Tuesday 31 December 2013

Subkontraktor Dipenjara 18 Tahun, Disebat Lapan Kali Kerana Rogol, Liwat Budak Bawah Umur

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Ampang menjatuhkan hukuman penjara selama 18 tahun dan sebatan sebanyak lapan kali terhadap seorang subkontraktor kerana merogol dan meliwat anak perempuan bekas teman wanitanya yang masih di bawah umur pada tahun lepas.
Hakim Mahkamah Sesyen, Manira Mohd Nor pada Selasa berkata bahawa pendakwaan telah membutikan kes terhadap tertuduh Nazarul Rizman Mohd Tartip, 31.
Nazarul menangis ketika mendengar hukuman dijatuhkan terhadapnya.
Dia didapati bersalah kerana merogol dan meliwat kanak-kanak perempuan yang ketika itu berumur tujuh tahun di sebuah unit pangsapuri di Taman Bukit Indah antara 3 dan 16 September pada tahun lepas.

Monday 30 December 2013

Bekas Pengerusi, Bendahari KOPEL Didakwa Tubuh Subsidiari Tanpa Kebenaran SKM

GEORGE TOWN: Bekas pengerusi dan bendahari Koperasi Pelancongan Pulau Pinang (KOPEL) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, Isnin, terhadap pertuduhan menubuhkan subsidiari tanpa terlebih dahulu mendapat kelulusan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Bekas pengerusi KOPEL Ali Akbar Mohd Noor, 63, dan bekas bendaharinya Yuslinov Ahmad, 46, didakwa menubuhkan KOPEL Travel and Tours Sdn Bhd pada 10 Julai 2007, sebelum mendapat kelulusan Ketua Pendaftar Jabatan Pembangunan Koperasi.
Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 91(1)(d) Akta Koperasi 1993 yang memperuntuk hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Bagi kesalahan berterusan, denda RM100 setiap hari boleh dikenakan jika kegiatan subsidiari itu berterusan selepas sabitan. Hakim Zulhazmi Abdullah membenarkan Ali Akbar diikat jamin RM8,000 dan Yuslinov RM6,000 dan memerintahkan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 5 Februari depan bagi pengurusan kes.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Kamarulzaman Mohamad Buhari manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Rosli Ismail. - BERNAMA

Thursday 26 December 2013

Perubahan Jawatan Pejabat Ketua Pendaftar, Mahkamah Persekutuan Malaysia














1.   Pendaftar Mahkamah Rayuan                                                       
      YBhg Dato' Che Mohd Ruzima bin Ghazali
     Telah dilantik sebagai
     Pesuruhjaya Kehakiman (Hakim Mahkamah Tinggi)
     digantikan oleh:

      YBhg.Datin Latifah binti Hj. Mohd Tahar
   
2.   Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak
       Tuan Azhahari  Kamal bin Ramli
       Telah dilantik sebagai
      Pesuruhjaya Kehakiman (Hakim Mahkamah Tinggi)
      digantikan oleh:

       Tuan Ismail bin Brahim


       Admin remba@pjs
     

Rogol Dan Samun: Warga Bangladesh Dipenjara 20 tahun, 16 Sebatan

PETALING JAYA: Seorang pekerja restoran warga Bangladesh dihukum penjara 20 tahun dan 16 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana merogol dan menyamun seorang wanita, dua bulan lepas.
Hakim Rozina Ayob memerintahkan Buttu, 42, menjalani hukuman itu bermuladari tarikh dia ditangkap iaitu pada 15 Okt lepas.
Bagi kesalahan merogol, Buttu dihukum penjara 20 tahun dan 10 sebatan manakala untuk pertuduhan menyamun, dia dihukum penjara sembilan tahun dan enam sebatan.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara serentak.
Dalam penghakimannya, Rozina berkata beliau mengambil kira fakta bahawa ketika kejadian, mangsa hanya berada ditemani dua anak yang masih kecil.
"Selain itu, tertuduh juga menggunakan senjata iaitu parang ketika kejadiandan mengacukannya ke perut mangsa," katanya.
Buttu didakwa merogol wanita berusia 31 tahun itu di rumah mangsa pada 5.10 pagi 19 April tahun lepas mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Dia juga didakwa menyamun telefon bimbit milik mangsa bersenjatakan parang pada masa dan tempat sama.
Terdahulu, Buttu, yang tidak diwakili peguam, memohon hukuman ringan kerana mempunyai keluarga di Bangladesh.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa yang sedang tidur di dalam bilik bersama dua anaknya dikejutkan dengan kehadiran tertuduh di dalam rumahnya.
Tertuduh kemudian mengarahkan mangsa berdiam diri dan mengambil telefon milik wanita itu sebelum merogolnya di ruang tamu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Dalira Din.-BERNAMA

