Thursday 31 October 2013

Suspek Kes Bunuh Ng Yuk Tim Didakwa Atas Tuduhan Membunuh

Suspek kes bunuh Yuk Tim (baju putih).
PETALING JAYA: Kenalan lelaki Ng Yuk Tim, 23 didakwa di Mahkamah Majistret di sini, Khamis atas tuduhan membunuh remaja berkenaan.
Suspek, Poom Wai Hong, 23, didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.
Phoon, yang memakai kemeja-T berwarna putih tidak memberikan sebarang reaksi ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Dia dakwa membunuh remaja perempuan berusia 15 tahun itu dalam sebuah rumah di Kampung Cempaka di Kelana Jaya antara pukul 3 hingga 4 petang pada 21 Oktober.
Tiada rayuan direkodkan dan ikat jamin tidak dibenarkan.
Majisret K B Elena Hong Tze Lan menetapkan 6 Disember depan untuk sebutan semula kes.
Keluarga mangsa turut hadir di kompleks mahkamah.
Pada 22 Oktober lalu, suspek mengaku kepada seorang pemerhati jenayah, Kuan Chee Hong bahawa dia cuba merogol mangsa dan apabila mangsa bertindak mengigit tangannya dia telah menghentak kepala mangsa dengan satu objek sekali gus membawa kepada kematian mangsa.
Lelaki itu memukul mangsa menggunakan 'dumbbell' dan menyebabkannya mati serta-merta.
Dilaporkan bahawa Yuk Tim meninggalkan rumah pada pukul 11 pagi 21 Oktober dan pergi ke rumah suspek di Kampung Cempaka di Kelana Jaya untuk membuat pakaian kostum bagi suatu majlis.
Pada awalnya lelaki terbabit mendakwa dia menghantar budak perempuan itu di stesen LRT Kelana Jaya pada kira-kira pukul 3.30 petang.
Selepas membuat pengakuan tersebut suspek kemudiannya diserahkan kepada pihak polis.
Dia kemudiannya membawa polis menemui mayat yang dipercayai Yuk Tim, yang disumbat ke dalam beg pakaian dekat Kota Kemuning di Shah Alam pada kira-kira pukul 8.30 malam.

Pengarah PPUKM, Tiga Lain Diarah Bayar RM400,000 Kerana Langgar Kerahsiaan, Memfitnah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini Rabu memerintahkan pengarah Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan tiga yang lain membayar ganti rugi sejumlah RM400,000 kepada seorang pesakit kerana melanggar kerahsiaan dan memfitnah.
Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera mengeluarkan perintah itu selepas mahkamah berpuas hati bahawa plaintif, Mohd Zairi Rasidi Abd Hadi, berjaya membuktikan kesnya terhadap empat defendan itu.
Mohd Zairi, 36, merupakan pesakit di Klinik Psikiatri PPUKM, memfailkan saman itu tahun lepas menamakan pengarah PPUKM; Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang menguruskan dan mengendalikan operasi PPUKM; Khairulnizam Nordin dan Zulkefli Mohd Rusly sebagai defendan selepas rekod perubatannya didedahkan kepada pihak ketiga.
Mohd Zairi, yang merupakan ketua komuniti di kawasan kejiranannya dan aktif dalam aktiviti pencegahan jenayah di Kg Muhibbah 2 di Puchong, memfailkan saman melanggar kerahsiaan dan memfitnah.
Vazeer dalam keputusannya memerintahkan pengarah PPUKM dan UKM membayar sejumlah RM200,000 bagi melanggar kerahsiaan manakala dua lagi defendan diarah membayar sejumlah RM200,000 bagi memfitnah.
Beliau juga memerintahkan kesemua defendan membayar sejumlah RM25,000 sebagai kos perundangan kepada plaintif.
Dalam penghakiman ringkasnya, Vazeer berkata apa yang jelas ialah nama baik plaintif telah tercemar berikutan pelanggaran kerahsiaan oleh kedua-dua defendan dan beliau dapat memahami bahaya yang ditimbulkan terhadap plaintif.
Beliau berkata di sisi undang-undang, pengarah PPUKM dan UKM bertanggungjawab untuk memastikan kerahsiaan maklumat perubatan pesakit dilindungi dan tidak disebarkan sewenang-wenangnya.
Vazeer menegaskan profesional perubatan dan hospital perlu menjaga rahsia pesakit dengan serius, jika tidak kepercayaan orang ramai terhadap profesion perubatan dalam menyimpan rahsia maklumat pesakit akan hilang.
"Perlu ada pemeriksaan ketat dalam sistem untuk memastikan pihak tidak bertanggungjawab tidak mempunyai akses kepada sistem itu atau orang yang mempunyai akses kepada sistem itu tidak menyalahgunakannya," katanya.
Katanya satu lagi perkara yang mengusarkan dalam kes ini ialah kegagalan pengarah PPUKM menyiasat aduan plaintif apabila beliau membuat laporan.
Vazeer berkata pengarah dilihat tidak mengambil serius aduan itu untuk mengarahkan siasatan segera dilakukan untuk menyiasat bagaimana dokumen dicetak daripada sistem dan siapa yang bertanggungjawab melakukannya.
"Pelanggaran seumpama itu perlu disiasat segera," katanya.
Beliau berkata plaintif juga telah digelar 'orang gila' oleh penduduk di kejiranannya.
"Saya sendiri dapat merasai kepedihan dan penderitaan emosinya semasa memberikan keterangan di mahkamah. Masyarakat kita masih belum dapat menerima hakikat bahawa seseorang yang berjumpa pakar psikiatri hanya berupa perjumpaan dengan profesional perubatan. Terdapat terlalu banyak prejudis terhadap sesiapa yang mendapatkan rawatan psikiatri," katanya.
Vazeer berkata plaintif dalam keterangannya berkata beliau menghidapi kemurungan teruk dan sebab itu beliau mendapatkan rawatan di PPUKM dan beliau amat kecewa kerana kepercayaan yang diberikan kepada PPUKM untuk merahsiakan rekod perubatannya telah dilanggar oleh dua defendan itu.
Beliau berkata dalam perbicaraan pada 23 April tahun lepas, saksi kedua plaintif berkata beliau nampak dua defendan (Khairulnizam dan Zulkefli)mengedarkan salinan dokumen mengandungi butiran peribadi dan rekod perubatan rawatan plaintif di PPUKM kepada penduduk Kg Muhibbah dan plaintif sendiri turut menerima salinan dokumen itu.
Vazeer berkata ini jelas menunjukkan cubaan mereka (Khairulnizam dan Zulkefli) untuk mencemarkan nama baik plaintif.
Beliau berkata dokumen itu merupakan cetakan komputer dengan tajuk "Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Maklumat Pesakit" dan mengandungi maklumat mengenai tarikh temujanji plaintif di Klinik Psikiatri serta jenis ubat yang diberi kepadanya.- BERNAMA

