Friday 28 June 2013

Penganggur Dijatuhi Hukuman Mati Kerana Bunuh Dirang


JOHOR BARU: Seorang penganggur, Muidin Maidin, 27, dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas dia didapati bersalah di atas pembunuhan kejam terhadap Nurul Nadirah Abdullah yang berusia lima tahun, yang lebih dikenali sebagai Dirang.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Halim Aman menyifatkan Muidin tidak berperikemanusiaan dan seorang yang berbahaya kepada masyarakat.
“Saya di sini menjatuhkan kamu dengan hukuman gantung sampai mati,” katanya.
Muidin didakwa kerana membunuh Dirang di ladang kelapa sawit di Bandar Seri Alam, Masai, di sini antara pukul 11.30 malam pada 1 Mac dan 1 pagi pada 2 Mac tahun lepas.
Dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Mahkamah Persekutuan Tolak Rayuan Zahid Hamidi


 
Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mengenepikan saman yang dikemukakan ke atasnya oleh seorang ahli perniagaan.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif yang mengetuai panel lima orang hakim, mengenepikan permohonan Zahid sebelum mendengar hujah dari peguam Zahid, Shamsul Bahrin.

Hakim berkenaan mendapati alasan perundangan yang perlu dikemukakan ke mahkamah tidak dijalankan dengan sebaiknya kerana dibuat melalui hujahan dan bukannya dengan notis usul.

Katanya, pemohon tersebut tidak kehilangan peluang untuk melalui proses rayuan memandangkan kes tersebut masih belum dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

“Biarlah perbicaraan dijalankan di Mahkamah Tinggi,” kata Hakim Md Raus.

Tambahnya, kes lain yang sepatutnya berjalan akan terhalang sekiranya mahkamah membenarkan permohonan tersebut.

Dengan keputusan tersebut, perbicaraan kes saman sivil oleh ahli perniagaan Amir Bazli Abdullah ke atas menteri tersebut akan bermula di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 26 Ogos.

Thursday 27 June 2013

Kematian A. Kugan: Keluarga Menang Saman Sivil Terhadap Polis dan Kerajaan

KUALA LUMPUR: Keluarga kepada suspek pencuri kereta A. Kugan pada Rabu menang dalam pertikaian sivil mereka terhadap polis dan kerajaan berhubung kematiannya dalam tahanan.
Mahkamah Tinggi telah memerintahkan defendan membayar RM751,700 sebagai ganti rugi dan RM50,000 sebagai kos kepada keluarga Kugan.
Ibu Kugan, N.Indra pada 13 Januari tahun lalu telah memfailkan saman menuntut ganti rugi RM100 juta.
Dalam pernyataan tuntutannya, Indra mendakwa kesemua defendan gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan anaknya semasa dia dalam tahanan polis dari 14 hingga 20 Januari 2009.

