Wednesday 31 July 2013

Kanak-Kanak Perempuan 14 Tahun Peroleh Status Warganegara Selepas Jalani Ujian DNA

Yanesha
KUALA LUMPUR: Adalah saat-saat yang menggembirakan bagi N.Yanesha, kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun, yang terpaksa menjalani ujian DNA untuk membuktikan bapa kandung beliau adalah seorang rakyat Malaysia dan beliau akhirnya mendapat kerakyatan Malaysia.
Peguam Yanesha, Annou Xavier memaklumkan perkara ini kepada Hakim Mahkamah Tinggi Rosilah Yop pada Rabu.
Yanesha berkata beliau sangat gembira mendapat status kewarganegaraan Malaysia.
"Saya telah mengambil kad pengenalan (IC) di Jabatan Pendaftaran Negara di Putrajaya seminggu yang lalu," kata Yanesha, yang bapanya dari Malaysia manakala ibunya dari Filipina.
Ibu saudaranya, S.Yogeswari berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menghantar surat minggu lalu kepada bapa Yanesha, S.Nanthakumar memaklumkan bahawa permohonan IC beliau telah diluluskan dan beliau boleh mengambil IC di mana-mana pejabat JPN.
"Pada hari pertama, dia mendapat sijil kerakyatan Malaysia dan kemudian dia mendapat IC pada hari berikutnya," katanya.
Yogeswari berkata ujian DNA yang telah dibayar Nanthakumar sebanyak RM1,500 bagi mendapatkan status kerakyatan Malaysia untuk anak perempuannya adalah berbaloi.
Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Xavier berkata Hakim Rosilah mengarahkan Peguam Persekutuan Haryati Ahmad untuk mendapatkan arahan bagi mendapatkan sijil kelahiran baru kanak-kanak itu, yang menyatakan statusnya sebagai "warganegara".
"Dia kini mempunyai MyKad yang ditunggu selama lapan tahun," katanya.
Peguam Nizam Bashir, yang bertindak sebagai peguam pemerhati bagi NGO - Voice of Children, berkata Malaysia perlu mengkaji semula mengenai Konvensyen Hak Kanak-kanak 1951, Perkara 7 bahawa setiap kanak-kanak diberi hak warganegara kerana ia boleh menjejaskan hak-hak pendidikan mereka dalam sekolah kebangsaan.
Ibu bapanya telah berpisah dan gadis itu, yang dilahirkan di Bandar Sunway di Petaling Jaya pada 3 Mei, 1999, tinggal dengan emak saudaranya dan memegang sijil kelahiran yang menyatakan status "Bukan Warganegara".
Yanesha, yang bapanya adalah warga Malaysia dan ibu Judith Guballo, dari Filipina memfailkan tuntutan sivil melalui Yogeswari.
Dia itu menamakan Ketua Pengarah JPN, Setiausaha Agung KDN dan kerajaan sebagai defendan.
Antara lain, Yanesha meminta perisytiharan warganegara di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Beliau memohon kepada mahkamah untuk mengarahkan defendan mengeluarkan sijil kelahirannya, MyKad dan perintah bahawa JPN mendaftar dan mengemas kini namanya ke dalam daftar.

Tuesday 30 July 2013

Mahkamah Kembalikan Semula Jawatan Satar Jaafar Sebagai Inspektor Polis

PUTRAJAYA: Satar Jaafar mendapat hadiah Hari Raya Aidilfitri lebih awal pada Selasa apabila Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan mahkamah tinggi Muar mengembalikan semula jawatannya sebagai inspektor polis.
Satar, 42, polis inspektor yang ditamatkan perkhidmatannya bukan sahaja tidak sabar-sabar untuk ke pejabat tetapi juga layak mendapat tunggakan gaji, kenaikan tahunan dan faedah-faedah lain selepas mahkamah menolak permohonan pengerusi lembaga disiplin Polis Diraja Malaysia (PDRM), ketua polis negara dan kerajaan.
Satar ketika ditemui berkata sebelum ini ia adalah masa paling getir bagi beliau sekeluarga sejak pemecatannya kerana beliau terpaksa membuat kerja rencam sepanjang masa bagi menyara keluarga.
"Ia adalah hadiah terbaik dalam hidup saya terutama sebelum Hari Raya. Saya tidak sabar-sabar untuk kembali ke pejabat lama di mana saya biasa bekerja sebagai pegawai operasi di ibu pejabat polis kontinjen Johor Baharu," kata Satar.
Pada prosiding Selasa, lima panel diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, dalam keputusan sebulat suara memutuskan tiada sebab bagi mahkamah tertinggi untuk mengganggu keputusan mahkamah rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Muar pada 2011 yang mengembalikan semula jawatan inspektor polis.
Panel hakim itu juga memerintahkan kos RM10,000 kepada Satar dibayar para perayu.
Pada 13 Februari tahun ini, tiga anggota panel Mahkamah Rayuan menolak rayuan para perayu.
Pada 2004, Sattar menerima surat tunjuk sebab daripada lembaga disiplin PDRM yang meminta penjelasan mengapa tindakan tidak boleh diambil terhadapnya selepas beliau mengaku salah di Mahkamah Syariah Johor Baharu terhadap pertuduhan khalwat.
Sattar, dalam jawapannya antara lain, mendakwa Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ahmad Latifi Yaacob telah menasihatkan beliau agar mengaku salah terhadap pertuduhan di Mahkamah Syariah.
Pada Ogos 2004, Sattar telah digantung tugas namun dalam bulan Mac 2006, beliau menerima surat kedua daripada lembaga disiplin PDRM yang menyatakan dia dipecat daripada pasukan keselamatan itu mengikut peruntukan Peraturan 33(1) dan 38(g) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Pindaan) 2002.
Beliau memfailkan tindakan undang-undang terhadap perayu di Mahkamah Tinggi Muar untuk satu perintah certiorari bagi membatalkan keputusan lembaga disiplin PDRM serta pengembalian kedudukan jawatan tanpa kehilangan pangkat.
Satar diwakili G. Subramaniam, manakala perayu oleh Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bol Hassan. - BERNAMA

Hare Krishnan Didakwa Sebabkan Kematian Dharmendran

Insp S. Hare Krishnan
KUALA LUMPUR: Insp S.Hare Krishnan didakwa di Mahkamah Majistret pada Selasa kerana menyebabkan kematian N.Dharmendran pada 21 Mei di pejabat Siasatan Khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Kesalahan adalah di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Dhamendran telah ditangkap pada 11 Mei kerana disyaki cuba membunuh melibatkan senjata api dan ditahan reman dari 12 Mei sehingga kematiannya pada 21 Mei.
Pemeriksaan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Besar Kuala Lumpur pada 22 Mei menunjukkan punca kematian disebabkan kecederaan pada tisu lembut kerana pelbagai daya ”trauma tumpul”.
Timbalan Pendakwa Raya S. Nithia berkata pihak pendakwaan sedang menunggu laporan bedah siasat akhir dan bersedia untuk ke mahkamah pada Jumaat.
Majistret Nur A'minahtul Mardiah Md Nor menetapkan 2 Ogos untuk sebutan semula kes.
Dia menyerah diri kepada polis pada pukul 10.30 pagi di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Isnin, selepas enam minggu bersembunyi.
Sebelum ini, tiga anggota polis, Sjn Jaffri Jaafar, Kpl Mohd Nahar Abd Rahman dan Kpl Haswadi Zamri Sahari didakwa kerana membunuh Dharmendran pada 15 Jun.
Di luar mahkamah, isteri Dharmendran Marry Mariya Susay berkata Insp Hare Krishnan sepatutnya tampil lebih awal.
"Saya harap dia dapat bercakap pada sebutan akan datang, saya akan menunggu sehingga 2 Ogos ini dan melihat apa yang berlaku," katanya, yang mana peguam Latheefa Koya berdiri di sebelahnya.