Tuesday 29 October 2013

Sebabkan Kematian Ahli Perniagaan, Remaja Diperintah Ke Henry Gurney

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini Isnin memerintahkan seorang remaja lelaki berumur 19 tahun dihantar ke Sekolah Henry Gurney kerana menyebabkan kematian seorang ahli perniagaan dua tahun lepas.
Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah membuat keputusan itu selepas tertuduh, yang diwakili peguam S.S. Ruban, mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dia didakwa menyebabkan kematian A. Murugaiyah, 27, di lampu isyarat Batu 16, Sungai Pelong, Jalan Kuala Selangor, Petaling Jaya dekat sini antara pukultiga pagi dan lima pagi pada 12 Disember 2011, bersama seorang lagi yang masih bebas.
Pada asalnya, remaja itu berdepan pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes yang dibentang Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong, pada hari kejadian, mangsa ditemui terbaring di tepi jalan dalam keadaan separuh sedar dengan kecederaan di bahagian kepala pada 5.30 pagi sebelum dihantar ke Hospital Sungai Buloh.
Siasatan mendapati ketika kejadian, Murugaiyah dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sekinchan selepas menghadiri kenduri kahwin di Puchong.
Siasatan juga mendapati Murugaiyah didatangi dua lelaki sebelum seorang daripada mereka bertindak memecahkan cermin kereta mangsa menggunakan kayu manakala rakannya menarik mangsa keluar dari kenderaannya.
Kedua-dua lelaki seterusnya dilihat masuk ke dalam kereta mangsa dan melarikan kenderaan itu.
Polis menemui kereta Murugaiyah di kawasan parkir sebuah pangsapuri di Kuala Selangor pada kira-kira 10 pagi hari yang sama.
Mangsa disahkan meninggal dunia pada 14 Disember 2011 di Hospital Sungai Buloh dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian ialah akibat kecederaan di tengkorak serta otak disebabkan trauma objek tumpul pada kepala.
Selain itu, bedah siasat mendapati mangsa menghidap 'haemophilia' iaitu sejenis penyakit kelainan darah yang mana mangsa mudah mengalami pendarahan apabila luka.- BERNAMA

Friday 25 October 2013

Isu Air Percuma: Mahkamah Rayuan Batal Saman 711 Pengguna di Selangor

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan membatalkan saman 711 pengguna terhadap kerajaan negeri Selangor dan dua lagi berhubung isu air percuma.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Zaharah Ibrahim membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan kerajaan negeri Selangor, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) bagi membatalkan saman berkenaan.
Panel itu, yang turut dianggotai Datuk Anantham Kasinater dan Datuk Abang Iskandar Abang Hashim, bagaimanapun tidak membuat sebarang perintah berhubung kos.
Kerajaan negeri Selangor, Abdul Khalid dan Syabas mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 4 Feb lepas yang menolak permohonan mereka untuk membatalkan saman itu.
Responden merupakan penduduk Shah Alam yang memfailkan saman pada 11 Sept tahun lepas menuntut ganti rugi lebih RM400,000 selepas mendakwa tidak menerima subsidi air seperti yang dijanjikan kerajaan negeri Selangor.
Penyataan tuntutan mereka mendakwa semasa kempen pilihan raya umum 2008, kerajaan negeri Selangor berjanji pengguna domestik dengan kadar penggunaan 20 meter padu sebulan akan menikmati subsidi air iaitu percuma.
Berdasarkan manifesto itu, mereka mendakwa setiap pengguna domestik dengan Syabas adalah layak menerima subsidi bulanan sebanyak RM11.40 dan meskipun kerajaan negeri melaksanakan Skim Air Percuma pada 1 Jun 2008, mereka tidak menerimanya.
Mereka turut mendakwa Abdul Khalid kemudian menjelaskan bahawa pengguna dengan meter penggunaan air yang besar tidak layak menerima subsidi itu.
Selain ganti rugi, mereka menuntut perintah injunksi mandatori agar Syabas mengeluarkan bil air dengan rebat yang dijanjikan, faedah empat peratus setahun dan relif lain yang difikir wajar oleh mahkamah.
Responden diwakili peguam T.Geetha, kerajaan negeri Selangor dan Abdul Khalid oleh Edmund Bon manakala peguam Gopal Sreenevasan mewakili SYABAS. -BERNAMA

PKFZ: Dr Ling Liong Sik Dilepas Dan Dibebaskan Daripada Tuduhan Tipu Kerajaan


Tun Dr Ling Liong Sik
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada Jumaat daripada tuduhan menipu kerajaan Malaysia berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Hakim Datuk Ahmadi Asnawi membebaskan Dr Ling selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kesemua pertuduhan di akhir kes pembelaan.
Dr Ling, 70, yang diperintah membela diri pada 9 Mac tahun lepas, didakwa menipu kerajaan untuk memberi persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah, Pelabuhan Klang bagi pembinaan projek 'Mega Distribution Hub' yang kini dikenali PKFZ.
Dia didakwa menipu kerajaan apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 sekaki persegi (skp) iaitu RM1.088 bilion sedangkan beliau tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Kementerian Kewangan, dalam menentukan nilai itu, telah mengambil kira kadar kupon.
Dr Ling juga berdepan dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.
Dr Ling didakwa melakukan semua kesalahan itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 25 September dan 6 November 2002.-BERNAMA

Thursday 24 October 2013

PKFZ: Nasib Tun Dr Ling Liong Sik Diketahui Jumaat Ini

KUALA LUMPUR: Nasib bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik yang dituduh menipu kerajaan berhubung projek pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) sama ada dilepas dan dibebaskan atau dipenjara, akan diketahui Jumaat ini.
Hakim Datuk Ahmadi Asnawi yang mendengar kes itu memerintahkan Dr Ling, 70, membela diri pada 9 Mac lalu dan dia selesai memberi keterangan pada 20 Jun lepas.
Sepanjang prosiding itu, sebanyak sembilan saksi dipanggil termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dia didakwa menipu kerajaan untuk memberi persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah, Pelabuhan Klang bagi pembinaan projek 'Mega Distribution Hub' yang kini dikenali PKFZ.
Dr Ling didakwa menipu kerajaan apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 sekaki persegi (skp) iaitu RM1.088 bilion sedangkan beliau tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Kementerian Kewangan, dalam menentukan nilai itu, telah mengambil kira kadar kupon.
Dia juga berdepan dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.
Dr Ling didakwa melakukan semua kesalahan itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 25 September dan 6 November 2002