Tuesday 24 December 2013




















SELAMAT MENYAMBUT HARI KRISMAS
Kepada Sahabat-Sahabat PJS yang beragama  Kristian
dan Selamat Maju Jaya. Kepada yang akan menghadapi exam PJS pada 6 dan 7 Januari 2014, bersedia sepenuhnya.  Hanya calon yang lulus dengan cemerlang sahaja akan dipanggil dalam sessi temuduga untuk perlantikan sebagai pjs.

admin remba@pjs

Khianat, Ceroboh Istana Perlis: Penganggur Dipenjara Tiga Bulan

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku melakukan khianat dan menceroboh Istana Perlis di Jalan Eaton di sini dua minggu lepas.
Cheah Hun Chee, 31, didakwa memasuki Istana Perlis tanpa kebenaran pada 3 pagi 12 Dis lepas mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dia juga didakwa memecahkan cermin pintu serta menconteng dinding istana dengan cat sehingga menyebabkan kerugian kira-kira RM500 di tempat dan pada masa sama mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Cheah turut berdepan pertuduhan gagal menunjukkan kad pengenalan mengikutPeraturan 25(1)(N) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukumanmaksimum penjara tiga tahun atau denda RM20,000.
Majistret Saifulakmal Said menjatuhkan hukuman penjara dua bulan ke atastertuduh bagi kesalahan menceroboh, tiga bulan kerana melakukan khianat danpenjara sebulan bagi kesalahan gagal menunjukkan kad pengenalan.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan Cheah menjalani hukuman itu serentak bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 12 Dis lepas.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tan Sew Ping manakala Cheahtidak diwakili peguam. - BERNAMA

Polis Tawau Tahan 129 Individu Di Kampung Sri Aman Tawau

TAWAU: Polis Tawau menahan 129 individu termasuk 57 wanita atas pelbagai kesalahan dalam satu operasi bersepadu di Kampung SriAman, Batu 3, Jalan Apas di sini, awal pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Awang Besar Dullah berkata individu yang berusia 14 hingga 60 tahun itu ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan selain 18 lagi dirujuk ke Bahagian Narkotik.
"Operasi bermula pukul 5 pagi dan tamat pada pukul 8.40 pagi itu melibatkan polis, imigeresen dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB)," katanya dalam satu kenyataan di sini.-BERNAMA

Rogol Dan Samun: Warga Bangladesh Dipenjara 20 tahun, 16 Sebatan

PETALING JAYA: Seorang pekerja restoran warga Bangladesh dihukum penjara 20 tahun dan 16 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana merogol dan menyamun seorang wanita, dua bulan lepas.
Hakim Rozina Ayob memerintahkan Buttu, 42, menjalani hukuman itu bermuladari tarikh dia ditangkap iaitu pada 15 Okt lepas.
Bagi kesalahan merogol, Buttu dihukum penjara 20 tahun dan 10 sebatan manakala untuk pertuduhan menyamun, dia dihukum penjara sembilan tahun dan enam sebatan.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara serentak.
Dalam penghakimannya, Rozina berkata beliau mengambil kira fakta bahawa ketika kejadian, mangsa hanya berada ditemani dua anak yang masih kecil.
"Selain itu, tertuduh juga menggunakan senjata iaitu parang ketika kejadiandan mengacukannya ke perut mangsa," katanya.
Buttu didakwa merogol wanita berusia 31 tahun itu di rumah mangsa pada 5.10 pagi 19 April tahun lepas mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Dia juga didakwa menyamun telefon bimbit milik mangsa bersenjatakan parang pada masa dan tempat sama.
Terdahulu, Buttu, yang tidak diwakili peguam, memohon hukuman ringan kerana mempunyai keluarga di Bangladesh.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa yang sedang tidur di dalam bilik bersama dua anaknya dikejutkan dengan kehadiran tertuduh di dalam rumahnya.
Tertuduh kemudian mengarahkan mangsa berdiam diri dan mengambil telefon milik wanita itu sebelum merogolnya di ruang tamu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Dalira Din.-BERNAMA