Monday 29 July 2013

33 Individu Termasuk Chegubard Didakwa Sertai Perhimpunan Di Jalan Parlimen

KUALA LUMPUR: Seramai 33 individu termasuk Ketua PKR Cabang Rembau Badrul Hisham Shaharin dan aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhanmenyertai perhimpunan dan merusuh di Jalan Parlimen, bulan lepas.
Badrul Hisham atau Chegubard, 35, Adam Adli, 25, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Muhammad Safwan Anang@Talib, 24, Sekretariat SMM Ekhsan Bukharee Badarul Hisham, 22, tiga wanita dan 26 lagi lelaki didakwa menyertai perhimpunan itu bertujuan melakukan mudarat awam.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Parlimen antara 9.15 pagi dan 11.25 pagi pada 24 Jun lepas mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Badrul Hisham, Adam Adli dan 15 lagi individu termasuk dua wanita turut didakwa terhadap pertuduhan merusuh di persimpangan jalan masuk ke bangunan Parlimen pada 11.25 pagi pada tarikh sama.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sebelum prosiding bermula, galeri awam yang dipenuhi penyokong dan keluarga tertuduh kecoh seketika apabila segelintir daripada mereka menyanyi dan membuat bising di dalam mahkamah.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Faizah Mohd Salleh menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh atas alasan perbuatan mereka telah menyebabkan kesusahan kepada orang awam.
"Jika jaminan rendah ditawarkan, ditakuti mereka tidak mengambil seriusterhadap kesalahan yang dilakukan," katanya.
Peguam Eric Paulsen yang mengetuai barisan pembelaan, memohon jaminan dikurangkan kepada RM1,000 kerana jumlah jaminan yang ditawarkan itu sangat tinggi dan semua tertuduh juga memberi kerjasama penuh kepada polis.
Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan kesemua tertuduh masing-masing diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Ogos untuk sebutansemula kes.- BERNAMA

Thursday 25 July 2013

Alvin, Vivian Dibenar Ikat Jamin RM30,000 Seorang


Alvin dan Vivian yang mempersendakan bulan Ramadan dikecam pelbagai pihak.
KUALA LUMPUR: Pasangan kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee yang ditahan di penjara, akan dibebaskan dengan ikat jamin RM30,000 setiap seorang dengan dua orang penjamin.
Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Azman Husin yang membenarkan permohonan mereka bagi semakan kehakiman terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang tidak membenarkan mereka diikat jamin.
Mohd Azman membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam Chong Joo Tian yang mewakili pasangan berkenaan dan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff.
"Setelah mahkamah menyemak perintah Hakim Mahkamah Sesyen Murtazadi Amran mengikut Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah dan Seksyen 35 Akta Mahkamah Kehakiman, mahkamah memberi jaminan RM10,000, masing-masing kepada kedua-dua pemohon dengan dua orang penjamin bagi setiap pertuduhan," kata hakim itu.
Alvin yang ditahan di Penjara Sungai Buloh dan Vivian di Penjara Kajang menghadapi tiga pertuduhan.
Mereka tidak hadir di mahkamah pada Khamis.
Mohd Azman turut mengenakan empat syarat tambahan kepada mereka, iaitu pasangan itu perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis pada minggu pertama setiap bulan.
Mahkamah turut melarang mereka memuat naik artikel, komen, gambar lucah atau jelek serta apa-apa bentuk penulisan yang boleh menyentuh sensitiviti agama dan perkauman.
Selain itu, mereka juga dihalang daripada menggunakan peranti komunikasi berangkaian bagi mengakses Internet untuk memuat naik gambar, komen dan artikel yang boleh menghasut dan menimbulkan permusuhan antara kaum.
Bagaimanapun, Mohd Azman mengekalkan perintah Mahkamah Sesyen supaya ketiga-tiga pertuduhan yang dihadapi pasangan itu dibicarakan bersama selepas mendapati ia melibatkan transaksi dan saksi sama.
Terdahulu, Chong berhujah bahawa Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam keputusannya yang menafikan jaminan atas alasan kepentingan awam.
"Tujuan jaminan hanya untuk memastikan kehadiran kedua-dua tertuduh di mahkamah dan alasan kepentingan awam telah disalahtafsirkan oleh mahkamah seolah-olah menghukum mereka sebelum perbicaraan bermula," katanya sambil menambah pasangan itu mengemukakan permohonan maaf pada 14 Julai lepas.
Ishak pula berhujah jaminan tidak perlu diberi kepada kedua-dua pemohon dengan alasan mereka mempunyai kecenderungan untuk mengulangi kesalahan yang sama meskipun permohonan maaf telah dibuat.
"Walaupun permohonan maaf dibuat melalui YouTube dan Facebook, tetapi kedua-dua pemohon masih lagi memuat naik benda yang sama dan ini tidak menunjukkan mereka benar-benar menyesal," katanya.
Pada awal prosiding, mahkamah menolak bantahan awal pihak pendakwaan untuk membatalkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan pasangan itu.
Dalam hujahan bantahan awalnya, Chong juga membangkitkan isu bahawa kedua-dua anak guamnya diletakkan berasingan daripada tahanan lain di dalam penjara seolah-olah mereka sudah dihukum.
Hakim Azman berkata tindakan meletakkan pasangan itu berasingan menunjukkan pihak pendakwaan prihatin terhadap tertuduh.
"Kalau letak sekali takut mereka kena hentam. Kesian kepada mereka. Tengok betapa prihatinnya pendakwaan," katanya.
Pada 18 Julai lepas, Alvin Tan atau nama penuhnya Tan Jye Yee, 25, dan Vivian Lee atau Lee May Ling, 24, didakwa bersama-sama menerbitkan satu penerbitan menghasut di laman Facebook 'Alvin and Vivian - Alvivi' di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers iaitu kandungan gambar dan komen yang bertajuk "Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh..wangi, enak, menyelerakan !!!" yang mengandungi logo Halal.
Mereka juga didakwa mempamerkan gambar-gambar lucah di http://alviviswingers.tumblr.com/ di tempat sama, antara 6 Julai dan 7 Julai lepas, antara 9 malam hingga 2 pagi.
Pasangan itu juga didakwa memuat naik di laman Facebook mereka satu kandungan gambar dan komen yang sama, berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan atas alasan agama di kalangan penganut agama berlainan.
Kesemua kesalahan itu mengikut Akta Hasutan 1948, Akta Penapisan Filem 2002 dan Kanun Keseksaan.- BERNAMA

Wednesday 24 July 2013

Detektif Koperal Hassan Ali Mengaku Tidak Buat Laporan Bertulis Kehadiran 'Datu Piah'

