (bawahrumah) ketika itu," katanya.
Saksi ketujuh itu berkata beliau dan pasukannya terus mencari perlindungandan membalas tembakan penceroboh.
Menurut Sahar, selepas kira-kira 10 minit berbalas tembakan, beliau mengarahkan anggota pasukannya supaya berundur kerana sukar untuk mencariperlindungan.
"Disebabkan kuasa tembakan musuh dan bentuk muka bumi yang tidak berpihak kepada kami, saya membuat keputusan untuk mengarahkan pasukan saya untuk berundur kerana kawasan lapang dan tidak ada perlindungan," katanya.
Beliau berkata tiada anggota pasukannya yang tercedera mahupun terkorban dalam insiden itu.
Selepas bertempur dengan penceroboh tersebut, Sahar berkata beliau dan pasukannya tidak dapat membantu rakan-rakan mereka di sektor B dan C kerana kedudukan mereka yang jauh iaitu kira-kira 1km.
Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Abdul Wahab Mohamed jika mendapatsebarang arahan daripada Hakemal selepas pertempuran itu, Sahar berkata Hakemalmengarahkannya dan pasukannya untuk mencari kawasan yang selamat untuk berlindung, sementara menunggu bantuan rakan-rakan mereka yang ditugaskan disektor E.
Sahar memberitahu mahkamah pada 6 Mac tahun lepas kira-kira pukul 3.30 petang, beliau dan pasukannya menembak mati tiga pengganas di Kampung Tanjung Batu ketika menjalankan operasi 'cut-off' bagi menyekat penceroboh daripada terlepas dari kampung itu.
"Setelah saya bersama pasukan saya dalam kedudukan 'cut-off', kedengaran tembakan dari arah kawasan pasukan DSP Abdul Rani Alias di hadapan kawasan tanggungjawab saya dan pasukan saya.
"Dalam masa lebih kurang 10-15 minit lepas dengar bunyi tembakan (dari arah pasukan Abdul Rani), kelihatan tiga lelaki - dua berpakaian celoreng penuh dan berparang, dan seorang memakai separuh celoreng iaitu kemeja T dan seluar celoreng menuju ke arah kami," katanya.
Sahar berkata ketika tiga lelaki itu dalam jarak kira-kira 30 meter daripasukannya, beliau dan pasukannya melepaskan tembakan ke arah tiga lelakitersebut yang terus rebah.
Tiga puluh tertuduh, yang terdiri daripada 27 rakyat Filipina dan tiga penduduk tempatan, dibicarakan dalam kes ini.
Sesetengah mereka menghadapi tuduhan menganggotai kumpulan pengganas ataumelancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, membawa masuk orang untukmenganggotai kumpulan pengganas atau secara sengaja melindungi individu yangmereka tahu menjadi anggota sebuah kumpulan pengganas.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Februari dan 10 April tahun lepas.
Perbicaraan di hadapan hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah, bersambung pada Khamis.-BERNAMA