Tuesday 25 June 2013

Hakim Perbicaraan Terkhilaf Mensabit Anggota Polis Dalam Pembunuhan Altantuya

PUTRAJAYA: Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf dalam mensabitkan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) kerana membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, Mahkamah Rayuan di sini diberitahu, Isnin.
Peguam Datuk Hazman Ahmad berkata anak guamnya Azilah Hadri, 34, tidak memiliki atau mengawal bahan letupan C4 yang didakwa digunakan dalam pembunuhan wanita itu.
"Tidak ada bahan letupan C4 yang disimpan di dalam stor Unit Tindakan Khas. Mereka (Azilah dan seorang lagi tertuduh) tidak dilatih mengendalikan bahan letupan dan bom. Bom dikawal ketat di dalam stor polis," katanya.
Beliau berkata rekod log Azilah menunjukkan beliau hanya dibekalkan sepucuk pistol Glock dan peluru.
Keterangan yang dikemukakan semasa perbicaraan mendedahkan bahawa Altantuya ditembak dan mayatnya diletupkan dengan bahan letupan di kawasan hutan yang dibersihkan pada malam 19 Oktober, 2006.
Hazman berhujah terdapat ketidaktekalan dalam keterangan saksi pendakwaan berhubung maklumat yang dikatakan diberi oleh Azilah yang membawa kepada penemuan lokasi kejadian.
Beliau berkata Azilah tidak pernah mendedahkan lokasi Puncak Alam tempat Altantuya ditembak dan diletupkan, dan menambah terdapat salah laksana keadilan terhadap Azilah memandangkan polis terlebih dahulu memperoleh maklumat mengenai lokasi kejadian.
"Terdapat percanggahan serius dalam keterangan saksi pendakwaan dengan apa yang Azilah perkatakan," kata Hazman, yang berhujah dalam rayuan Azilah dan Sirul Azhar Umar, 39, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 mensabit dan menjatuhi hukuman mati ke atas mereka kerana membunuh Altantuya, 28.
Mereka melakukan kesalahan itu di Mukim Bukit Raja di Klang dekat sini antara 10 malam 19 Okt, 2006 dan 1 pagi 20 Oktober, 2006.
Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 50, yang dituduh bersubahat dengan mereka, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Okt, 2008 tanpa dipanggil membela diri selepas pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya.
Hazman berkata hakim perbicaraan terkhilaf dalam undang-undang dan fakta ketika menerima sebagai keterangan maklumat yang diberi Azilah mengikut Seksyen 27 Akta Keterangan dan menggesa Mahkamah Rayuan supaya tidak menerima maklumat itu.
Hazman berkata Azilah memberi keterangan bersumpah dan disoal balas bertalu-talu oleh pendakwaan namun hakim menolak pembelaan alibi anak guamnya itu sebagai penafian semata-mata.
Sementara itu, peguam Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili Sirul Azhar berkata kegagalan pendakwaan memanggil DSP Musa Safri untuk memberi keterangan menjadikan perbicaraan kes itu sebagai perbicaraan silap.
Beliau berkata hanya Musa yang dapat mengesahkan kebenaran afidavit yang difailkan oleh Abdul Razak yang diterima Mahkamah Tinggi, dan kemudian membebaskannya (Abdul Razak).
"Terdapat bahagian dalam afidavit itu yang memudaratkan tertuduh dan pembelaan dinafikan satu-satunya cara untuk mencabar afidavit itu," katanya.
Beliau berkata pendakwaan tidak merayu terhadap pembebasan Abdul Razak.
Kamarul Hisham berkata rekod telefon Abdul Razak menunjukkan lebih 30 teks mesej yang dihantar penganalisis politik itu kepada Musa antara 7 dan 19 Oktober, 2006, dengan 12 daripadanya direkodnya pada 19 Oktober, 2006, malam Altantuya dibunuh.
Beliau juga berhujah di hadapan panel tiga anggota diketuai Hakim Datuk Seri Mohamed Apandi Ali bahawa penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Mohd Zaki Md Yassin tidak menyatakan motif pembunuhan itu.
Dua lagi hakim ialah Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat.
Kamarul Hisham turut berhujah Sirul Azhar terdedah kepada 'publisiti buruk' semasa perbicaraan sungguhpun tiga akuan berkanun dan salinan kenyataan beramaran dipercayai diberi oleh Sirul Azhar yang dimuat naik dalam laman web internet, menjadikannya satu perbicaraan silap.
Bagaimanapun, Apandi menempelak, dan bertanya di manakah dalam penghakiman itu hakim membayangkan bahawa beliau telah dipengaruhi.
Beliau berkata tidak mungkin bagi hakim secara umumnya akan terpengaruh dengan laporan media memandangkan mereka tidak ada masa untuk melayari laman web berikutan beban tugas mereka.
"Sekiranya penghujahan ini dibenarkan, maka semua perbicaraan jenayah, akan menjadi perbicaraan silap," kata Apandi, dan menambah hakim bertindak berdasarkan fakta dan keterangan yang dikemukakan dalam perbicaraan.
Pendakwaan yang diketuai Peguam Cara Negara II Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah akan berhujah esok. - BERNAMA