Koperal Hassan Ali Basri dibawa keluar oleh dua anggota polis dari Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu setelah memberi keterangan tidak bersumpah atas pertuduhan menyembunyikan maklumat mengenai kegiatan pengganas di Lahad Datu awal tahun ini. - FotoBERNAMA
KOTA KINABALU: Anggota polis, Detektif Koperal Hassan Ali Basari yang dituduh menyembunyikan maklumat mengenai kegiatan pengganas di Lahad Datu, awal tahun ini pada Rabu mengaku di Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau mengetahui kehadiran Datu Piah, seorang daripada adik-beradik Jamalul Kiram III, di Lahad Datu pada 13 Februari lepas.
Hassan Ali berkata pada hari itu kira-kira 4 petang, beliau dihubungi sumbernya bernama 'Saluan Bin Bawa' bahawa Datu Piah tengah minum di restoran India dekat bangunan Ambank, pekan Lahad Datu.
"Saya terus pergi ke sana dan berjumpa dengan seorang tua yang mungkin Datu Piah. Saya bertanya apa tujuan datang ke Kampung Tanduo. Dia menyatakan bahawa tujuan mereka adalah untuk menuntut hak Kesultanan Sulu, meminta kerajaan Malaysia kaji balik bayaran RM5,000, ingin membuat Kampung Tanduo sebagai perkampungan mereka dan akan mempertahankan kalau diserang," katanya ketika membela diri atas tuduhan itu di hadapan Hakim P. Ravinthran.
Hassan Ali berkata demikian ketika memberi keterangan tidak bersumpah dari kandang tertuduh selepas Mahkamah Tinggi pada 17 Julai lepas memerintahkan beliau membela diri apabila pihak pendakwaan, diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan menghasilkan kes prima facie terhadap tertuduh.
Beliau yang berasal dari Semporna didakwa mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Hassan Ali juga berkata beliau dimaklumkan orang itu (Datu Piah) bahawa mereka ada membuat tuntutan ke atas Sabah secara bertulis kepada pihak berkuasa Malaysia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
"Dia juga memberitahu saya bahawa kerajaan Malaysia sudah lama mengetahui tuntutan mereka sebelum kedatangan mereka ke Kampung Tanduo," katanya.
Katanya beliau memaklumkan perjumpaan itu kepada anggota polis yang bertugas di Bilik Gerakan Cawangan Khas Lahad Datu tetapi "saya tidak membuat laporan bertulis kerana pada masa itu saya masih bercuti dan keesokan harinya (14 Februari) saya berangkat ke Kota Kinabalu bagi mengatur pertunangan anak lelaki saya."
Dalam keterangannya, Hassan Ali berkata beliau bukan pengganas dan tidak terlibat dengan mana-mana aktiviti pengganas oleh pengikut Kesultanan Sulu, sebaliknya menjalankan tugas sebagai anggota polis Cawangan Khas seperti yang diarahkan untuk membuat risikan berhubung aktiviti pengikut Datu Ismail Kiram.
"Saya tidak pernah terlibat dengan mana-mana aktiviti perbuatan keganasan oleh pengikut Kesultanan Sulu yang menceroboh Kampung Tanduo, Lahad Datu.
Saya sangat hairan kenapa saya sebagai seorang anggota polis yang berpangkat paling rendah dipersalahkan walaupun saya telah melaporkan semua maklumat yang saya peroleh daripada sumber saya berhubung dengan Kesultanan Sulu kepada Ketua Cawangan Khas Daerah sedangkan bukan saya seorang sahaja yang membuat risikan maklumat Kesultanan Sulu," katanya.
Beliau menjelaskan bahawa semua anggota Cawangan Lahad Datu mempunyai maklumat berhubung Kesultanan Sulu dan ancamannya ke atas Sabah.
"Sekiranya, Ketua Cawangan Khas Sabah mengatakan bahawa beliau tidak mendapat maklumat berhubung Kesultanan Sulu daripada Ketua Cawangan Khas Daerah, ini bermakna semua anggota cawangan khas Lahad Datu tidak melaporkan maklumat itu.
"Intipati-intipati pertuduhan ke atas saya adalah tidak benar dan bertujuan untuk menyalahkan saya sedangkan IPK Sabah di Kepayan telah mengetahui maklumat pencerobohan pengikut Kesultanan Sulu di Kampung Tanduo lebih awal daripada saya sebelum pencerobohan berlaku pada 12 Februari 2013," katanya.
Beliau berkata semua maklumat berhubung Kesultanan Sulu yang diperoleh daripada sumber di luar dan dalam bandar Lahad Datu dilaporkan kepada pegawai bertugas melalui Bilik Gerakan Cawangan Khas Lahad Datu.
Katanya, selama bertugas sebagai Detektif Cawangan Khas sejak 1975, beliau tidak pernah menerima arahan daripada Ketua Cawangan Khas Sabah atau Ketua Cawangan Khas Daerah Lahad Datu supaya semua maklumat yang diperoleh hendaklah dilaporkan secara bertulis.
Hassan Ali berkata sebelum arahan diberikan kepada beliau untuk membuat risikan dan mendapatkan maklumat, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kepayan sudah mengetahui maklumat berhubung tuntutan Kesultanan Sulu ke atas Sabah.
Bagaimanapun, beliau mengakui banyak membuat panggilan ke Filipina atas arahan pegawai atasannya bagi mendapatkan maklumat daripada sumber beliau yang dikenali sebagai 'Istino Bin Jair'.
Katanya pada 21 Februari lepas, beliau menghubungi Istino melalui telefon dan dimaklumkan bahawa 'perancangan Datu Ismail Kiram untuk menuntut Sabah memang ada dan orang-orang Suluk dari Basilan, Jolo dan Tawi-Tawi mahu membantu Datu Ismail Kiram.
Menurutnya, pada 28 Feb lepas beliau dimaklumkan Istino bahawa Datu Ismail Kiram berjumpa bekas pengikut MNLF di San Rocky, Zamboanga.
"Saya ada memberitahu kepada penyelia saya berkenaan maklumat daripada dua panggilan telefon itu dan dia telah menghantar ke Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kepayan.
Saya juga ada membuat panggilan telefon kepada sumber saya 'Abdul Rajan' yang bertugas di Integrated National Polis (INP) di Basilan, Filipina, dan dia memaklumkan saya bahawa ada tiga kumpulan iaitu dari Basilan, Jolo dan Tawi-Tawi yang mana kumpulan dari Basilan tidak membantu Datu Ismail Kiram," katanya.
Mengenai perbualan pintasan komunikasi yang diterjemahkan saksi kedua yang dilindungi di antara beliau dengan 'Lelaki Sabah', Hassan Ali berkata ia adalah tidak benar dan ditokok tambah.
"Semasa di Mahkamah rakaman perbualan telefon saya dengan 'Lelaki Sabah' tidak dikemukakan oleh pihak pendakwaan. Rakaman perbualan telefon saya dengan 'Lelaki Sabah' sepatutnya dikemukakan di Mahkamah bagi memastikan perbualan sebenar dan suara saya.
"Saya mengatakan bahawa penterjemahan pintasan komunikasi itu adalah palsu dan digunakan untuk memerangkap saya sebagai kambing hitam dalam kes ini. Saya juga tidak ada kaitan dengan Hassan yang dimaksudkan dalam penterjemahan pintasan komunikasi di antara Datu Amir Baha dan Raja," katanya.
Dalam keterangan akhirnya, Hassan Ali berkata semua bukti yang dikemukakan oleh pihak Cawangan Khas adalah tidak betul, berat sebelah dan hanyalah propaganda untuk mengenakan dan menyebabkan beliau menjadi kambing hitam mereka dalam peristiwa pencerobohan pengikut Kesultan Sulu di Kampung Tanduo.
Tertuduh yang diwakili peguam-peguam Ram Singh, Kamarudin Mohd. Chinki, Syaiful Sufyyan Sidin dan Lo Yun Sin didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Ketua Cawangan Khas Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu antara Januari dan 3 Mac lalu.
Sepanjang perbicaraan bermula pada 24 hingga 28 Jun lalu, pihak pendakwaan memanggil 18 saksi untuk memberi keterangan.
Perbicaraan bersambung semula 2 Ogos ini. - BERNAMA