Tuesday 22 October 2013

Dua Lelaki Iran Dipenjara Sembilan Tahun, 13 Sebatan Miliki Dadah

SHAH ALAM: Dua lelaki warganegara Iran masing-masing dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan 13 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini Isnin selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan memiliki dadah jenis Methamphetamine yang disembunyikan di dalam perut mereka, dua tahun lepas.
Hakim Datuk Ahmadi Asnawi memerintahkan tertuduh, Hamed Alm Khan Ali Bakhsh, 23, yang bekerja sendiri dan Hossein Goharian Lotf Jafar, 25, ejen hartanah, menjalani hukuman berkuat kuasa dari tarikh mereka ditangkap pada 5 Januari 2011.
Ahmadi menjatuhkan hukuman itu selepas mengambil kira bahawa kesalahan dadah merupakan kesalahan yang serius dan mengambil kira kes membabitkan warga Iran membawa masuk dadah ke negara ini dengan menyembunyikannya di dalam perut kerap berlaku.
Hamed didakwa memiliki 46 kapsul berisi dadah jenis Methamphetamine seberat 188.9 gram di tandas wad 6C, Bilik No:28, Hospital Serdang dekat sini, antara pukul 10.27 malam, 5 Januari 2011 dan 11.05 malam 6 Januari 2011.
Hossein pula didakwa memiliki 53 kapsul berisi dadah jenis Methamphetamine seberat 166.7 gram di tempat sama antara 9.53 malam, 5 Januari 2011 sehingga 10.58 malam, 6 Januari 2011.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39A (2) Akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sekurang-kurangnya 10 kali sebatan.
Mengikut fakta kes, Hamed dan Hossein ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Sepang, pada pukul 9 pagi, 5 Januari 2011 bersama tiga lagi warga Iran yang kemudiannya dibebaskan.
Hasil siasatan ke atas kedua-dua tertuduh tidak menemukan sebarang barang salah.Hamed dan Hossein kemudian dibawa ke Hospital Serdang untuk membuat imbasan sinar-x dan hasilnya terdapat imej yang mencurigakan di dalam badan mereka.
Kedua-dua tertuduh seterusnya ditahan di wad untuk mengeluarkan dadah berkenaan dan beberapa anggota polis menyaksikan Hamed dan Hossein mengeluarkan kapsul berisi dadah melalui dubur masing-masing.
Kedua-dua tertuduh sebelum ini menghadapi pertuduhan mengedar mengikut Seksyen 39B 1(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam V.Samynathan yang mewakili Hamed dan Hossein memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan mereka telah menyesal dan meminta diberi peluang untuk membina kehidupan baharu selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Beliau berkata kedua-dua tertuduh juga merupakan pesalah pertama dan masih muda ketika melakukan kesalahan itu.
Timbalan Pendakwa Raya Aidatul Azura Zainal Abidin yang mengendalikan pendakwaan pula meminta mahkamah mengambil kira bahawa kekerapan kes membabitkan warga asing yang membawa masuk dadah ke negara ini menunjukkan mereka tidak menghormati undang-undang Malaysia.
"Hukuman berat perlu dijatuhkan sebagai isyarat jelas kepada masyarakat luar supaya menghormati kedaulatan undang-undang negara ini dan kita tidak memberi muka kepada mereka yang melakukan kesalahan dadah. Cara mereka membawa masuk dadah ke Malaysia juga menunjukkan mereka cuba memperlekeh undang-undang negara ini," katanya. - BERNAMA

Mahkamah Persekutuan Teruskan Pendengaran Rayuan Petisyen Pilihan Raya

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini pada Isnin meneruskan pendengaran rayuan dalam petisyen pilihan raya membabitkan tiga kawasan Parlimen dan empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan dan Perak berhubung keputusan pilihan raya di kesemua kawasan itu pada pilihan raya umum ke-13.
Panel lima anggota diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria mendengar rayuan itu selepas menolak bantahan awal yang dikemukakan Anggota Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa dan Anggota Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Peguam mereka Datuk Hafarizam Harun membangkitkan bantahan awal dalam usaha mengetepikan rayuan itu yang difailkan calon PKR Ab. Aziz Ab. Kadir dan Wan Zawawi Wan Ismail, masing-masing kalah kepada Annuar dan Ahmad Jazlan di Parlimen Ketereh serta Machang dalam pilihan raya umum lepas.
Hafarizam berhujah bahawa rayuan yang dikemukakan oleh dua calon daripada PKR itu tidak boleh bertahan disebabkan peguam mereka bukanlah peguambela yang mewakili mereka di Mahkamah Pilihan Raya dan oleh itu tidak mempunyai kuasa untuk mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan.
"Kami memutuskan bahawa bantahan awal ini tidak boleh diterima," kata Arifin dalam keputusan sebulat suara yang menolak bantahan awal itu.
Arifin bersidang dalam panel itu bersama-sama Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan tiga hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Ahmad Maarop serta Datuk Hasan Lah.
Rayuan itu membabitkan petisyen pilihan raya bagi kerusi Parlimen Ketereh, Machang dan Bachok di Kelantan serta empat kerusi DUN iaitu Jelawat di Kelantan dan Pasir Panjang, Manong serta Rungkup di Perak.
Rayuan bagi kawasan pilihan raya Ketereh, Machang, Pasir Panjang, Rungkup dan Manong difailkan PKR serta PAS manakala rayuan bagi kawasan pilihan raya Bachok dan Jelawat difailkan Barisan Nasional.
Kesemua petisyen pilihan raya itu diketepikan oleh Mahkamah Pilihan Raya dengan kos berkaitan bantahan awal yang tidak mematuhi Perintah 9 dan Perintah 34 Peraturan-peraturan Petisyen Pilihan Raya 1954.
Pihak perayu mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan supaya petisyen pilihan raya mereka dikembalikan dan diremit semula ke Mahkamah Pilihan Raya untuk diputuskan berdasarkan merit melalui perbicaraan penuh. - BERNAMA

Monday 21 October 2013

Juruukur Bahan Didenda RM20,000 Hina Sultan Johor Menerusi FB



JOHOR BARU: Seorang juruukur bahan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini Isnin selepas didapati bersalah menulis komen menghina Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menerusi laman sosial Facebook Oktober tahun lepas.
Hakim Muhammad Jamil Hussin turut memerintahkan tertuduh, Ahmad Abd Jalil, 28, yang berasal dari Klang, Selangor, dipenjara enam bulan sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.
Dia didakwa membuat komen yang jelik dengan niat menyakiti institusi Kesultanan Johor dan rakyat menggunakan aplikasi Facebook melalui akaun http://www.facebook.com/ibrahim.osman.313371 menggunakan nama profil 'Zul Yahya'.
Kesalahan itu dilakukan di pejabatnya di RD Resources Sdn Bhd, 30-3, Jalan Wangsa Delima 11, Seksyen 5, Kuala Lumpur, pukul 6 petang pada 10 Oktober 2012.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Muhammad Jamil dalam penghakimannya berkata pembelaan tertuduh hanya bersifat penafian semata-mata, apabila dia mendakwa tidak memuat naik gambar, tidak menghantar khidmat pesanan ringkas dan menafikan kaitan dengan Facebook terbabit serta tidak mengetahui Ibrahim Osman.
Peguam Mohd Radzlan Jalaludin yang mewakili tertuduh merayu supaya anak guamnya tidak dihukum penjara dengan alasan Ahmad sedang menyambung pengajian di peringkat sarjana manakala isterinya menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam dan mempunyai 10 adik-beradik.
Pendakwaan yang dikendalikan Ketua Unit Pendakwaan Johor Umar Saifuddin Jaafar dan Timbalan Pendakwa Raya Norashikin Ibrahim memohon mahkamah mengenakan hukuman sewajarnya memandangkan kesalahan Ahmad adalah serius dan Sultan Johor pula merupakan individu berkedudukan tinggi.
Keluarga tertuduh termasuk ibu dan bapanya hadir di mahkamah pada Isnin dan Ahmad membayar denda itu.
Tiga puluh saksi pendakwaan dan sembilan saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sejak perbicaraan kes itu bermula 5 Februari lepas. - BERNAMA