Tuesday 18 June 2013

Mahkamah Rayuan Ketepi Keputusan Bebaskan Yazid, Muhammad Hilmi

PUTRAJAYA: Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Yazid Sufaat dan pembantu kafetaria Muhammad Hilmi Hasim akan kembali ke Mahkamah Tinggi untuk berdepan pertuduhan terlibat dalam aktiviti menggalakkan keganasan di Syria.
Ini berikutan keputusan panel tiga anggota Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Seri Abu Samah Nordin pada Selasa yang membenarkan permohonan pendakwaan untuk mengetepikan pembebasan mereka daripada pertuduhan itu.
"Pertuduhan terhadap responden (Yazid dan Muhammad Hilmi) adalah dalam ruang lingkup atau skop Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan," kata Abu Samah.
Beliau berkata pertuduhan terhadap Yazid dan Muhammad Hilmi tidak merujuk kepada aktiviti keganasan di luar Malaysia.
Abu Samah berkata peguam tertuduh iaitu Amer Hamzah Arshad juga mengakui bahawa kesalahan itu dilakukan di Malaysia, dan ancaman terhadap keselamatan negara boleh datang sama ada dari dalam atau luar negara.
"Kami berpendapat Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf dalam menyalahtafsirkan pertuduhan terhadap responden," katanya.
Panel itu, yang dianggotai Hakim Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Mohd Zawawi Salleh, juga memerintahkan kes berkenaan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk didengar oleh hakim lain.
Mahkamah turut mengarahkan kes itu disebut di Mahkamah Tinggi Isnin depan (24 Jun).
Abu Samah juga membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Hanafiah Zakaria untuk menahan reman kedua-dua tertuduh di Penjara Sungai Buloh.
Beliau turut mengeluarkan perintah menggantung prosiding di Mahkamah Tinggi yang dipohon Amer Hamzah sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan pada Selasa.
Panel itu turut membenarkan permohonan Amer Hamzah agar anggota keluarga serta beliau diberi akses untuk berkomunikasi dengan kedua-dua tertuduh selama 15 hingga 20 minit berkaitan keputusan mahkamah hari ini dan bagi mendapatkan arahan untuk tindakan selanjutnya.
Terdahulu, Amer Hamzah memaklumkan mahkamah beliau tidak dapat bertemu Yazid dan Muhammad Hilmi.
Abu Samah juga menetapkan 5 Ogos sebagai sebutan bagi kes seorang ustazah Halimah Hussein, yang turut dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi daripada pertuduhan bersubahat dengan Yazid menggalakkan aktiviti keganasan di Syria.
Mahkamah Rayuan turut mengeluarkan waran tangkap terhadap wanita itu pada 31 Mei lepas kerana gagal hadir ke mahkamah.
Pada 20 Mei lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas serta membebaskan Yazid, Muhammad Hilmi dan Halimah selepas membenarkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan terhadap mereka.
Dalam penghakimannya, Hakim Kamardin Hashim memutuskan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas 2012 (Sosma) tidak boleh dipakai terhadap ketiga-tiga tertuduh kerana ia adalah ultra vires terhadap Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata pertuduhan adalah berkaitan dengan keganasan yang berlaku di Syria dan oleh itu, ia tidak tertakluk dalam ruang lingkup atau skop pemakaian di bawah Perkara 149, dan Sosma tidak boleh dipakai sebagai prosedur untuk membuktikan pertuduhan terhadap Yazid, 49, Muhammad Hilmi, 33, dan Halimah, 52.
Yazid, seorang pengusaha kafetaria di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, didakwa memajukan satu ideologi bertujuan menghasut orang ramai di Syria agar melakukan keganasan manakala Halimah dan Muhammad Hilmi didakwa bersubahat dengannya.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Bukit Ampang antara 1 Ogos dan 20 Oktober 20 tahun lepas.
Yazid didakwa mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Act 574) manakala Halimah dan Muhammad Hilmi didakwa mengikut Seksyen 109 kanun sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, DPP Hanafiah berhujah Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf dari segi undang-undang ketika membebaskan Yazid dan Muhammad Hilmi.
Beliau berkata adalah mandatori untuk mengguna pakai prosedur di bawah Sosma yang merupakan satu undang-undang prosedur spesifik digubal bagi menangani kesalahan keselamatan.
Amer Hamzah bagaimanapun berkata pendakwaan harus mengguna pakai Akta Keterangan dan Kanun Tatacara Jenayah bagi membuktikan kesnya dan tidak bergantung kepada Sosma yang sangat terhad. - BERNAMA