Monday 22 July 2013

Permohonan Semakan Semula Kehakiman Difailkan Alvin, Vivian Didengar Khamis Ini

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan Khamis ini untuk mendengar permohonan semakan semula kehakiman difailkan pasangan kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee berhubung keputusan Hakim Mahkamah Sesyen yang tidak membenarkan mereka dijamin.
Peguam Chong Joo Tian yang mewakili Tan dan Lee memberitahu pemberita hari ini bahawa kes itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Azman Husin.
Kedua-dua mereka yang didakwa atas tiga pertuduhan mempersenda umat Islam dan Ramadan serta mempamerkan gambar lucah di laman sosial Facebook mengemukakan permohonan tersebut Jumaat lepas.
Mereka mendakwa Hakim Murtazadi Amran melakukan kesilapan kerana tidak membenarkan mereka diikat jamin, dan ia adalah bertentangan dengan undang-undang.
Menerusi alasan permohonan, Tan, 24, dan Lee, 25, mendakwa mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah, dan hujah pihak pendakwaan bahawa mereka mempunyai kecenderungan untuk melakukan kesalahan yang sama sekiranya diberikan jaminan, adalah tidak berasas.
Dakwa mereka lagi, segala peralatan komputer dan elektronik milik mereka telah dirampas oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan sekiranya terdapat risiko untuk berbuat kesalahan yang sama, mahkamah boleh menetapkan syarat di dalam jaminan untuk menegahnya.
Tan dan Lee turut menyatakan bahawa ahli keluarga mereka tinggal di negara ini, dan tidak memungkinkan mereka melarikan diri.
Namun jika terdapat risiko sedemikian, pasport mereka boleh dikompaun atau dirampas sehingga perbicaraan selesai.
Pada 18 Julai lalu, Hakim Murtazadi tidak membenarkan Alvin Tan atau nama penuhnya Tan Jye Yee, 25, dan Vivian Lee atau Lee May Ling, 24, diikat jamin sementara menunggu perbicaraan, atas sebab kepentingan awam.
Tan kini ditahan di Penjara Sungai Buloh, manakala Lee di Penjara Kajang.
Mereka didakwa bersama-sama menerbitkan satu penerbitan menghasut di laman Facebook 'Alvin and Vivian - Alvivi' di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers iaitu kandungan gambar dan komen yang bertajuk "Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh..wangi, enak, menyelerakan !!!" yang mengandungi logo Halal.
Bagi pertuduhan kedua, Tan dan Lee didakwa mempamerkan gambar-gambar lucah di http://alviviswingers.tumblr.com/ di tempat sama, antara 6 Julai dan 7 Julai lepas, antara 9 malam hingga 2 pagi.
Pasangan itu juga didakwa memuat naik di laman Facebook mereka satu kandungan gambar dan komen yang sama, berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan atas alasan agama di kalangan penganut agama berlainan.
Pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin memohon supaya kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin berikutan pertuduhan dihadapi mereka mengikut Seksyen 298A (1) (a) Kanun Keseksaan dan Akta Penapisan Filem, tidak membenarkan jaminan. - BERNAMA

Saturday 20 July 2013

Alvian Dan Vivian Fail Permohonan Semakan Kehakiman Terhadap Keputusan Tidak Dibenar Ikat Jamin


Alvin (kanan) dan pasangannya, Vivian.
KUALA LUMPUR: Pasangan kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee pada Jumaat memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen tidak membenarkan mereka diikat jamin atas tiga tuduhan.
Peguam yang mewakili mereka Chong Joo Tian memberitahu pemberita, beliau memfailkan permohonan itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah di sini pada pukul 3.50 petang Jumaat.
Pasangan itu berdepan tiga pertuduhan mempersenda umat Islam dan Ramadan serta mempamerkan gambar lucah.
Mereka didakwa bersama-sama menerbitkan satu penerbitan menghasut di laman Facebook 'Alvin and Vivian - Alvivi' di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers iaitu kandungan gambar dan komen yangbertajuk "Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh..wangi, enak, menyelerakan!!!" yang mengandungi logo Halal.
Bagi pertuduhan kedua, Tan dan Lee didakwa mempamerkan gambar-gambar lucah di http://alviviswingers.tumblr.com/ di Kompleks Mutiara, Jalan Ipoh, antara 6 Julai dan 7 Julai lepas.
Pada Khamis, Hakim Mahkamah Sesyen Murtazadi Amran tidak membenarkan Alvin Tanatau nama penuhnya Tan Jye Yee, 25, dan Vivian Lee atau Lee May Ling, 24, diikatjamin sementara menunggu perbicaraan, atas sebab kepentingan awam.
Hakim, Murtazadi menetapkan sebutan kes pada 23 Ogos.
Tan kini ditahan di Penjara Sungai Buloh manakala Lee di Penjara Kajang.
Pasangan itu juga didakwa memuat naik di laman Facebook mereka satu kandungan gambar dan komen yang sama, berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan atas alasan agama di kalangan penganut agama berlainan. - BERNAMA

Thursday 18 July 2013

Alvin, Vivian didakwa hari ini, tidak dibenar ikatjamin


5:19AM Jul 18 2013 
dikemaskini 3.30pm Pasangan kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan berhubung tindakan mereka mempersendakan umat Islam dan Ramadan alam Facebook serta mempamerkan gambar-gambar lucah dalam blog mereka.
Pertuduhan terhadap Alvin atau nama penuhnya Tan Jye Yee, 25, dan Vivian atau nama penuhnya Lee May Ling, 24, dibacakan di hadapan Hakim Murtazadi Amran.
Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama menerbitkan satu enerbitan menghasut di laman Facebook 'Alvin and Vivian - Alvivi' di pautan ttps://www.facebook.com/alvivi.swingers iaitu kandungan gambar dan komen yang bertajuk "Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh..wangi, enak, menyelerakan !!!" yang mengandungi logo Halal.
Pasangan itu didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 10.48 malam antara 11 Julai dan 12 Julai lepas di 568-14-18, Kompleks Mutiara Jalan Ipoh, Batu 3 1/2, di Kuala Lumpur.
Mereka didakwa mengikut subseksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948.
Bagi kesalahan pertama kali, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan berikutnya, boleh dipenjara maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Tan dan Lee didakwa mempamerkan gambar-gambar lucah di http://alviviswingers.tumblr.com/ di tempat sama, antara 6 Julai dan 7 Julai lepas, antara 9 malam hingga 2 pagi.
    