Bekas Pendaftar Dipecat Saman Kuin

ALOR SETAR: Bekas Pendaftar Kolej Universiti Insaniah (Kuin) pada Ahad memfailkan writ saman terhadap bekas majikannya itu yang didakwa memecat beliau secara tidak sah kira-kira empat bulan lepas.
Dalam writnya, plaintif Datuk Latifah Hassan yang diwakili Tetuan Amar Hamidi & Co. menamakan Kuin sebagai defendan dan memberi tempoh 14 hari kepada defendan untuk memasukkan kehadiran.
Latifah, 62, berkata beliau mengambil tindakan itu kerana mendakwa pemangku Rektor Kuin, Datuk Che Barni Mohd Noor membuat keputusan secara bersendirian dan tidak mematuhi perlembagaan dan Jawatankuasa Perjawatan dan Perkhidmatan (JPP).
Katanya, beliau ditawarkan kontrak untuk tempoh dua tahun bermula 13 Disember 2012 sehingga 12 Disember 2014 namun defendan mengeluarkan satu notis penamatan perkhidmatan bertarikh 27 Jun 2013 yang berkuatkuasa 1 Julai 2013.
Dalam writ itu plaintif mendakwa amat terkejut dan kecewa dengan tindakan defendan menamatkan perkhidmatannya secara tiba-tiba tanpa sebab-sebab jelas.
Plaintif memohon kepada mahkamah deklarasi bahawa penamatan kontraknya oleh defendan sebagai tidak sah, menyalahi undang-undang dan hendaklah dikembalikan jawatan.
Dr Latifah berkata beliau mengalami stres dan malu akibat tindakan defendan dan dengan itu menuntut kos dan ganti rugi teruk akibat penamatan kontrak serta relif-relif lain yang difikirkan patut dan sesuai oleh mahkamah.
Sebutan kes itu ditetapkan didengar di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi pada 24 November depan. - BERNAMA

Saturday 19 October 2013

Dera Anak: Pasangan Terlepas Hukuman Mati

PUTRAJAYA: Seorang ibu tunggal dan teman lelakinya terlepas hukuman mati selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan menyebabkan kematian anak perempuan wanita itu yang berumur tiga tahun, tiga tahun lepas.
Hakim Datuk Balia Yusof Wahi, yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, memerintahkan Wong Mei Ting, 26, dan Tan Peng Tong, 30, menjalani hukuman penjara 10 tahun dari tarikh mereka ditangkap pada 14 April, 2010.
Dua lagi anggota panel ialah Hakim Datuk Mokhtaruddin Baki dan Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat.
Hakim Balia, sebelum menjatuhkan hukuman itu, berkata mereka patut amat berterima kasih kepada pihak pendakwaan yang menawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, atau denda atau kedua-duanya.
"Selepas mempertimbang rayuan dikemukakan peguam bela masing-masing dan hujahan timbalan pendakwa raya yang bijaksana, kami sebulat suara menjatuhkan hukuman maksimum yang diperuntukkan di bawah seksyen ini," katanya. Pada 19 Oktober tahun lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati ke atas Wong dan Tan selepas mereka didapati bersalah membunuh Jasmine Lee Siew Hui di No. D-3-15, Blok D, Tingkat Tiga, Apartmen Bayu, Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan antara tengah malam 1 Mac, 2010, dan 14 Mac, 2010.
Dalam perbicaraan, mahkamah diberitahu kanak-kanak perempuan itu mati akibat 'red hepatisation' (radang paru-paru), kerana berulang-kali disepak, dicubit dan dipukul dengan penyangkut baju.
Mahkamah juga diberitahu, pasangan itu malah meninggalkan kanak-kanak itu seorang diri di rumah selepas mengikat tangan dan kakinya dengan tuala semasa mereka pergi makan angin ke Melaka.
Menurut laporan bedah siasat, terdapat sekurang-kurangnya 60 kesan luka di seluruh badan Siew Hui.
Timbalan Pendakwa Raya How May Ling mewakili pihak pendakwaan manakala Wong diwakili peguam Eric T S Lai dan Tan oleh peguam Andrew Lourdes. -BERNAMA

Friday 18 October 2013

Bekas Pegawai Khas MB Selangor Bebas Tuduhan Palsu Dokumen

SHAH ALAM: Jumaat merupakan hari yang istimewa buat Mohd Yahya Mat Sahri, bekas pegawai khas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim apabila beliau sekali lagi dilepaskan untuk menggunakan dokumen palsu.
Mohd Yahya, 46, yang berpakaian baju Melayu, tersenyum apabila mendengar pembebasannya oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Azhaniz Teh Azman Teh yang berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes terhadapnya.
Beliau memeluk peguam Ahmad Nizam Hamid, rakan-rakan dan ahli keluarga yang dipenuhi galeri awam.
Ketika ditemui pemberita, Mohd Yahya berkata: "Saya bersyukur kepada Allah kerana memberi keadilan dengan cara yang benar. Saya berterima kasih kepada peguam saya dan teman-teman saya untuk sokongan mereka dari awal hingga sekarang."
Mohd Yahya, yang merupakan ahli majlis pimpinan PKR pusat didakwa kerana menggunakan dokumen palsu berkenaan dengan "Resolusi Pembukaan Akaun untuk Parti Keadilan Rakyat Selangor" sebagai di sebuah bank di Bandar Sunway pada 14 Mei 2008.
Beliau telah dibebaskan pada akhir kes pendakwaan tetapi atas rayuan telah diarahkan untuk membela diri oleh Mahkamah Tinggi.
Hakim Azhaniz Teh memerintahkan wang ikat jamin RM10,000 dikembalikan kepada Mohd Yahya.
Hakim, bagaimanapun, menolak permohonan peguam Ahmad Nizam untuk melepaskan akaun bank PKR Selangor yang telah dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Hakim mengarahkan Ahmad Nizam untuk membuat permohonan rasmi.