Empat Petisyen Pilihan Raya Akan Didengar Semula Di Mahkamah

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan pada Isnin memerintahkan empat petisyen pilihan raya, bagi kerusi Parlimen Tapah, Bagan Datoh, di Perak dan Ketereh di Kelantan serta kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lubok Merbau, diremit semula ke mahkamah pilihan raya untuk mendengar merit kes tersebut selepas membenarkan rayuan petisyen pilihan raya yang difailkan pembangkang.
Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, yang mempengerusikan panel lima anggota terdiri daripada hakim, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Hasan Lah dan Datuk Seri Abu Samah Nordin, berkata mahkamah mengetepikan keputusan yang dibuat mahkamah pilihan raya yang menolak petisyen itu.
Dalam keputusannya, Md Raus menegaskan sesiapa saja boleh memfailkan petisyen dan pempetisyen tidak perlu hadir untuk memfailkan sendiri sesuatu petisyen itu.
Pada pilihan raya umum Mei lepas, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memenangi kerusi Bagan Datoh; Datuk M. Saravanan (Tapah); Tan Sri Annuar Musa (Ketereh) dan Datuk Siti Salmah Mat Jusak (Lubok Merbau).
Sementara itu, Mahkamah Persekutuan yang sama turut menolak rayuan bagi empat kerusi parlimen Sungai Besar dan Kuala Selangor di Selangor serta Batu dan Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Mahkamah menolak rayuan oleh dua pengundi, Mat Ismail Nasir (Sungai Besar)dan Muhammad Rashid Muhammad Kasim (Kuala Selangor), berhubung keputusan mahkamah pilihan raya, sekali gus mengekalkan kemenangan Datuk Noriah Kasnon (Sungai Besar) dan Datuk Irmohizam Ibrahim (Kuala Selangor) daripada Barisan Nasional (BN).
Dalam keputusan sebulat suara, Md Raus berkata mahkamah tidak mempunyai sebab untuk mengganggu keputusan mahkamah pilihan raya yang telah menolak petisyen itu.
Mahkamah turut memerintahkan dua perayu, Mat Ismail dan Muhammad Rashid, supaya membayar sejumlah RM60,000 kepada enam responden, Noriah, Irmohizam, Suruhanjaya Pilihan Raya (bagi kedua-dua kes) dan dua pengawai pengurus pilihan raya.
Berhubung rayuan bagi kerusi parlimen Batu dan Lembah Pantai, Md Raus berkata mahkamah berpandangan petisyen itu kekurangan fakta material dan tiada kuasa tindakan terhadap responden.
Mahkamah menolak rayuan berhubung petisyen pilihan raya yang difailkan alon BN Dr Dominic Lau Hoe Chai untuk membatalkan kemenangan Chua Tian Chang (Tian Chua) daripada PKR dan pengundi parlimen Lembah Pantai Mohamad Sazali Kamilan untuk membatalkan kemenangan Nurul Izzah Anwar, juga daripada PKR. - BERNAMA

Monday 23 December 2013

Penggubahan Wang Haram: Dua Beradik, Syarikat Pelaburan Emas Didakwa

TUDUHAN...Noor Ismahanum Mohd Ismail, 31 (tengah) serta adiknya, Mohamad Ismahanif Mohd Ismail, 25 (kanan) dan sebuah syarikat pelaburan emas, Worldwide Fast East Berhad, telah dibicarakan di Mahkamah Sesyen atas 116 pertuduhan penggubahan wang haram berjumlah lebih RM3.3 juta. - Foto BERNAMA.
KUALA LUMPUR: Dua beradik dan sebuah syarikat pelaburan emas berdepan 116 pertuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan RM6.85 juta di Mahkamah Sesyen pada Isnin.
Datuk Noor Ismahanum Mohd Ismail, 32, dan adiknya, Mohamad Ismahanif, 25, serta syarikat Worldwide Far East Berhad bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Ahmad Bache.
Ahmad membenarkan Noor Ismahanum serta syarikat itu diikat jamin RM500,000 manakala Mohamad Ismahanif sebanyak RM30,000 masing-masing dengan dua penjamin dan menetapkan 17 ruaridepan untuk pengurusan kes.
Beliau turut memerintahkan kedua-dua beradik, yang merupakan pengarah Worldwide Far East Berhad, menyerahkan pasport masing-masing kepada mahkamah.
Noor Ismahanum dan syarikat itu didakwa menggunakan wang berjumlah RM3,281,202.63 hasil aktiviti haram melalui 57 cek daripada akaun CIMB Bank Berhad milik syarikat itu manakala Mohamad Ismahanif didakwa memiliki sebuah kereta Honda Civic dan wang berjumlah RM295,883.48 menerusi hasil aktiviti haram.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Jalan Radin Tengah, Bandar Baru Sri Petaling dekat sini antara 4 Julai 2011 dan 31 Dis tahun lepas mengikut Subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mardziatun Nisa Ahamadul Kaber dari Bank Negara tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan kesalahan yang dilakukan adalah serius.
Bagaimanapun, jika mahkamah membenarkan jaminan, beliau menawarkan jaminan sebanyak RM2 juta bagi Noor Ismahanum dan Worldwide Far East Berhad serta RM100,000 bagi Mohd Ismahanif, masing-masing dengan dua penjamin selain memohon tertuduh menyerahkan pasport mereka kepada mahkamah.
Peguam Hamidi Mohd Noh meminta jaminan dikurangkan atas alasan kesemua anak guamnya tidak mampu membayar jumlah yang ditawar.
"Pasport mereka akan diserah kepada mahkamah dan adalah mustahil bagi mereka melarikan diri kerana melarikan diri bukan jalan penyelesaian, selain itu, Noor Ismahanum juga sering melakukan kerja-kerja kebajikan termasuk membantu anak yatim," katanya. -BERNAMA