Mereka didakwa mengikut subseksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 yang membawa hukuman denda minimum RM10,000 atau maksimum RM50,000 atau boleh dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
    
Pasangan itu juga didakwa memuat naik di laman Facebook mereka satu kandungan gambar dan komen yang sama, berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan atas alasan agama di kalangan penganut agama berlainan.
    
Kandungan itu telah dibaca di CAF - Syed Restaurant Jalan Dang Wangi antara 11 Julai dan 12 Julai pukul 10.48 malam. 
    
Mereka didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.
    
Pasangan itu kelihatan tenang dan bersahaja ketika pertuduhan dibacakan satu persatu kepada mereka dan masing-masing berkata: "Saya minta dibicarakan".
    
Hakim Murtazadi tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin atas sebab kepentingan awam.
    
"Mahkamah tidak akan terpengaruh dengan unsur-unsur luar dalam memberi jaminan kepada tertuduh," tegas hakim itu.
    
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin memohon supaya tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin bagi dua kesalahan iaitu memuat naik kandungan gambar dan komen berhubung berbuka puasa dan mempamerkan gambar-gambar lucah.
    
Beliau memberikan dua alasan iaitu kesalahan di bawah Seksyen 298A(1)(a) dan Akta Penapisan Filem, memang tidak boleh dijamin.
    
"Sememangnya kami akur budi bicara mahkamah untuk membenarkan jaminan dalam dua pertuduhan itu, tetapi pihak pendakwaan membantah sebarang jaminan dikenakan," kata Noorin.
    
Alasan kedua pula ialah kedua-dua tertuduh mempunyai kecenderungan untuk memuat naik gambar yang boleh membangkitkan kemarahan orang ramai.
    
"Pihak pendakwaan memohon mereka tidak dilepaskan dengan sebarang jaminan sehingga selesai perbicaraan kes itu," katanya.
    
Peguam Chong Joo Tian, yang mewakili kedua-dua tertuduh, memohon jaminan diberikan kepada anak guamnya dengan alasan pertuduhan yang dihadapi mereka belum dibuktikan dan bersifat pramatang.
    
Chong berkata pihak pendakwaan tidak boleh membuat spekulasi bahawa kedua-dua tertuduh mempunyai kecenderungan untuk melakukan kesalahan yang sama kerana mereka belum didapati bersalah.
    
"Kedua-dua anak guam saya memberi kerjasama sepenuhnya kepada SKMM dan polis ketika siasatan dilakukan dan mereka juga tidak mempunyai rekod jenayah selain kesalahan itu tidak melibatkan sebarang bentuk keganasan," katanya.
    
Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff pula berhujah mahkamah perlu mengambil kira keadaan sekeliling dalam menentukan sama ada jaminan dapat diberikan atau tidak.
    
"Nama Alvin Tan sangat dikenali dan bila kita 'Google' sahaja nama Alvin, akan timbul gambar dan artikel mengenainya yang mana jika tidak dikawal boleh memusnahkan masyarakat dan agama. Tidak dinafikan kesalahan itu tidak melibatkan keganasan tetapi ia kesalahan serius," katanya.
    
Noorin juga memohon supaya ketiga-tiga kes itu dibicarakan bersama mengikut Seksyen 170 Kanun Tatacara Jenayah kerana melibatkan satu transaksi dan saksi yang sama.
    
Bagaimanapun, Chong memohon pertuduhan kedua dibicarakan berasingan kerana pertuduhan pertama dan ketiga merupakan satu perbuatan tetapi pertuduhan kedua melibatkan penerbitan gambar-gambar lucah yang disiarkan di laman web berlainan.
    
Noorin menjelaskan Seksyen 170 membolehkan kesalahan-kesalahan jenayah dibicarakan bersama walaupun ketiga-tiganya adalah berlainan dan pihak pendakwaan akan membuktikan kesalahan itu berlaku dalam transaksi sama.
    
Hakim Murtazadi membenarkan ketiga-ketiga kes itu dibicarakan bersama dan menetapkan 23 Ogos untuk sebutan semula kes.
    
Beliau turut memberi peluang kepada kedua-dua tertuduh mengemukakan alasan mengapa jaminan perlu diberikan kepada mereka.
    
Alvin berkata: "Saya mahu dijamin. Saya tidak memegang apa-apa kuasa, kedudukan, kekayaan mahupun pekerjaan dan semua barang multimedia dirampas oleh SKMM yang menjejaskan kecenderungan saya untuk memuat naik gambar dan mengakses Internet".
    
Vivian, yang merupakan guru tadika, pula berkata: "Saya juga ingin dijamin dan saya mempunyai pendapat yang sama dengan Alvin".
    
Alvin ditahan di Penjara Sungai Buloh manakala Vivian di Penjara Kajang.
Bernama

Pasangan persenda Ramadan didakwa hari ini


5:19AM Jul 18 2013 
Pasangan yang mempersenda umat Islam dan Ramadan melalui laman Facebook mereka, Alvin Tan, 25, dan Vivian Lee, 24, akan
didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Jalan Duta hari ini, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah. 
    
Ku berkata demikian ketika dihubungi Bernama tetapi beliau enggan menyatakan jenis dakwaan yang akan dikenakan terhadap mereka serta masa pasangan itu akan dihadapkan ke mahkamah. 
    
Menurut sumber polis, pasangan itu sepatutnya menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada pukul 3 petang ini tetapi mereka tidak berbuat demikian.
    
"Melalui pesanan ringkas yang dikirim oleh peguam, pasangan tersebut akan serah diri di Bukit Aman dan kita juga panggil mereka untuk ke IPD Dang Wangi namun sehingga petang ini mereka tidak muncul," kata sumber itu.
    
Pasangan itu didakwa memuat naik gambar mereka makan Bak Kut Teh beserta kapsyen yang menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini di laman sosial berkenaan, baru-baru ini.
    
Kelmarin, Tan dan Lee memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di sini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
    
Kelmarin Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis Kuala Lumpur telah membuka kertas siasatan terhadap pasangan itu mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan kesalahan atas alasan yang boleh
menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan, kebencian sehingga memudaratkan perpaduan.
    
- Bernama

Tuesday 16 July 2013

Tun Dzaiddin: IPCMC selaras dengan perlembagaan


5:36AM Jul 16 2013 
Cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) adalah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, menurut Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah.

Menyatakan pandangannya mengenai kesahihan IPCMC di bawah Perlembagaan Persekutuan, bekas Pengerusi Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu membuat rujukan kepada Perkara 140.

NONE"Perkara 140 itu memperuntukkan bahawa Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan bagi Suruhanjaya Pasukan Polis menjalankan kawalan tatatertib ke atas semua atau mana-mana anggota pasukan polis dengan cara dan kuasa sebagaimana yang diperuntukkan dalam undang-undang itu.

"Oleh itu, tidak ada sebarang keraguan tentang ketekalan dengan Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau membuat komen susulan kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zaid Hamidi bahawa cadangan penubuhan IPCMC akan mengakibatkan 'pertindihan bidang kuasa dan undang-undang dalam kalangan agensi penguatkuasa' dan tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan serta bertentangan dengan konsep keadilan.

