Sunday 24 March 2013

Pembelaan Tutup Kes Bunuh Sosilawati dan Tiga Individu Lain



Datuk Sosilawati Lawiya
SHAH ALAM: Selepas memanggil seramai 30 saksi pada perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain yang mengambil masa hampir dua tahun di Mahkamah Tinggi di sini, pihak pembelaan menutup kesnya pada Jumaat.
Hakim Datuk Akhtar Tahir menetapkan 9 dan 10 Mei ini untuk mendengar hujahan di akhir kes pembelaan sebelum memutuskan pada 23 Mei ini sama ada keempat-empat tertuduh akan disabitkan kesalahan atau dibebaskan.
Sebanyak 742 eksibit ditender dalam perbicaraan selama 110 hari bermula pada 4 Julai 2011, yang turut membabitkan nota prosiding kira-kira 6,000 muka surat.Pihak pendakwaan sebelum ini mengemukakan 108 saksi.
Bekas peguam, N.Pathmanabhan, 43, dan tiga pekerja ladang T.Thilaiyalagan, 21, R.Matan, 22, dan R.Kathavarayan, 33, diperintah membela diri atas pertuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Barisan pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff, Saiful Edris Zainuddin, Idham Abd Ghani dan Siti Rohaida Che Hamid, sementara Pathmanabhan diwakili peguam Manjeet Singh Dhillon dan Pushpa Ratnam, Thilaiyalagan diwakili Gurbachan Singh, Matan diwakili peguam Amer Hamzah Arshad manakala Khatavarayan diwakili peguam Hasshahari Johari Mawi.
Terdahulu, ketika menyoal balas saksi terakhir pembelaan, Roslie Sulle, 36, Manjeet Singh menarik perhatian mahkamah apabila beliau menunjukkan demonstrasi dengan memasukkan abu ke dalam sebuah bekas plastik berwarna biru sebelum dimasukkan ke dalam beg plastik.
Roslie merupakan peguam yang mewakili mekanik, K.Sarawanan dan pekerja ladang U.Suresh yang menghadapi empat pertuduhan melupuskan bukti dalam pembunuhan itu di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting pada 15 Oktober 2010.
Sarawanan, 22, dan Suresh, 29, kini menjalani hukuman penjara 20 tahun di Penjara Sungai Udang, Melaka selepas mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan.
Manjeet Singh seterusnya meminta Roslie memegang beg plastik berisi bekas biru berkenaan sebelum meminta saksi membuang beg plastik itu ke atas lantai.
"Saya mahu beritahu anda berlaku pergaduhan di rumah saya malam tadi. Mann Singh dan Mahinder Singh sedang menari dan saya tidak suka apa yang mereka buat, jadi saya pukul dan bakar mereka. Sekarang saya bagi anda ini dan anda telah buangkannya.
"Kemudian anda didakwa di mahkamah, jadi anda telah melakukan kesalahan? Adakah anda tahu siapa Mahinder dan Mann Singh?," kata Manjeet Singh.
"Saya tidak tahu," jawab Roslie.Bolehkah anda membantu saya untuk mengasingkan yang mana Mahinder Singh dan Mann Singh daripada bekas itu," kata Manjeet Singh dan Rosli hanya tersenyum tidak memberi sebarang jawapan.
"Saya tidak bergurau. Saya menunjukkan bagaimana tidak masuk akal tindakan anda dan Timbalan Pendakwa Raya (di Mahkamah Majistret apabila Sarawanan mengaku bersalah). Jadi bolehkah anda mengasingkan Mahinder Singh dan Mann Singh," soalnya dan Roslie menjawab tidak. "Adakah anda melupuskan Mahinder dan Mann? Bagaimana anda tahu ia bukan abu kucing atau anjing saya?," kata Manjeet Singh. "Pada masa itu saya dan Puravelan (peguam M. Puravelan) telah berbincang dan beliau (Puravelan) yang meneliti fakta kes. Saya hanya menyediakan mitigasi (rayuan)," jawab Roslie.
"Jadi anda mengatakan Puravelan tidak tahu fakta kes itu tidak lengkap dan ia tidak menunjukkan sebarang kesalahan? Adakah anda dengar fakta kes itu di mahkamah atau anda tidak berada di mahkamah," soal Manjeet Singh.
"Saya berada dalam mahkamah," jawab Roslie. "Saya beritahu anda ini adalah sebahagian konspirasi untuk menjauhkan mereka jadi fakta kes boleh digunakan untuk perbicaraan lain," kata Manjeet Singh. "Tidak setuju," jawab Roslie. -BERNAMA

No comments:

Post a Comment