Friday 20 December 2013

Anggota Majlis MPSJ Didakwa Salah Guna Kuasa

SHAH ALAM: Seorang anggota majlis Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Zon 19 pada Jumaat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua pertuduhan menyalahgunakan kuasa dan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen pada 2010.
Hamdan Ismail, 50, didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan kelulusan berhubung cadangan Syarikat Alam Muhibbah Enterprise, yang dikendalikan anaknya, Yuwafee Heidi, bagi melaksanakan kerja membina bonggol premix di Jalan LEP 6 dan Jalan PP1 serta membaik pulih jalan di Taman Equine, Seri Kembangan berharga RM19,790.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat MPSJ di Subang Jaya pada Februari 2010 dan didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menggunakan dokumen Minit Mesyuarat Jawatankuasa Penduduk MPSJ Zon 19 bertarikh 3 Disember 2009 yang palsu, sebagai tulendi Bahagian Khidmat Komuniti Kompleks 3C, MPSJ Subang Jaya pada 3 Disember 2010.
Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Hakim M Bakri Abd Majid membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 denganseorang penjamin dan menetapkan 7 Januari depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Lokman Kasim manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Perbicaraan Kes Saman Anwar Terhadap Anifah Ditetapkan 8 April

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini Jumaat menetapkan tiga hari bermula 8 April depan untuk perbicaraan kes saman fitnah RM100 juta yang difailkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.
Kes saman itu berhubung kenyataan menteri berkenaan dalam satu sidang akhbar di Washington empat tahun lalu.
Hakim Siti Khadijah S.Hassan Badjenid menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas bertemu peguam Syed Ismat Syed Muhamad yang mewakili Anifah, dan peguam Masturina Mohamad Rodzi yang mewakili Anwar.
Kes itu ditetapkan untuk perbicaraan selepas Mahkamah Rayuan pada 25 Januarilepas memerintahkan kes berkenaan dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi untukdibicarakan.
Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Anwar bagimenghidupkan semula saman sivil beliau terhadap Anifah atas kapasiti peribadimenteri itu.
Pada 6 Januari 2011, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk John Louis O'Hara membatalkan saman itu selepas membenarkan permohonan Anifah dan kerajaan untuk membatalkan saman berhubung kenyataan yang dibuat menteri itu pada Mei 2009 semasa sidang akhbar di Jabatan Negara di Washington.
Pada 27 Mei 2009, Anwar menyaman Anifah atas kapasiti peribadi dan rasmi beliau dan kerajaan Malaysia atas dakwaan menteri itu memfitnahnya dalam sidang akhbar Anifah bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat ketika itu, Hillary Clinton.
Beliau mendakwa kenyataan Anifah tidak berasas dan telah dilaporkan secara meluas dalam media tempatan dan asing.
Anwar memohon RM100 juta sebagai ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. - BERNAMA