Berdasarkan niat untuk memudahkan perdebatan yang lebih bijak mengenai IPCMC, Mohamed Dzaiddin memetik beberapa petikan Laporan Siasatan Suruhanjaya PDRM yang menyatakan bahawa:

"Salah satu cara berkesan untuk memastikan doktrin, undang-undang, peraturan dan prosedur dipatuhi dan dilaksanakan adalah dengan penubuhan badan pengawasan luar. Kaedah ini telah diterima pakai oleh banyak sistem kepolisan moden di mana pengalaman membuktikan mekanisme dalaman semata-mata tidak memadai, tidak boleh dipercayai dan sering tidak berkesan."

Laporan 2005 itu, seperti yang dipetik oleh Mohamed Dzaiddin, juga berkata bahawa: "Tujuan: IPCMC hendaklah menjalankan pengawasan PDRM dan dalam hal ini melaksanakan fungsi-fungsi utama seperti berikut:

# Menerima dan menyiasat aduan mengenai PDRM dan anggotanya.
# Mencegah, mengesan dan menyiasat rasuah dan salah laku serius dalam PDRM.
# Mencadangkan langkah-langkah kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri bagi meningkatkan integriti polis, mengurangkan salah laku dan membina keyakinan orang awam terhadap PDRM.

Laporan itu seterusnya menyebut bahawa 'IPCMC akan bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pasukan Polis dan Bahagian Tatatertib PDRM.'

- Bernama

Monday 15 July 2013

Mahkamah Pilihan Raya Tetapkan Tarikh Dengar Bantahan Awal Bagi Tiga DUN Di Perak

BATU GAJAH: Mahkamah Pilihan Raya di sini pada Isnin menetapkan tarikh untuk mendengar bantahan awal oleh pempetisyen dan responden terhadap petisyen pilihan raya yang difailkan bagi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.
Hakim Pilihan Raya Abang Iskandar Abang Hashim menetapkan 25 Julai sebagai tarikh untuk mendengar bantahan awal bagi kawasan DUN Manjoi dan 29 Julai bagi kawasan DUN Manong serta DUN Pasir Panjang.
Abang Iskandar menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas berjumpa dengan peguam yang mewakili semua pihak terbabit dan peguam kanan persekutuan yang mewakili pegawai pilihan raya (RO) bagi setiap kawasan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ketika ditemui pemberita, peguam yang mewakili Barisan Nasional (BN) Badrul Hishah Abdul Wahab berkata Hakim turut menetapkan 17 dan 18 Julai ini untuk responden dan pempetisyen memfailkan hujahan bertulis.
Peguam Kanan Persekutuan Muhamad Anas Mahadzir dan peguam mewakili PAS Aminuddin Zulkifli turut hadir di kamar Hakim pada Isnin.
Pada Jun lepas, calon PAS pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) memfailkan petisyen untuk mengisytiharkan tidak sah dan membatalkan keputusan pilihan raya umum bagi DUN Manjoi, DUN Manong dan DUN Pasir Panjang.
Pada PRU13, calon PAS Asmuni Awi kalah kepada calon BN Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin dengan majoriti 132 undi di DUN Manjoi.
Bagi DUN Pasir Panjang, calon BN Rashidi Ibrahim menewaskan calon PAS Rohawati Abidin dan calon Bebas S.Vijayan dengan majoriti 304 undi manakala Mohamad Kamil Shafie daripada BN menang kerusi DUN Manong apabila mendapat majoriti 231 undi sekali gus mengalahkan calon PAS Jamil Dzulkarnain.- BERNAMA
  • Print this story

Saturday 13 July 2013

Kes Pencerobohan Lahad Datu: Seorang Lagi Didakwa

TAWAU: Seorang lagi didakwa di Mahkamah Tinggi atas tuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas berkaitan dengan insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu pada Februari lalu.
Habil Suhaili mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan kesalahan itudari 9 Feb 2013 hingga 4 Mac 2013 di JalanKastam Lama di Lahad Datu dalam daerah Lahad Datu.
Habil menjadi orang yang ke-30 didakwa di mahkamah atas pelbagai pertduuhan berhubung insiden di Lahad Datu itu.
Habil yang diwakili kumpulan peguam yang diketuai James Tsai, didakwa mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh didenda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi P.Ravinthran yang bersidang di Penjara Tawau di sini, Jumaat.
Ketika ditemui wakil media di luar penjara, Abdul Gani berkata mahkamah bersetuju supaya kes Habil dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dan dibicarakan bersama dengan kes-kes lain di sana.
Katanya mahkamah menetapkan 15 Julai (Isnin) untuk pengurusan kes berkenaan.
Pada 27 Jun lalu, 29 individu yang didakwa dengan pelbagai kesalahan berkaitan aktiviti keganasan di Sabah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dan kesemua mereka akan dibicarakan serentak.
Sementara itu James Tsai berkata kumpulan peguamnya yang dilantik kerajaan Filipina setakat ini mewakili 22 tertuduh.
-BERNAMA

Thursday 11 July 2013

Lima Peguam dan Aktivis Menang Saman Terhadap Kerajaan

KUALA LUMPUR: Lima peguam hak asasi manusia dan seorang aktivis pada Rabu menang saman mereka terhadap polis dan kerajaan berhubung penangkapan, penahanan dan pendakwaan dengan niat jahat ke atas mereka semasa perarakan sempena Hari Hak Asasi Manusia Dunia pada 9 Disember 2007.
Mahkamah memberikan ganti rugi RM10,000 setiap seorang kepada R. Sivarasa, N.Surendran, Latheefa Beebi Koya, Eric Paulsen, Amer Hamzah Arshad dan aktivis Johny Andu @ Abu Bakar Adnan dan memerintahkan para defendan membayar sejumlah RM60,000 sebagai kos kepada plaintif.
Pada 8 Disember 2010, mereka memfailkan saman sivil terhadap Timbalan Ketua PolisDaerah Dang Wangi ketika itu Supt Che Hamzah Che Ismail, Ketua POlis Negara,Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan berhubung penangkapan, penahanan danpendakwaan ke atas mereka.
Semasa membenarkan tuntutan mereka, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk John LouisO'hara memutuskan penangkapan dan penahanan oleh pihak defendan adalah salah disisi undang-undang.
O'hara berkata beliau telah berpeluang menonton video dan melihatgambar-gambar yang dirakamkan mengenai apa yang berlaku semasa insiden itu.
"Daripada video, saya dapati defendan pertama Superintenden Che Hamzah telah memberikan arahan yang bercelaru, mengelirukan dan bercanggah menerusi pembesar suara untuk plaintif-plaintif bersurai," katanya.
Lagi pun, katanya Che Hamzah tidak tegas semasa mengeluarkan arahan supaya mereka bersurai.
Dalam keputusannya, Hakim juga mendapati defendan telah menafikan hak plaintif untuk akses kepada peguam bela selepas mereka ditahan.
Bagaimanapun, beliau mendapati pendakwaan terhadap plaintif di Mahkamah Sesyen Jenayah bukan dibuat dengan niat jahat dan ia merupakan kuasa mutlak Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mendakwa mereka.
"Peguam Negara hanya menjalankan kerjanya dan melaksanakan tugasnya untuk mendakwa mereka...ini bukan pendakwaan dengan niat jahat" katanya dan menurutnya plaintif telah menamakan dengan betul semua pihak dalam saman itu.
Pada 10 Disember 2007, keenam-enam mereka didakwa terbabit dalam perhimpunan haram dan gagal mematuhi perintah polis untuk bersurai, didakwa dilakukan sehari sebelum (9 Disember 2007) di depan bangunan Kamdar di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini.
Pada 16 April, 2009, mereka dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan berkenaan.
Rentetan itu, mereka memfailkan saman memohon perisytiharan bahawa hak asasi mereka di bawah Perlembagaan Persekutuan telah dicabuli dan juga mendakwa penangkapan dan penahanan mereka adalah salah di sisi undang-undang.
Mereka juga menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi khas, faedah dan kos.
Dalam saman itu, mereka mendakwa mereka mengambil bahagian dalam dan/atau menganjurkan perhimpunan dan perarakan secara aman, sempena Hari Hak Asasi Manusia Dunia yang disambut di seluruh dunia pada 10 Disember setiap tahun.
Mereka berhujah mereka kemudiannya dibenar meneruskan mengambil bahagian dalam perarakan itu selama 10 minit tetapi sebelum tempoh 10 minit itu tamat, mereka mendapati diri mereka dikelilingi sekumpulan besar anggota polis.
Mereka mendakwa polis kemudian memberi arahan supaya bersurai tetapi semasa mereka cuba berbuat demikian (untuk bersurai), mereka telah ditahan.
Selepas prosiding itu, peguam Edmund Bon yang mewakili keenam-enam mereka memberitahu pemberita bahawa keputusan hari ini merupakan kemenangan besar bagi demokrasi dan hak asasi manusia.- BERNAMA