Sunday 16 June 2013

Keputusan Mahkamah Tinggi dalam petisyen pilihanraya boleh dirayu di Mahkamah Persekutuan


 
Pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan petisyen pilihan raya masih mempunyai ruang untuk merayu atau mencabar keputusan itu di Mahkamah Persekutuan.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata menurut Sekyen 36A Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihan Raya 1954, rayuan hendaklah dikemukakan dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman Mahkamah Tinggi.

"Pihak yang mendapati keputusan Mahkamah Tinggi tidak memihak kepadanya boleh membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan. Penghakiman yang dibuat di Mahkamah Persekutuan adalah muktamad," katanya kepada Bernama semalam ketika diminta mengulas perkara itu.

Situasi sedemikian pernah berlaku pada pilihan raya umum ke-12 yang menyaksikan Mahkamah Tinggi membatalkan kemenangan tanpa bertanding Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah Tan Sri Joseph Kurup di kerusi Parlimen Pensiangan selepas PKR memfailkan petisyen bagi mencabar keputusan itu.

Bagaimanapun, Kurup mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu dan Mahkamah Persekutuan mengekalkan kemenangannya. 

Sementara itu, pilihan raya umum ke-13 mencatat jumlah petisyen pilihan raya tertinggi iaitu Barisan Nasional (BN) 21 manakala pembangkang sebanyak 35.

Wan Ahmad berkata bagaimanapun tidak semua petisyen yang difail akan didengar kerana mahkamah akan menelitinya terlebih dahulu bagi memastikan ia memenuhi peruntukan yang ditetapkan.

Beliau berkata petisyen pilihan raya tidak boleh difail sewenang-wenangnya hanya kerana pihak yang kalah tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya.

"Ini merupakan satu perkara besar kerana petisyen pilihan raya melibatkan orang yang kalah meminta mahkamah untuk membatalkan keputusan pilihan raya itu yang telah dibuat oleh rakyat," katanya.

Wan Ahmad berkata jika Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan pilihan raya umum sesuatu kawasan, hakim perlu memberi notis kepada SPR dalam tempoh 14 hari bagi membolehkan proses persediaan mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari.

Beliau juga berkata tindakan BN memfailkan 21 petisyen jelas membuktikan proses pilihan raya yang dikendali SPR adalah telus dan tidak memihak kepada mana-mana parti.

-Bernama

Monday 10 June 2013

Mahkamah Benar Permohonan Perbicaraan Silap Sirul Azhar (Kes Altantuya Shaariibuu)


 
Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan bekas pegawai polis Sirul Azhar Umar untuk mengisytiharkan perbicaraan silap dalam kes melibatkan pembunuhan warganegara Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Pihak pendakwaan, diketuai oleh Tun Abdul Majid Hamzah tidak membantah permohonan itu.

Panel tiga anggota terdiri daripada Hakim Mohamed Apandi Ali, Linton Albert dan Tengku Maimun Tuan Mat mengarahkan pasukan pembelaan Sirul memfailkan permohonan dalam tempoh 10 hari.

Ini bagi membolehkan pasukannya mengumpulkan nota prosiding dan dokumen lain daripada Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Kes ditangguh kepada 24 Jun.

Friday 7 June 2013

Permohonan Tian Chua Batal Tuduhan Menghasut Berhubung Isu Lahad Datu Didengar 4 Julai