Thursday 19 December 2013

Akuan Berkanun Bekas Pegawai Polis Dibuat Berasaskan Dengar Cakap - Shafee

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata permohonan kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetepikan beliau sebagai pendakwa utama dalam rayuan pihak pendakwa terhadap pembebasan Anwar daripada tuduhan meliwat, perlu ditolak kerana ia banyak bergantung pada bukti dengar cakap.
Dalam hujahnya kepada Mahkamah Rayuan di sini Khamis, Muhammad Shafee berkata akuan berkanun (SD) yang dibuat bekas ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim adalah berdasarkan bukti dengar cakap serta tuduhan bersifat remeh.
Beliau memberitahu panel tiga anggota yang diketuai Hakim Datuk Aziah Ali bahawa penulis SD itu (Mat Zain) tidak pernah diperiksa atau mengemukakan afidavit yang membolehkan mahkamah membuat pengesahan tentang kebenaran tuduhannya.
Muhammad Shafee berkata semakan dengan Jabatan Insolvensi menunjukkan Mat Zain seorang muflis dan gagal melunaskan pinjaman peribadi yang diambil daripada seorang ahli perniagaan tidak lama selepas beliau bersara daripada pasukan polis.
Menurut peguam kanan itu lagi, permohonan berkenaan dibuat berdasarkan isu undang-undang dan fakta sama yang telah diputuskan Mahkamah Persekutuan.
"Permohonan ini tidak lebih daripada suatu permohonan remeh dan menyusahkan...untuk melambat-lambatkan dan memanjangkan tempoh pendengaran rayuan kes liwat utama kedua," kata Muhammad Shafee.
Dua lagi anggota panel itu ialah Hakim Datuk Rohana Yusoff dan Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh.
Sementara itu, dalam hujahnya, Tommy Thomas, peguam bela utama yang mewakili Anwar, berkata Muhammad Shafee melakukan salah laku serius apabila tidak membuat laporan tentang tuduhan yang ditimbulkan terhadap Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail oleh Mat Zain berhubung kejadian 'mata lebam' Anwar.
Tommy mendakwa tindakan Muhammad Shafee menerima pelantikan oleh Peguam Negara untuk mengetuai rayuan itu merupakan suatu salah laku profesional oleh seseorang peguam seperti yang terkandung dalam Peraturan-peraturan Profesion Guaman (Amalan dan Etika) 1978.
Dalam penghujahannya selama hampir dua jam, Tommy berkata Jabatan Peguam Negara mempunyai ramai calon berpengalaman lain untuk mengendalikan kes rayuan.
Hakim Aziah menetapkan pagi esok untuk mengumumkan keputusan panel itu. Beliau juga menetapkan 12 dan 13 Februari sebagai tarikh pendengaran rayuan utama kes berkenaan.
Pada 6 Disember, Anwar, 66, memfailkan permohonan kedua untuk mengetepikan Muhammad Shafee daripada mengetuai pasukan pendakwaan.
Kali ini, beliau menggunakan maklumat daripada SD Mat Zain sebagai alasan untuk memfailkan permohonan itu.
Permohonan pertama beliau ditolak Mahkamah Rayuan pada 17 Sept dan beliau juga tidak berjaya dalam rayuan yang dikemukakan kepada Mahkamah Persekutuan.
Pada 9 Januari tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di sebuah unit Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara antara pukul 3.10 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008. -BERNAMA

Wednesday 18 December 2013

Suami Isteri Bebas Tuduhan Cederakan Amah Warga Indonesia

JOHOR BAHARU: Mahkamah Tinggi di sini, Rabu melepaskan dan membebaskan sepasang suami isteri terhadap tuduhan menyebabkan kecederaan parah dan memperdagang amah mereka, antara Julai dan September tahun lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman Samsudin Hassan membenarkan rayuan Mohd Shukur Suradi, 29, dan isterinya Daeng Norulasyikin Bachok, 28, untuk mengetepikan hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan terhadap Mohd Shukur manakala isterinya yang dihukum penjara 15 tahun oleh Mahkamah Sesyen pada 19 Jun lepas.
Hakim Mahkamah Sesyen telah memutuskan Mohd Shukur, seorang ahli perniagaan dan isterinya seorang guru didapati bersalah menyebabkan kecederaan parah terhadap Marsini, 22, dengan menggunakan pisau, kayu golf, penyangkut baju, tali pinggang, air panas, minyak panas, senduk panas serta sudu panas bagi pertuduhan berkenaan.
Dalam penghakimannya, Samsudin berkata Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam mensabitkan tuduhan itu selain terdapat kecamukan dalam keterangan beberapa saksi dan sejarah sakit mangsa juga tidak mempunyai sokongan.
Beliau berkata terdapat tiga elemen yang perlu dibuktikan bagi tuduhan menyebabkan kecederaan parah iaitu kedua-dua perayu sengaja mendatangkan kecederaan parah ke atas mangsa, cedera parah itu disebabkan senjata atau alat yang boleh menyebabkan kematian serta perbuatan kedua-dua perayu adalah secara bersama.
"Keterangan pegawai siasatan pula hanya semata-mata hasil siasatan dan tidak mempunyai keterangan langsung yang mengaitkan perayu dengan mangsa serta keterangannya juga tidak padat untuk mengaitkan kedua-dua perayu dengan kecederaan yang dihadapi mangsa," katanya.
Samsudin berkata terdapat kecamukan keterangan memandangkan pihak pendakwaan melonggokkan kecederaan lama dan baharu bersekali dalam tempoh kejadian berlaku sehingga menyebabkan wujudnya prejudis untuk mensabitkan pertuduhan menyebabkan kecederaan parah.
Mengenai tuduhan memperdagang Marsini, Samsudin berkata mahkamah mendapati kedua-dua perayu mempunyai ejen bagi mendapatkan pembantu rumah dan tiada keterangan bahawa mangsa diambil dan disimpan bagi tujuan perhambaan.
"Oleh itu, rayuan kedua-dua perayu dibenarkan dan sabitan terhadap mereka diketepikan. Kedua-dua perayu dibebas dan dilepaskan atas kedua-dua tuduhan berkenaan," katanya.
Pasangan itu didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman mereka di Nombor 7, Jalan Utama 5, Taman D Utama, Perling, di sini, antara Julai dan 23 September 2012 dan dituduh mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.
Masing-masing dikenakan hukuman penjara 10 tahun terhadap tuduhan memperdagang Marsini pada pukul 12 tengah hari, pada tarikh dan alamat sama dan didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda oleh Mahkamah Sesyen.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rahimah Abdul Majid manakala Mohd Shukur dan Daeng Norulasyikin diwakili peguam Muhammad Ashraf Mohd Diah. -BERNAMA