Tuesday 9 July 2013

Salam Ramadhan buat semua sahabat-sahabat Pesuruhjaya Sumpah

Salam Ramadhan pada tahun ini buat semua sahabat-sahabat
Pesuruhjaya Sumpah.  Semuga ramadhan kali ini menguatkan
lagi semangat juang dan sentiasa bersabar dalam menghadapi
cabaran yang mendatang. Walaupun berpuasa, perkhidmatan
PJS mesti dilaksanakan dengan teratur dan mengikut KKPS 1993.
Wassalam dari remba@pjs.
  

Ketua Hakim Negara Mahu Pesalah Jenayah Jalanan Seperti Ragut Dikenakan Hukuman Berat

PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria menggesa semua hakim agar bertindak tegas dan menjatuhkan hukuman berat ke atas pesalah yang disabit dengan jenayah jalanan, termasuk ragut serta rasuah.
Beliau berkata, hukuman yang bakal dijatuhi harus mencerminkan atau menjadi satu amaran keras bagi menangani jenayah berkenaan.
"Saya meminta semua hakim di semua peringkat supaya mengenakan hukuman yangsetimpal dengan perbuatan mereka ini, yang menjadi perosak kepada ketenteraman negara kita," katanya pada majlis mengangkat sumpah enam pesuruhjaya kehakiman yang baharu dilantik di sini, Isnin.
Arifin berkata, mahkamah juga harus lebih peka dalam mempertimbang hukuman setimpal untuk pesalah terbabit.
"Hukuman yang bakal dijatuhi itu harus berupaya mengubah pesalah menjadi manusia yang lebih baik, dan pada masa sama, mencegah orang lain daripada melakukan kesalahan serupa," katanya.
Arifin berkata, dalam sesuatu kes jenayah, keadilan bukan hanya untuk tertuduh kerana mangsa juga perlu mendapat keadilan.
Pada majlis itu, pengerusi Lembaga Parol Wong Teck Meng, 54, serta tiga Hakim Mahkamah Sesyen S.M. Komathy Suppiah, 54, Datuk Rozana Ali Yusoff, 53, dan Abu Bakar Katar, 53, mengangkat sumpah bersama dua peguam S. Nantha Balan, 53 dan Abu Bakar Jais, 51.
Dalam ucapannya, Arifin berkata, Akta Saraan Hakim 1971 akan dipinda dalam masa terdekat bagi memasukkan satu opsyen bagi membolehkan Hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan bersara sebelum usia 60 tahun.
Beliau berkata, hakim yang tidak sihat atau kurang berminat dengan tugas mereka boleh memilih opsyen ini dan mereka mencari kerjaya yang lebih menepati kehendak masing-masing, atau menikmati tempoh persaraan lebih lama.
Pada masa ini, umur persaraan wajib hakim ialah 66 tahun.
Arifin berkata, dasar pemisah atau 'exit policy' sudah dibincang dan dipersetujui sebulat suara pada Persidangan Majlis Hakim-Hakim Malaysia kali ke-47 di Kuantan, Pahang baru-baru ini.
Beliau juga berkata, hanya pesuruhjaya kehakiman yang mempamer keupayaan dan prestasi cemerlang akan disahkan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi. - BERNAMA

Saturday 6 July 2013

Mangsa 13 Tahun Dalam Perbicaraan Kes Rogol Beri Keterangan Menerusi Kamera

KOTA KINABALU: Mangsa berusia 13 tahun dalam perbicaraan kes rogol terhadap pengurus restoran, Riduan Masmud, 40, memberi keterangan menerusi kamera pada Khamis.
Hakim mahkamah sesyen, Ummu Kalthom Samad mengarahkan hadirin meninggalkan kamar mahkamah bagi saksi remaja untuk memberi keterangan menerusi kamera yang diletakkan di kamar secara berasingan pada hari keempat perbicaraan terhadap Riduan yang didakwa merogol seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun pada 18 Februari lalu.
Sebelum saksi itu memberi keterangan, Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul memberitahu mahkamah bahawa saksi tidak mahu melihat muka tertuduh kerana dia takut.
Kamera itu kemudiannya diatur semula supaya dia tidak perlu melihat muka tertuduh ketika hakim mengarahkan hadirin untuk meninggalkan kamar mahkamah, di bawah Seksyen 5 Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007.
Kes itu mendapat perhatian negara selepas Riduan menjadikan budak perempuan yang berusia 13 tahun yang mendakwa dia merogolnya di tempat letak kereta sebagai isteri kedua di bawah undang-undang Syariah pada 7 Mei.

Thursday 4 July 2013

Bekas MB Perak menang saman ke atas Utusan Melaysia



Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan akhbar milik Umno Utusan Malaysia membayar ganti rugi RM250,000 kepada bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar yang menang dalam kes saman berhubung isu nombor pendaftaran kenderaan WWW1.
Peguam Firtri Asmuni mengesahkan bahawa mahkamah memerintahkan bayaran ganti rugi am dan teladan selepas Hakim Rosnaini Saub mendapati Utusan memfitnah Mohammad Nizar dalam kes tersebut.

"Bagaimanapun, Hakim Rosnaini tidak menganugerahkan ganti rugi teruk,” kata Asmuni ketika dihubungi.

Mahkamah juga memerintahkan Utusan membayar kos sebanyak RM30,000.

Hakim Rosnaini mendapati wartawan Utusan Malaysia bertindak cuai dan tidak mempedulikan ketepatan laporannya.

“Defendan dengan ini tidak berminat mencari kebenaran. sehubungan itu boleh dirumuskan bahawa penulisan dan penerbitan berita itu telah didorong dengan niat jahat di pihak defendan.

“Ini bermakna pembelaan ulasan saksama dan perlindungan bersyarat tidak dapat dipertahankan oleh pihak defendan.