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 4 Julai ini untuk mendengar permohonan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua bagi membatalkan pertuduhan menghasut yang dihadapinya berhubung isu pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.
Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, 50, memfailkan permohonan itu pada 12 April lepas.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farizul Hassan Bakri memaklumkan tarikh berkenaan ketika kes itu disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Norsharidah Awang.
Norsharidah menetapkan 19 Julai untuk sebutan kes itu.
Pada 14 Mac lepas, Tian Chua mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menyebut perkataan menghasut, termasuk menyatakan bahawa serangan tembak-menembak di Lahad Datu dipercayai konspirasi terancang kerajaan Umno untuk mengalih perhatian dan menakut-nakutkan rakyat.
Tian Chua, yang juga Anggota Parlimen Batu didakwa melakukan kesalahan itu di No. 62-2-A Fraser Business Park, Jalan Metro Pudu off Jalan Yew, di sini pada pukul 11 pagi, 1 Mac lepas.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kali pertama dan boleh dipenjara maksimum lima tahun bagi kesalahan seterusnya.
Tian Chua diwakili peguam Michelle Yesudas. - BERNAMA

Wednesday 5 June 2013

Anwar Beri Keterangan Berhubung Kes Saman Video Seks Pada 27 Januari

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 27 Januari tahun depan untuk mendengar keterangan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kes saman beliau terhadap penulis blog 'Papa Gomo' kerana didakwa menyiarkan perkataan fitnah dan mengaitkan beliau dengan seorang lelaki dalam video seks.
Hakim Rosilah Yop turut menetapkan 28 Januari untuk mendengar kes saman itu. Beliau menetapkan tarikh itu hari ini ketika kes berkenaan dikemukakan untuk pengurusan kes.
Peguam Mohd Afiq Mohd Noor yang mewakili Anwar memberitahu pemberita anak guamnya (plaintif) akan memanggil empat saksi manakala Wan Muhammad Azri Wan Deris (defendan) dijangka memanggil dua saksi.
Pada 21 Mac lepas, Anwar memfailkan saman fitnah RM100 juta dengan mendakwa Wan Muhammad Azri, pemilik laman blog www.papagomo.com menyiarkan empat siri perkataan fitnah dalam laman web itu pada 16, 17, 19 dan 20 Mac lepas.
Dalam pernyataan tuntutannya Anwar mendakwa defendan turut meletakkan satu pautan web yang memaparkan siri imej dan defendan telah secara nyata dan/atau tersirat menyatakan bahawa individu dalam imej itu ialah plaintif.
Anwar menuntut ganti rugi am, teruk, teladan, faedah, kos, lain-lain relif yang difikirkan wajar dan satu injunksi bagi menghalang defendan daripada terus menerbitkan perkataan fitnah dan imej itu.
Wan Muhammad Azri dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 20 Mei menafikan bahawa beliau pemilik blog 'Papa Gomo'.
Beliau menegaskan alamat kediaman yang dinyatakan menerusi saman Anwar itu bukan miliknya dan beliau tidak mengenali plaintif secara peribadi.
Anwar dalam jawapannya kepada pernyataan pembelaan Wan Muhammad Azri itu berkata beliau boleh membuktikan bahawa defendan adalah pemilik blog 'Papa Gomo'.
Beliau mendakwa defendan turut melakukan serangan peribadi terhadap parti pembangkang dan pemimpinnya tanpa membuat sebarang justifikasi. - BERNAMA

Sunday 2 June 2013

Dr Khir Toyo Fail Notis Rayuan Di Mahkamah Persekutuan

PUTRAJAYA: Bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo pada Jumaat memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara setahun atas kesalahan mndapatkan untuk beliau dan isteri dua lot tanah dan sebuah banglo bernilai jutaan ringgit.
Notis tersebut difailkan menerusi peguam M.M. Athimulan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan di sini.
Pada Khamis, panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Abu Samah Nordin yang bersidang bersama Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Aziah Ali menolak rayuan Mohamad Khir kerana melakukan kesalahan itu pada 2007.
Panel tersebut juga turut mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Disember 2011 yang mengarahkan perayu dilucutkan hak ke atas hartanah yang dimiliki itu dan menyerahkannya kepada kerajaan.
Mohamad Khir, 48, didakwa mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, 46, dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8 dan 10, Jalan Suasa 7/1L, Shah Alam daripada Ditmas Sdn Bhd melalui pengarahnya Shamsuddin Hayroni.
Bekas anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang itu didakwa melakukan kesalahan itu di keadiaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei, 2007. - BERNAMA