Mahkamah Tolak Saman Fitnah Gardenia Terhadap Seorang Pengguna

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu menolak dengan kos, saman fitnah yang dikemukakan sebuah syarikat pembuat dan pengeluar roti, membabitkan penemuan seekor cicak dalam roti yang dibeli seorang pengguna pada 6 Januari lepas.
Hakim Sabariah Othman dalam penghakimannya berkata kenyataan dan gambar yang dikeluarkan jurulatih sumber manusia, Lau Kian Eng, 42, berhubung perkara itu seperti yang diterbitkan dalam lima akhbar berbahasa Cina pada 29 Mac lepas, tidak merujuk kepada plaintif, Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd.
Pada masa sama, katanya, plaintif juga gagal mengemukakan sebarang keterangan daripada saksi bebas untuk menyokong dakwaannya itu.
Gardenia Bakeries memfailkan saman fitnah terhadap Lau pada 6 Ogos lepas, menerusi Tetuan Raja, Darryl dan Loh berhubung sidang media Lau pada 28 Mac lepas, yang dikatakan memfitnah syarikat itu berhubung penemuan cicak dalam roti.
Sidang media itu dibuat Lau ekoran penemuan seekor cicak dalam sebungkus roti putih yang dibelinya pada 6 Jan lepas, di sebuah pasar raya di Bukit Tinggi,Klang.
Plaintif mendakwa gambar-gambar beg mengandungi roti yang dikemukakan Lau seperti yang diterbitkan di akhbar, menjejaskan reputasi perniagaan plaintif, sehingga menyebabkan kerugian besar.
Ini kerana, katanya, gambar beg berwarna biru dan merah yang mengandungi roti itu mudah dikenal pasti sebagai roti yang dihasilkan plaintif (Gardenia).
Selain daripada menuntut ganti rugi termasuk ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan, plantif juga mahukan satu injunksi untuk menghalang defendan daripada terus menyiarkan selanjutnya sebarang kenyataan atau gambar yang memfitnah plaintif.
Dalam kenyataan pembelaan, Lau mendakwa gambar beg roti yang diterbitkan dalam akhbar berkenaan telah dikaburkan, dan tidak dapat dikenal pasti.
Beliau juga mendakwa anak perempuannya mengalami ciri-birit akibat termakan roti mengandungi cicak itu.
Sementara itu, peguam yang mewakili Lau, Sreekant Pillai berkata anak guamnya tidak memohon sebarang ganti rugi dalam kes itu tetapi hanya mahu siasatan penuh dijalankan plaintif untuk mengenal pasti punca aduan yang dikemukakan. - BERNAMA

Tukang Cat Didenda Guna IC Palsu Sebagai Saksi Upacara Perkahwinan

Tukang Cat Didenda Guna IC Palsu Sebagai Saksi Upacara Perkahwinan
PUTRAJAYA: Seorang tukang cat didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini kerana menggunakan kad pengenalan palsu semasa mendaftar sebagai saksi untuk satu upacara perkahwinan bagi satu pasangan imigran.
Ong Kok Keong, 46, yang merupakan rakyat tempatan ditahan ketika dia cuba untuk mendaftar sebagai saksi di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Dia dituduh kerana menggunakan kad pengenalan yang didaftarkan atas nama Lai Kar Ching.
Ong mengaku melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 25(1)(e) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) di cawangan penguatkuasaan dan penyiasatan jabatan itu pada pukul 12.45 tengah hari pada 16 Disember dan mengaku bersalah di mahkamah.
Ong, yang tidak diwakili peguam, memohon mahkamah supaya menjatuhkan hukuman denda kepadanya dan bukan hukuman penjara.
Dia berhadapan dengan denda maksimum RM20,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
"Tolonglah denda saya, saya tidak mahu masuk penjara. Saya bekerja sebagai tukang cat dengan upah RM100 sehari. Saya ada ibu dan isteri untuk saya tanggung," katanya pada Selasa.
Pegawai pendakwa bagi jabatan itu, Sulaiman Ghamat berkata, isu kad pengenalan palsu merupakan perkara melibatkan kepentingan rakyat dan memohon mahkamah memutuskan hukuman sebagai pengajaran.
Majistret Nur Dahlia Azmi meluluskan hukuman dan mengarahkan Ong dikenakan hukuman penjara lima bulan sekiranya dia gagal membayar denda.