Tuesday 11 February 2014

Komando VAT69 Dapat Arahan Tembak Penceroboh Bersenjata - Saksi

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini Selasa diberitahu bahawa komando VAT69 mendapat arahan supaya menembak mana-manapenceroboh yang didapati bersenjata dalam pencerobohan di Kampung Tanjung Batu di Lahad Datu pada 6 Mac tahun lepas.
DSP Anwar Rosdi berkata arahan itu, yang diberi kepada komando dalam operasi 'cut-off' bagi menghalang penceroboh melarikan diri dari Kampung Tanjung Batu, tidak sama dengan arahan yang diberi dalam operasi pengintipan jarak dekat yang dijalankan di Kampung Tanduo.
Peguam Datuk N. Sivananthan: "Dalam keterangan yang diberi, anda berkataanda tidak boleh menembak, kecuali ditembak terlebih dahulu. Adakah anda bersetuju dengan saya bahawa anda tidak mematuhi arahan itu pada 6 Mac?"
Anwar: "Saya tak setuju sebab arahan itu diberikan untuk operasi di Kampung Tanduo. Bukan di Kampung Tanjung Batu."
Saksi ini juga menafikan bahawa perbuatannya menembak mati dua penceroboh diKampung Tanjung Batu sebagai suatu kesalahan.
Sivananthan: "Adakah anda bersetuju dengan saya bahawa anda dan pasukan anda bebas untuk menembak mana-mana penceroboh?"
Anwar: "Saya tak setuju sebab kami boleh menembak mereka yang bersenjata."
Sivananthan: "Saya katakan kepada anda bahawa anda dan pasukan anda gagal mengambil langkah-langkah sewajarnya sebelum menembak mereka."
Anwar: "Saya tak bersetuju sebab mereka bersenjata."
Anwar berkata, terdapat empat pasukan peronda di bawah jagaannya dengan kekuatan 24 anggota, tetapi bukan kesemua mereka terlibat dalam pertempuran di Kampung Tanjung Batu dan beliau tidak dapat mengingati jumlahnya.
Kata saksi itu walaupun beliau ternampak lima penceroboh bersenjata di Kampung Tanjung Batu, beliau tidak menembak mereka, tetapi memberi arahan kepada anggotanya supaya berbuat demikian.
Terdahulu, Anwar memberitahu mahkamah bahawa pasukan yang ditugaskan di Sektor B dan D dalam operasi pengintipan jarak dekat di Kampung Tanduo pada 1 Mac berada di kawasan Sektor C apabila satu pertempuran berlaku.
Menjawab soalan Sivananthan sama ada beliau memberi isyarat bagi mendapatkan bantuan, Anwar, yang mengetuai pasukan bagi Sektor C, berkata beliau menggunakan walkie-talkie untuk memaklumkan kepada Pemerintah Taktikal Operasi Datuk Abdul Rashid Harun tentang pertempuran yang berlaku di sektornya kerana Abdul Rashid merupakan satu-satunya pegawai yang boleh membuat keputusan tentang siapa yang perlu membantu mereka.
Bagaimanapun, katanya, lebih kurang pada waktu yang sama, Sektor B juga diserang penceroboh bersenjata.
"Apa yang saya tahu, kumpulan saya dan kumpulan B terlibat dengan pertempuran lebih kurang pada 10 pagi kerana kedudukan kami berdekatan dan saya boleh mendengar bunyi tembakan (dari sektor B)," katanya.
Anwar juga memberitahu mahkamah beliau tidak mendapat sebarang mesej daripada orangnya, Korporal Azman Ampong, yang berada di hadapan bersama Korporal Mohd Tarmizi Hashim, bahawa kehadiran mereka dikesan sekumpulan penceroboh bersenjata.
"Saya hanya mendapat mesejnya (Azman) melalui 'walkie-talkie' dua minit selepas pertempuran berlaku. Azman bagi tahu dia terkena tembakan," katanya.
Menjawab soalan Sivananthan sama ada beliau cuba menghubungi Azman untuk bertanya apa yang berlaku sebaik sahaja mendengar tembakan pertama, Anwar berkata beliau tidak mengingatinya kerana keadaan ketika itu begitu kelam kabut.
Tiga puluh tertuduh, yang terdiri daripada 27 rakyat Filipina dan tiga penduduk tempatan, dibicarakan dalam kes itu.
Sesetengah mereka menghadapi beberapa pertuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, membawa masuk anggota ke dalam kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota sebuah kumpulan pengganas.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April tahun lepas.
Pendengaran di hadapan Hakim Stephen Chung yang diadakan di Jabatan Penjara Sabah, disambung pada Rabu. - BERNAMA

Mahkamah Persekutuan Tolak Permohonan Anwar Gugur Shafee

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim keluar dari bilik mahkamah selepas mahkamah berhenti rehat di Mahkamah Persekutuan Istana Kehakiman Putrajaya pada Selasa. Anwar yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu hadir ke mahkamah berhubung rayuan kali keduanya untuk mengetepikan peguam pendakwa bagi kes liwatnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah. -fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan pada Selasa menolak rayuan kali kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetepikan Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan kes liwatnya.
Keputusan rayuan Ketua Pembangkang itu diumumkan di sini sebentar tadi.
Anwar, 66, memfail permohonan kedua bagi membatalkan kelayakan Muhammad Shafee dengan menggunakan maklumat dari akuan bersumpah bekas ketua CID Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim bagi menyokong permohonan itu.
Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah
Permohonan pertamanya ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 17 September tahun lepas, berikutan itu beliau merayu di Mahkamah Persekutuan, tetapi juga ditolak.
Pada 9 Januari tahun lepas, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Anwar atas tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di sebuah unit kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 ptg dan 4.30 ptg pada 26 Jun, 2008.
Muhammad Shafee, seorang peguam kanan, dilantik oleh Peguam Negara dengan kuasa di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Prosedur Jenayah (CPC) dan Artikel 145 (3)Perlembagaan Persekutuan bagi mengendali rayuan di Mahkamah Rayuan.