“Adalah penting utk mendapat penerangan dan pengesahan Nizar memandangkan laporan berita itu menyentuh perkasa sensitif dan melibatkan Sultan Johor.

“Tetapi wartawan Utusan itu tidak menghubungi Nizar utk mengesahkan komen sebenar beliau paparkan dalam Twitternya. Sebaliknya wartawan Itusan itu tiada masalah menghubungi Ketua Pemuda Umno Johor

Hakim itu juga berkata, beliau bersetuju bahawa Nizar boleh dikritik namun ia tidak memberi hak kepada defendan untuk memutar belit dan memuatkan fakta salah dan fitnah ke atas plaintif berdasarkan tulisan plaintif di Twitter.

Walaupun tulisan tersebut adalah berhubung twit Nizar, ia tidak memuatkan keseluruhan mesej tersebut, katanya lagi.

Beliau juga mendapati penulis memasukkan perkara yang tidak menggambarkan tulisan Nizar, katanya.

Wednesday 3 July 2013

Ketua Hakim Negara: Bekas Hakim boleh tampil sebagai peguam




Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakaria berkata para hakim yang bersara berhak untuk tampil sebagai peguam di mahkamah dan anggota kehakiman sepatutnya “tidak menghadapi masalah dengan perkara itu”.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kegusaran sesetengah pihak mengenai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Gopal Sri Ram yang mewakili wakil rakyat Pakatan Rakyat dalam petisyen pilihan raya di Perak.

Katanya, bekas hakim juga merupakan orang biasa yang berhak melakukan apa sahaja mengikut kebebasan mereka dan hak itu tidak sepatutnya disekat.

Bekas Ketua Hakim Tun Salleh Abbas juga sebelum ini pernah tampil sebagai peguam, katanya.

Perkara itu tidak menjadi masalah kerana mahkamah akan menentukan kes berdasarkan merit dan fakta, tambahnya.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan bahawa Sri Ram akan tampil pada hari Jumaat apabila petisyen pilihan raya tersebut akan didengar di mahkamah.

Pengerusi Majlis Peguam Christopher Leong sebelum ini dalam satu tulisan di akhbar TheSun mencadangkan agar prosedur kehakiman dipinda untuk menghalang hakim yang bersara daripada tampil sebagai peguam.

Katanya, hakim yang bersara sepatutnya menjadi perunding dan menasihati peguam yang tampil di mahkamah.

Dera Anak: Ibu Kandung Dihukum Penjara 10 Tahun, Bapa Tiri 13 Tahun

Mohd Shazwan Shaari (kiri) dan isterinya Norazira Abas dibawa ke penjara selepas mengaku bersalah mencederakan anak mereka di Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu, Selasa. Mohd Shazwan 25, dan Norazira, 28, masing-masing dijatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan 10 tahun setelah mengaku bersalah mendera tiga anak mereka yang berusia 2 hingga 7 tahun di Taman Perumahan Gong Badak 4. -fotoBERNAMA
KUALA TERENGGANU: Mahkamah Majistret di sini pada Selasa menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 10 tahun terhadap seorang ibu kandung yang mendera tiga anaknya manakala bapa tiri mereka dihukum penjara 13 tahun selepas pasangan itu mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan mendera kanak-kanak berkenaan.
Norazira Abas, 29, dan Mohd Shazwan Shaari, 26, didakwa melakukan perbuatan itu antara Mac hingga Jun lepas di sebuah rumah di Taman Perumahan Gong Badak 4 di sini mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mereka didakwa mendera ketiga-tiga beradik yang berusia 7, 5 dan 2 tahun enam bulan.Mangsa kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah kerana cedera teruk di seluruh anggota badan akibat dicucuh puntung rokok, disimbah air panas dan kaki dirantai, selain ditampar serta dipukul.
Ketika pertuduhan dibacakan di depan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi, Mohd Shazwan, yang bekerja sebagai buruh, dan Norazira, yang tidak bekerja, hanya mengangguk tanda faham.
Bagi pertuduhan pertama, pasangan itu didakwa mendera mangsa yang berusia 7 tahun dengan niat bersama melakukan penganiayaan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.Pertuduhan kedua dan ketiga juga membabitkan dakwaan sama terhadap adik mangsa pertama yang berusia 5 tahun dan seorang lagi 2 tahun 6 bulan.
Bagi kesalahan pertama, Mohd Shazwan dihukum penjara 5 tahun dan masing-masing 4 tahun penjara untuk pertuduhan kedua dan ketiga, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara 13 tahun.
Norazira pula dihukum penjara 4 tahun bagi kesalahan pertama dan masing-masing 3 tahun untuk pertuduhan kedua dan ketiga, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara 10 tahun.
Rozianti memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman itu secara berasingan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Masriwani Mahmud.- BERNAMA

Tuesday 2 July 2013

Kes Rogol Budak Bawah Umur: Mahkamah Kesan Air Mani Di Pelapik Tempat Duduk, Sapu Tangan

KOTA KINABALU: Perbicaraan kes rogol budak perempuan bawah umur yang kemudian dikahwini lelaki yang didakwa merogolnya di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin diberitahu ujian awal mendapati tiga daripada 19 eksibit yang dianalisis mengandungi kesan air mani.
Ahli Kimia dari Jabatan Kimia Kota Kinabalu Biling Peter Raig berkata air mani itu dikesan pada satu pelapik tempat duduk dan dua helai sapu tangan.
Bagaimanapun, sampel eksibit itu perlu dihantar ke Jabatan Kimia Kuching bagi menjalani ujian DNA (asid deoksiribonukleik) untuk kepastian, katanya semasa memberikan keterangan di hadapan Hakim Ummu Khatom Abd Samad.
Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharuddin pada hari pertama perbicaraan kes Riduan Masmud, 40, yang didakwa merogol gadis berusia 12 tahun enam bulan itu dalam kereta yang diparkir di tepi jalan di Inanam, Sabah pada kira-kira 10 pagi, 18 Februari lepas.
Kepada soalan lain Raja Zaizul Faridah, saksi kedua itu berkata beliau menerima barang-barang kes tersebut pada 19 Mac lepas daripada ahli kimia Aishah Abdul Aziz.
Katanya Aishah menerima eksibit itu daripada Pegawai Penyiasat Balai Polis Inanam Silvia Martin Dalog.
Beliau berkata barang kes yang diterima ialah 19 sampul surat bersama satu bungkusan kertas.
Biling yang juga pegawai sains berkata analisis yang dijalankan mengikut prosedur biasa kes rogol, dari 21 hingga 22 Mei, menggunakan dua teknik iaitu ujian 'Kastle-Meyer' dan 'Phosphatase'.
Terdahulu, saksi pertama Koperal Edward Darwin memberitahu mahkamah beliau menerima laporan kes rogol yang dibuat oleh anggota keluarga mangsa pada 8.24 malam, 18 Feb lepas di Balai Polis Inanam.
Pada 21 Mei lepas, mahkamah diberitahu bahawa Riduan telah mengahwini gadis itu yang menimbulkan pelbagai reaksi memandangkan gadis itu di bawah umur.
Peguam Loretto J. Padua mewakili tertuduh yang hadir di mahkamah dengan ditemani isteri pertamanya manakala Datuk Mariati Robert bertindak sebagai peguam pemerhati Persatuan Undang-undang Sabah.
Perbicaraan bersambung esok. - BERNAMA