Thursday 17 October 2013

Mahkamah: Lelaki Didakwa Menyamar Kerabat Raja Kedah

GEORGE TOWN: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan menggunakan lambang tanpa kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dan menyamar sebagai kerabat raja Kedah pada Oktober tahun lepas.
Roshidi Fadzil, 47, dituduh menggunakan lambang Pertubuhan Amal Kebajikan Islamiah Malaysia (Pakim Diraja atau Serampang Tiga) tanpa kebenaran JPPM, pada 23 Okt 2012 di Dewan Banquet Hotel Cititel di sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 50(3) Akta Pertubuhan 1966 yang membawa hukuman penjara tidak lebih tiga bulan atau denda tidak lebih RM3,000, jika sabit kesalahan.
Roshidi juga dituduh menipu Ooi Ten Seng, 33, di tempat dan pada tarikh samadengan menyamar sebagai kerabat raja Kedah Yang Teramat Mulia Tunku Putera Roshidi Tunku Fadzil, mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Majistret L. Umma Devi membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 untuk kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 November depan untuk sebutan semula dan pengurusan kes.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim manakala Roshidi diwakili peguam Muhd Yahya Zakaria. - BERNAMA

Wednesday 16 October 2013

Mahkamah: Peruntukan lapuk masih berkuatkuasa


 
Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa mahkamah tidak mengiktiraf doktrin deseutude, di mana sesuatu peruntukan undang-undang mungkin kehilangan kuasa apabila lama tidak digunakan walau tidak dimansuhkan.

Malah mahkamah tersebut, yang membenarkan peguam kanan Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah untuk tampil sebagai pendakwaan dalam rayuan ke atas pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari tuduhan liwat, juga memutuskan bahawa doktrin tersebut tidak terpakai dalam undang-undang British dan juga di India.

Hakim Datuk Rohana Yusuf dalam keputusannya berkata sesuatu undang-undang di Malaysia akan terus dikuatkuasa sehinggalah ia dimansuhkan atau tamat tempoh.

Sesuatu perundangan itu perlu dimansuhkan di Parlimen sebelum kehilangan kegunaannya, katanya dalam penghakiman tersebut.

Teks penghakiman itu didedahkan kepada umum baru-baru ini. 

Katanya, sesuatu undang-undang itu tidak boleh dianggap telah dimansuhkan hanya dalam tempoh sekian masa atau jika ia tidak digunakan.

Anwar dan penguamnya Karpal Singh menyatakan bahawa mereka akan merayu keputusan tersebut.

Rohana, yang mengenepikan permohonan Karpal untuk menyingkirkan Shafee dari barisan pendakwaan, dalam penghakimannya sepanjang 19 halaman berkata doktrin tersebut tidak terpakai di Malaysia.

Rohana merupakan anggota ketiga dalam panel yang diketuai hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Ramly Ali.

Anwar dan Karpal memohon untuk melucutkan kelayakan Shafee dari mengetuai rayuan berkenaan dengan alaasan bahawa pelantikan peguam kanan tersebut mengikut Seksyen 376(3) dan Seksyen 379 Kanun Prosedur Jenayah dan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan tidak sah.

Mereka memberi alasan bahawa Seksyen 379 sudah lama tidak digunakan dan patut diisytiharkan sebagai undang-undang lapuk mengikut doktrin desuetude.

Karpal juga mendakwa pindaan ke atas Seksyen 378 Kanun Prosedur Jenayah bermakna peguam seperti Shafee tidak boleh lagi tampil mewakili pendakwaan dalam mana-mana kes rayuan jenayah.

Rohana bagaimanapun tidak bersetuju dengan Karpal berdasarkan peruntukan Seksyen 376(3) berhubung lantikan terus sebagai pendakwa raya dan Seksyen 379, di mana seorang peguam apabila diberikan perintah akan dianggap sebagai penjawat awam.

Kematian Pemungut Hutang: Tujuh Individu Termasuk Dua Anggota Polis Direman

BUKIT MERTAJAM: Polis mendapat perintah menahan reman tujuh individu, termasuk dua anggota polis dan seorang wanita, selama lima hari bagi membantu siasatan kes kematian seorang pemungut hutang.
Pendaftar Kanan Mahkamah Ahmad Faiz Md Zin memerintahkan kesemua suspek, yang berusia antara 30 dan 55 tahun, ditahan reman sehingga 19 Oktober ini bagi membolehkan polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kesemua suspek diwakili peguam Lim Boon Beng dan Christine Khor.
Dalam kes itu, mangsa, Kang Seak Siong, 38, meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya akibat pendarahan teruk di bahagian perut kiri dua jam selepas ditembak di sebuah pusat hiburan pada awal pagi Isnin lepas.
Sebelum itu, mangsa dan seorang daripada suspek dikatakan bertengkar.
Terdahulu, Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, suspek utama kes itu adalah anggota pasukan cegah jenayah yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim.
"Siasatan awal mendapati ia berpunca dari perselisihan faham antara mangsa dan suspek sehingga suspek melepaskan satu das tembakan ke arah mangsa.
"Suspek sememangnya dibenarkan membawa senjata api tidak kira sama ada ketika bertugas atau tidak, namun kita menyiasat dari sudut penyalahgunaan kuasanya hingga menyebabkan kematian," katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian turut menemui satu kelongsongpeluru jenis 9mm Luger serta satu peluru hidup jenis SME 9mm dan polis merampassenjata api milik Polis Diraja Malaysia bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Monday 14 October 2013

Mahkamah Rayuan: The Herald tak boleh guna kalimah Allah


 
Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini memutuskan bahawa The Herald tidak boleh menggunakan kalimah 'Allah' dalam penerbitan Katolik itu untuk merujuk kepada 'Tuhan'.

Mahkamah Rayuan Putrajaya sebulat suara membatalkan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

NONEDalam reaksinya, Editor The Herald,Father Lawrence Andrew (kiri dalam foto) melahirkan rasa kecewanya tetapi merancang untuk mengemuka rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan telah membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu yang membenarkan kalimah tersebut digunakan dalam penerbitan berkenaan.
Panel hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Hakim Datuk Mohamed Apandi Ali, Datuk Hakim Abdul Aziz Abdul Rahim dan Datuk Mohd Zawawi Salleh membenarkan rayuan tersebut .

Hakim Mohamed Apandi berkata Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terkhilaf apabila mengetepikan keputusan menteri dalam negeri dan bahawa tidak berlaku pelanggaran hak bagi Katolik untuk menggunakan kalimah 'Allah' dalam The Herald.
Ketika membaca penghakiman ringkas kes tersebut, beliau berkata, ia adalah penemuan bersama mereka bahawa penggunaan kalimah 'Allah' bukan merupakan sebahagian daripada kepercayaan dan amalan agama Kristian.

Daripada penemuan tersebut, tambahnya, mereka mendapati tidak ada sebab untuk responden (Archbishop Titular Catholic Church) berkeras untuk menggunakan kalimah 'Allah' dalam penerbitan mingguan itu. 