Empat Lelaki Didakwa Bunuh Remaja Yang Disyaki Curi Tabung Masjid

KUALA LUMPUR: Empat lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Ampang di sini Selasa atas pertuduhan membunuh seorang remaja yang disyaki mencuri tabung masjid, dua minggu lepas.
Pengurus Keselamatan Mohamad Yusof Mohamad, 39, dan tiga lagi pengawal keselamatan Mohd Aswenry Majon, 26, Iweldo Putra, 19, dan Pondri Neriko, 20, didakwa membunuh Mohamad Shah Reza Fauzi, 20, di tangga tepi pagar Masjid Al-Azim, Jalan Pandan Indah, Ampang Jaya dekat sini pada 5 pagi, 3 Disember lepas.
Tiada pengakuan dicatatkan daripada kesemua tertuduh yang berdepan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman menetapkan 17 Feb depan untuk sebutan, sementara menunggu laporan bedah siasat.
Sementara itu, Iweldo dan Pondri dari Indonesia turut dijatuhi hukuman penjara selama setahun dan dikenakan dua sebatan selepas mengaku bersalah kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah untuk masuk ke Malaysia.
Ayuni mmerintahkan Iweldo dan Pondri menjalani hukuman itu bermula dari tarikh mereka ditangkap iaitu pada 3 Disember lepas.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Pandan Indah 4/8, Pandan Indah, Ampang Jaya dekat sini pada 2.30 petang, 3 Disember lepas di bawah Akta Imigresen.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene dan kesemua tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Monday 16 December 2013

Ketua & Pengikut Tuhan Harun Didakwa Bunuh Pegawai JAIP

KUANTAN: Seorang pengikut ajaran sesat 'Tuhan Harun', Sumustapha Suradi, 39, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, pagi Isnin atas tuduhan dengan niat bersama dua lagi yang masih bebas membunuh Ketua Penolong Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abd Malek pada 10 November lalu.
Ketua ajaran sesat itu, Harun Mat Saat, 47, bersama isteri ketiganya, Azida Mohd Zol, 30, dan Shaizral A Eddie Nizam Shaari, 37, didakwa mengikut Seksyen 120B(1) yang dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana dituduh melakukan konspirasi jenayah.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang tiba dengan kawalan ketat polis.
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan membawa hukuman mati mandatori.
Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali kemudian membenarkan pemohonan Timbalan Pendakwa Raya, Salim Soib @ Hamid untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi pada Isnin.

Ejen Pekerja Asing Dipenjara 15 Tahun Rogol Anak Perempuan Berusia 12 Tahun

KUALA LUMPUR: Seorang ejen pekerja asing dipenjara 15 tahun oleh Mahkamah Sesyen di Ampang di sini selepas didapati bersalah kerana merogol anak perempuannya yang berusia 12 tahun.
Hakim Chan Jit Li turut mengarahkan lelaki berusia 53 tahun itu disebat 10 kali.
Chan membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah dalam kes itu.
Beliau mengarahkan hukuman berjalan bermula Khamis .
Lelaki itu didakwa merogol anak perempuannya yang kini berusia 19 tahun di sebuah rumah di Ampang Jaya di antara tahun 2006 dan Mac 2012.
Pertuduhan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan (Akta 574) membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan maksimum 10 kali sebatan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ummi Aliza Ab Kadir menggesa mahkamah mengenakan hukuman yang lebih keras dengan mengambil kira kepentingan awam.
Ummi Aliza berkata tertuduh adalah bapa kepada mangsa dan ia adalah tanggungjawabnya untuk melindungi kanak-kanak itu.
"Tindakannya telah menyebabkan kerosakan jangka panjang untuk sepanjang hidupnya gadis itu dirogol sejak berusia 12 tahun," katanya.