Penggunaan kalimah tersebut, tegas hakim Mohamed Apandi,  jika dibiarkan pasti akan menyebabkan kekeliruan dalam masyarakat. "

Friday 11 October 2013

Dua Individu Bebas Tuduhan Minta & Terima Rasuah

SHAH ALAM: Dua individu dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan meminta dan menerima rasuah selepas Mahkamah Tinggi di sini membenarkan rayuan mereka terhadap sabitan dan hukuman setahun penjara serta denda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini dua tahun lepas.
Hakim Datuk Ghazali Cha membebaskan Azman Annhar, 47, dan Latifah Mahfodz, 48, kedua-duanya bekerja sendiri, daripada kedua-dua pertuduhan itu selepas mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Hakim Mat Ghani Abdullah pada 10 Oktober 2011.
Ketika membuat keputusan itu, Ghazali berkata adalah tidak dipertikaikan nama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed disebut beberapa saksi semasa perbicaraan dan justeru, pihak pendakwaan seharusnya memanggilnya untuk memberi keterangan.
"Kegagalan pihak pendakwaan memanggil Abu Kassim untuk memberi keterangan merupakan satu kelemahan terhadap kes pendakwaan. Sehubungan itu, saya benarkan rayuan dan membebaskan kedua-dua perayu daripada sabitan serta hukuman," katanya.
Bagi tuduhan pertama, Azman dan Latifah didakwa meminta suapan RM10,000 daripada Adnan Abd Mokhtar, 44, sebagai dorongan kononnya untuk diberi kepada penguat kuasa Pejabat Tanah Daerah Hulu Langat dan SPRM, supaya tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap Adnan yang akan menjalankan aktiviti pengeluaran pasir secara tidak sah di atas tanah kerajaan Bukit Enggang, Hulu Langat.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Thoiba di Jalan 2, Batu 9, Cheras dekat sini, pada 10 malam, 14 Januari 2010.
Bagi pertuduhan itu, Azman dan Latifah masing-masing dijatuhkan hukuman penjara setahun dengan denda RM50,000 atau dipenjara lima bulan, jika gagal membayar denda.
Mereka juga didakwa menerima suapan RM10,000 daripada Nur Aida Arifin, 27, sebagai dorongan untuk melakukan perkara yang sama di Starbucks Coffee di G31, Aeon Cheras Selatan Shopping Center, Hulu Langat, pukul 5.25 petang pada 18 Januari 2010.
Untuk pertuduhan kedua itu, Mat Ghani menjatuhkan masing-masing hukuman penjara setahun dengan denda RM50,000 atau penjara lima bulan jika gagal membayar denda.
Mat Ghani memerintahkan hukuman penjara dijalankan serentak daripada tarikh jatuh hukum dan jika mereka gagal membayar denda masing-masing, boleh dipenjarakan selama 10 bulan.
Azman dan Latifah masing-masing diwakili peguam Rusli Zain dan Feisal Mustafa sementara Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Roziza Sidek hadir bagi pihak responden.-BERNAMA

Pencerobohan Lahad Datu: Tian Chua Dapat Kebenaran Tangguh Perbicaraan

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini membenarkan permohonan anggota Parlimen Batu, Tian Chua bagi perbicaraan pertuduhan menghasut dihadapinya berhubung kenyataannya mengenai pencerobohan di Lahad Datu, Sabah, ditangguhkan sementara menunggu rayuannya selesai.
Tian Chua, 50, mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 26 Sept yang menolak pemohonannya untuk membatalkan pertuduhan menghasut itu.
Panel tiga hakim dianggotai Datuk Balia Yusof Wahi, Datuk Rohana Yusuf dan Datuk Seri Zakaria Sam membenarkan permohonan Tian Chua untuk menangguhkan perintah itu.
Peguam yang mewakili Tian Chua, Latheefa Koya memohon penangguhan perbicaraan di Mahkamah Sesyen yang ditetapkan 16 dan 17 Oktober, sementara menunggu rayuan anak guamnya itu selesai.
Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abdul Karim tidak membantah permohonan itu.
Tian Chua, yang merupakan naib presiden Parti Keadilan Rakyat, menghadapi pertuduhan membuat kenyataan kononnya pencerobohan di Lahad Datu adalah konspirasi terancang Umno untuk mengalihkan perhatian dan menakut-nakutkan rakyat.
Tian Chua, yang nama sebenarnya Chua Tian Chang, didakwa melakukan kesalahan itu di Fraser Business Park, Jalan Metro Pudu, off Jalan Yew, Kuala Lumpur pada kira-kira 11 pagi, 1 Mac tahun ini.
Beliau mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu pada 14 Mac tahun ini.Tian Chua dituduh mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kali pertama dan penjara lima tahun bagi kesalahan seterusnya, jika sabit kesalahan.
Pada 12 April, beliau memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan menghasut yang dihadapinya itu atas alasan pertuduhan itu tidak sah di sisi undang-undang, berniat jahat atau dengan mala fide, bermotifkan politik dan menyalahgunakan proses mahkamah.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amelia Tee Hong Geok Abdullah memutuskan pertuduhan itu kekal dan tidak salah di sisi undang-undang.-BERNAMA

Thursday 10 October 2013

Mahkamah Tolak Permohonan Khairy Pinda Pembelaan

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin gagal meminda pembelaan beliau dalam kes saman fitnah RM100 juta yang difailkan terhadapnya oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pesuruhjaya Kehakiman, S.M. Komathy Suppiah menolak permohonan Khairy dengan kos RM5,000 untuk dibayar kepada Anwar.
Komathy memutuskan bahawa pindaan yang dicadangkan itu tidak menggambarkan sebarang penjelasan kepada makna lain perkataan tersebut.
Peguam Jeffrey John mewakili Khairy manakala Anwar diwakili Datuk Sulaiman Abdullah.
Mahkamah menetapkan 22 November depan sebagai tarikh untuk pengurusan kes.

Tuesday 8 October 2013

10 Sekolah Memandu Saman Kerajaan, Empat Yang Lain Dakwa BL1M Menyalahi Undang-Undang

KUALA LUMPUR: 10 akademi dan sekolah memandu mengemukakan saman kerajaan Peersekutuan, Ketua Pengrah Jabatan Pengangkutan Jalan dan tiga yang lain berhubung program Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M).
Di bawah program BL1M, mereka yang berminat boleh mendapatkan lesen motosikal dengan hanya membayar yuran sebanyak RM199 kepada My E.G. Services Sdn Bhd.
Daripada jumlah tersebut, akademi memandu yang melatih calon lebih daripada 300 orang akan mendapat RM130 sementara mereka yang kurang pelajar akan mendapat RM150.
Mereka mendakwa mereka tidak pernah memberi persetujuan berhubung penglibatan mereka dalam program berkenaan dan membantah pelaksanaan program BL1M yang didakwa menyebabkan mereka mengalami kerugian.
Mereka adalah ahli Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA).
Mereka menamakan bekas Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Solah Mat Hassan, Pengerusi Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) Pemuda Umno, Tengku Azman Tengku Zainol Abidin syarikat konsesi perkhidmatan E-kerajaan My E.G Services Bhd, kerajaan Persekutuan sebagai defendan.
Hakim Mahkamah Tinggi, Yeoh Wee Siam telah menetapkan 23 Oktober ini untuk pengurusan kes saman berkenaan.
Dalam saman yang difailkan pada 15 Ogos lalu, plaintif menuntut deklarasi bahawa program BL1M, yang diperkenalkan oleh SHEB adalah menyalahi undang-undang.
Mereka memohon satu injuksi untuk menghalang Tengku Azman dan My E.G. Services daripada melaksanakan program tersebut dalam apa jua cara.
Selain itu, mereka meminta defendan membayar ganti rugi, kos dan kadar faedah kepada mereka.

Kes Genneva: Pengarah Ng Advantage Dituduh Ubah Wang Haram RM931.7 Juta

KUALA LUMPUR: Pengarah Ng Advantage Sdn Bhd, Ng Wan Yean didakwa dengan 82 pertuduhan tambahan penggubahan wang haram melibatkan wang berjumlah RM931.7 juta.
Dia didakwa menerima wang hasil daripada aktiviti haram daripada pelbagai syarikat termasuk Genneva Malaysia dan memindahkan wang tersebut ke akaun syarikat Ng Advantage menggunakan bank CIMB pada awal tahun 2011 dan Ogos tahun lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen, Mat Ghani Abdullah menetapkan ikat jamin sebanyak RM50,000 serta 27 November depan bagi pengurusan kes.

Keputusan Isu Kalimah 'Allah' Pada 14 Oktober

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan akan memutuskan pada 14 Oktober ini sama ada penerbitan mingguan Katolik, The Herald, dibenar menggunakan kalimah 'Allah'.
Peguam Kanan Persekutuan Andi Razalijaya A. Dadi memberitahu Bernama Jabatan Peguam Negara baru sahaja menerima surat daripada bahagian pendaftaran Mahkamah Rayuan memaklumkan bahawa keputusan kes itu ditetapkan pada 14 Oktober.
Pada 10 September lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, yang terdiri daripadaHakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali serta Hakim MahkamahRayuan Datuk Abdul Aziz Abd Rahim dan Datuk Mohd Zawawi Salleh, menangguhkan keputusan selepas mendengar hujah pihak berkenaan dalam kes itu.
Panel itu akan memutuskan rayuan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaanberhubung keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan The Herald menggunakan kalimah'Allah'.
Enam majlis agama Islam negeri iaitu Majlis Agama Islam Terengganu, Selangor, Kedah, Johor, Wilayah Persekutuan serta Melaka dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dibenar menjadi pencelah dalam kes itu.
Sementara itu, peguam Hanif Khatri Abdullah yang mewakili MACMA mengesahkan bahawa Mahkamah Rayuan sudah memaklumkan tarikh berkenaan kepada peguam Tajuddin Razak.
Pada 16 Februari, 2010, gereja itu memfailkan permohonan semakan kehakimanmenamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden, menuntutantara lain, perisytiharan bahawa keputusan kementerian melarang penggunaan kalimah 'Allah' dalam penerbitan The Herald adalah tidak sah.
Penerbitan mingguan itu yang diterbitkan dalam empat bahasa, telah menggunakan kalimah 'Allah' untuk merujuk kepada "Tuhan" dalam edisi bahasa Malaysia, khusus untuk penduduk di Sabah dan Sarawak.
Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan KementerianDalam Negeri melarang The Herald menggunakan kalimah itu adalah salah di sisiundang-undang, tidak sah dan batal.
Kerajaan kemudian membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan. - BERNAMA

Monday 7 October 2013

Empat Warga Indonesia Dihukum Gantung Edar 28 Kg Dadah

GEORGE TOWN: Empat lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar 10.74kg methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dan 17.36kg ketamine, empat tahun lepas.
Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Dwi Suprianto Mei, 45, Fredy Hermawan, 42, Andy Paksi, 40, dan Indra Mulyadi, 42, tidak boleh dipercayai, bersifat penafian dan rekaan semata-mata.
"Mahkamah berpuas hati dan mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah di akhir kes pembelaan dan gagal mematahkan kes pendakwaan. Justeru, keempat-empat tertuduh didapati bersalah dan digantung sampai mati," katanya.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mengedar dadah itu di sebuah rumah beralamat 243, Jalan Batu Ferringhi dekat sini pada 9.30 malam, 27 Oktober 2009. Dadah itu ditemui sepasukan polis yang menyerbu rumah berkenaan yang dipercayai makmal memproses dadah terbesar di Pulau Pinang.
Keempat-empat lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim, Dwi Suprianto dan Andy Paksi diwakili peguam Ranjit Singh Dhillon manakala Fredy Hermawan dan Indra Mulyadi diwakili peguam Hussaini Abdul Rashid.-BERNAMA

Mahkamah Tolak Permohonan Pengurus Borders Ketepikan Tuduhan Mahkamah Syariah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menolak pada Isnin permohonan mengetepikan tuduhan yang dikenakan terhadap pengurus stor Borders, Nik Raina Nik Abdul Aziz, 37, di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur atas kesalahan mengedarkan buku tulisan penulis Kanada, Irshad Manji, yang dianggap bertentangan dengan undang-undang Islam.

Friday 4 October 2013

CJ: 'Tiada kompromi, keadilan bukan separuh-separuh'


4:17PM Okt 4 2013 
Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria hari ini berkata persepsi umum terhadap sistem kehakiman negara kekal positif.
    
Namun begitu katanya pegawai kehakiman masih perlu meneruskan usaha untuk mempertingkatkan kepercayaan orang awam terhadap badan itu dengan mendasarkan tindakan mereka terhadap pencapaian hari ini.
    

"... dengan ini orang ramai akan mempunyai keyakinan penuh terhadap badan kehakiman apabila mereka datang ke mahkamah untuk menuntut keadilan. Mereka tahu mereka akan diberi keadilan pada akhirnya. Ini yang saya cuba pupuk dalam kalangan pegawai terbabit, betapa pentingnya memberi keadilan.
    
"...tidak ada kompromi. Keadilan bukan separuh-separuh. Juga tidak wujud cukuplah kita dapat 70 peratus. Keadilan bukan seperti itu...mesti 100 peratus," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pegawai Kehakiman 2013 di George Town. 
    
Sebanyak 582 pegawai kehakiman termasuk hakim, majistret dan timbalan pendaftar dari seluruh negara menghadiri persidangan empat hari yang bermula semalam itu.

Arifin juga memberi jaminan badan kehakiman negara adalah bebas dan tidak terikat dengan pengaruh luar termasuk daripada kerajaan atau pembangkang dalam membuat keputusan.
    
"Apabila kita bercakap soal campurtangan dan pengaruh, kita sentiasa ingat kerajaan sahaja. Tidak semestinya. Pihak lain juga cuba mempengaruhi hakim jika mereka boleh berbuat demikian. Parti-parti juga cuba mempengaruhi hakim," katanya.
    
Sambil menegaskan semua pegawai kehakiman mesti bertindak bijak dan berhati-hati apabila bergaul dengan orang awam, beliau berkata pergaulan mesti dibataskan bagi mengelak syak wasangka.
    
"Dalam Islam juga menyatakan hakim mesti diasingkan daripada masyarakat umum... Malah mereka tidak digalak untuk bergaul bebas agar tidak dilihat berat sebelah," katanya.
    
Ditanya mengenai Rang undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 yang diluluskan oleh Dewan Rakyat semalam, Arifin berkata:"Jika saya ulas apa yang dibuat oleh badan perundangan, saya menceroboh bidang tugas mereka.
    
"Saya hanya akan buat keputusan apabila tiba masa saya di mahkamah. Jika kita harapkan pihak eksekutif tidak campur tangan dalam bidang kerja kita, kita juga tidak boleh campur tangan atau cuba berbuat demikian dalam tugas mereka," katanya.

- Bernama

Penarik Kereta Didakwa Bunuh Pengasas Ambank, Cuba Bunuh Isteri Mangsa

KUALA LUMPUR: Seorang penarik kereta, Koong Swee Kwan pada Khamis dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh pengasas Kumpulan Perbankan Arab-Malaysian (AmBank) Hussain Ahmad Najadi di sebuah tempat letak kereta di sini Julai lalu.
Koong, 44, turut berdepan pertuduhan cubaan membunuh isteri pengasas itu, Cheong Mei Kuen, 49.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Koong selepas pertuduhan dibacakan di depan Penolong Pendaftar Rosmaniar Zainuddin.
Bagi pertuduhan pertama, Koong didakwa membunuh Hussain, di tempat letak kereta Tokong Cina Kuan Yin No. 4 Lorong Ceylon, Daerah Dang Wangi, di sini pada 1.30 tengah hari hingga jam 2 petang, 29 Julai lalu.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Koong didakwa cuba membunuh Cheong sehingga menyebabkan kecederaan kepada wanita itu pada masa dan di tempat yang sama, mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala tertuduh yang berbaju t-shirt putih, tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 9 Disember ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan forensik.
Dalam kejadian itu, Hussain, 75, maut manakala isterinya cedera parah akibat ditembak dari jarak dekat di kawasan parkir kereta sejurus keluar dari tokong berkenaan selepas berunding mengenai urusan perjanjian tanah. - BERNAMA

Thursday 3 October 2013

Rayuan Pihak Pendakwa Terhadap Pembebasan Anwar Didengar 11 & 12 Disember

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 11 dan 12 Disember untuk mendengar rayuan pihak pendakwa terhadap pembebasan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas kes itu dikemukakan di hadapannya untuk pengurusan kes.
Mewakili pihak pendakwa ialah Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala Anwar diwakili Karpal Singh.
Muhammad Shafee, yang merupakan peguam kanan, dilantik oleh Peguam Negara secara "fiat" untuk mengetuai pihak pendakwa dalam rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari tahun lalu yang melepaskan dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari, 26.
Karpal Singh berkata sementara itu, Mahkamah Rayuan perlu menyediakan alasan penghakiman berhubung keputusannya (Mahkamah Rayuan) menolak permohonan Anwar untuk melucutkan kelayakan Muhammad Shafee daripada bertindak sebagai peguam utama.
Beliau berkata ini untuk membolehkan rayuan Anwar (terhadap keputusan Mahkamah Rayuan menolak permohonan Anwar untuk melucutkan kelayakan Muhammad Shafee sebagai pendakwa raya) didengar di Mahkamah Persekutuan sebelum 11 Disember.
Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Ramly Ali pada 17 September tahun ini menolak permohonan Anwar untuk melucutkan kelayakan Muhammad Shafee atas alasan pelantikannya sebagai pendakwa raya adalah sah dan mengikut ketetapan undang-undang.
Ketua Pembangkang itu kemudiannya memfailkan notis rayuan pada 20 September tahun ini terhadap keputusan itu.
Anwar, 64, dituduh melakukan kesalahan itu di satu unit Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang, 26 Jun, 2008.
Pada 9 Januari tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah semasa membebaskan Anwar memutuskan berlaku penetrasi zakar tetapi tidak disahkan oleh keterangan lain.
Beliau juga memutuskan mahkamah tidak pasti 100 peratus berhubung integriti sampel diambil daripada Mohd Saiful bagi ujian DNA kerana sampel itu telah diusik sebelum sampai ke jabatan kimia untuk analisis. - BERNAMA

Wednesday 2 October 2013

Pasangan dakwa beli pistol angin untuk ujikaji


 
Seorang lelaki yang ditahan sebelum ini mendakwa dia membeli pistol angin daripada Amerika Syarikat bagi tujuan uji kaji firma tempatnya bekerja.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata berdasarkan siasatan dan keterangan daripada lelaki itu dan isterinya yang juga bekerja di firma yang sama, mereka membeli komponen berkenaan bukan untuk tujuan jenayah.     
"Polis turut menggeladah rumah mereka dan tidak menemui sebarang barang berkaitan jenayah," katanya kepada pemberita di Kepala Batas hari ini.

Beberapa komponen pistol angin tersebut ditemui di dalam sebuah kotak yang diterima di Pejabat Pos Bagan Dalam dekat sini pada 23 Sept lepas.

Namun pada bungkusan itu dicatat perkataan 'dictionary' (kamus).

Susulan itu seorang lelaki berusia 30-an ditahan di rumahnya di George Town.

Abdul Rahman berkata kertas siasatan mengenai kes itu telah siap dan dihantar ke Pejabat Pendakwaraya untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata pasangan suami isteri itu telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Kes disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960. 

Bernama

Bunuh Dhamenderan: Insp Hare, 3 lagi mengaku tak salah


 
Inspektor polis S Hare Krishnan dan tiga anggota yang lain mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membunuh seorang tahanan lokap N Dhamenderan pada 21 Mei lepas.

Hare Krishnan, 40, bersama tiga yang lain iaitu Sarjan Jaffri Jaafar, 44, Koperal Mohd Nahar Abd Rahman, 45, dan Koperal Mohd Haswadi Zamri Shaari, 32, didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Siasatan Khas (D9), Tingkat 7, Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur, Jalan Hang Tuah di ibu negara antara 12.20 tengah hari dan 2.50 petang, 21 Mei lepas.

NONETerdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Jean Sharmila Jesudason memohon kes Hare Krishnan dibicara bersama dengan tiga anggota lain kerana siasatan kes itu dibuat oleh seorang pegawai penyiasat yang sama.

"Ini kerana fakta kes adalah sama dan melibatkan saksi-saksi yang sama manakala tarikh, masa, dan tempat kejadian untuk kedua-dua kes itu juga sama," katanya.

Jaffri, Mohd Nahar dan Mohd Haswadi sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh Dhamenderan pada 5 Jun lepas dan kemudiannya Hare Krishnan turut didakwa terhadap pertuduhan sama pada 30 Julai lalu.

Hakim Kamardin Hashim kemudian memerintahkan kes itu dibicarakan bersama dan menetapkan 6 November depan untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

Mahkamah turut menetapkan 17 hingga 28 Februari tahun depan untuk perbicaraan.

Hare Krishnan diwakili peguam M Athimulan, Jaffri diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad, peguam Datuk Baljit Singh mewakili Mohd Nahar manakala Mohd Haswadi diwakili peguam Ariff Azami Hussein.

-Bernama