Banduan Dijatuhi Hukuman Mati Bunuh Teman Satu Sel

Banduan Dijatuhi Hukuman Mati Bunuh Teman Satu Sel
SHAH ALAM: Seorang banduan yang sedang menjalani hukuman penjara lapan tahun bagi kesalahan menyamun dan dijangka dibebaskan pertengahan tahun depan terpaksa melupakan impian itu selepas dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana membunuh teman satu sel, tahun lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman Choong Siew Khim menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Nor Hamdan Mohamad, 41, setelah pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes itu melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Nor Hamdan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Lui Hoh Hiong, 52, di sel No.9, Blok Gemilang, Penjara Kajang pada 4.30 pagi, 16 April 2012.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fuad Abd Aziz dan pada prosiding hari ini beliau diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mirza Mohamad sementara tertuduh diwakili peguam Salim Bashir. - BERNAMA

Sunday 15 December 2013

Beban Pembuktian Ditangan KDN, Bukan Saya - Mat Sabu

Mohamad Sabu
PETALING JAYA: Mohamad Sabu berkata terpulang kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membuktikan beliau seorang pengikut kumpulan Syiah, berbanding dirinya yang perlu membuktikkan dia tidak bersalah.
"Beban pembuktiaan di tangan mereka kerana merekalah yang menuduh saya.
"Berdasarkan pengetahuan saya, begitulah cara undang-undang di Malaysia," kata Timbalan Presiden PAS kepada The Star Online dalam satu khidmat pesanan ringkas.
Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri dilaporkan menggesa Mohamad tampil mengemukakan bukti jika dirinya tidak terlibat dengan fahaman Syiah.
Pegawai Agama KDN, Ustaz Dr Zamihan Mat Zain Al Ghari berkata Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Sabu juga perlu berhujah secara ilmiah bagi menafikan 10 bukti yang dikeluarkan KDN semalam yang mengaitkannya dengan fahaman syiah.
Khamis lepas, KDN mengemukakan 10 bukti yang mendakwa Mat Sabu mempunyai kaitan dengan fahaman Syiah, yang dilabelkan sebagai ajaran sesat di Malaysia.
Antara bukti yang dikemukakan ialah Mat Sabu didakwa menghadiri kelas agama anjuran dua pemimpin Syiah di Bukit Merah pada 2011 dan sering menyatakan rasa kagumnya terhadap pentadbiran pemimpin Syiah di Iran, Ayatollah Ruhollah Khomeini.
Bukti berkenaan dikemukakan selepas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan pemimpin 'nombor dua' PAS terlibat dengan ajaran syiah.
Mat Sabu bagaimanapun telah menafikan dakwaan yang dilemparkan terhadapnya.

Friday 13 December 2013

Banduan Dijatuhi Hukuman Mati Bunuh Teman Satu Sel

SHAH ALAM: Seorang banduan yang sedang menjalani hukuman penjara lapan tahun bagi kesalahan menyamun dan dijangka dibebaskan pertengahan tahun depan terpaksa melupakan impian itu selepas dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana membunuh teman satu sel, tahun lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman Choong Siew Khim menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Nor Hamdan Mohamad, 41, setelah pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes itu melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Nor Hamdan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Lui Hoh Hiong, 52, di sel No.9, Blok Gemilang, Penjara Kajang pada 4.30 pagi, 16 April 2012.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fuad Abd Aziz dan pada prosiding hari ini beliau diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mirza Mohamad sementara tertuduh diwakili peguam Salim Bashir. - BERNAMA

Tipu: Mahkamah Tinggi Perintah Ahli Perniagaan, Rakan Bela Diri

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memerintahkan seorang ahli perniagaan dan rakannya yang sebelum ini dilepas dan dibebaskan daripada sembilan pertuduhan menipu berjumlah RM143,890, membela diri.
Hakim Kamardin Hashim membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas serta membebaskan C.Yoganandha Moorthy, 39, dan Mercy Sumathi Christie, 44, daripada pertuduhan berkenaan.
"Setelah meneliti rekod rayuan dalam kes ini, mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua responden dan mahkamah memerintahkan kedua-duanya membela diri atas sembilan pertuduhan itu," katanya.
Beliau juga memerintahkan kes itu dipindah ke Mahkamah Sesyen untuk kedua-dua responden membela diri dan menetapkan Selasa ini sebagai sebutan kes.
Pada 10 April tahun lepas, Hakim Che Mohamad Zulkifly Jusoh melepas dan membebaskan Yoganandha Moorthy dan Mercy selepas memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi semua pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh.
Mereka berdepan enam pertuduhan menipu Wong Yoke Wan, 54, Tew Soo Guan, 32, Kong Shyang Kun, 32, dan Chan Kin Wai, 34, dengan menyerahkan cek yang tidak boleh ditunai bernilai RM93,250.
Cek itu bagi memperdaya mangsa untuk melakukan kerja-kerja pendawaian, membaiki paip, perkhidmatan mengangkat barang dan menyerahkan kunci rumah untuk disewa kepada tertuduh.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di No 39, Jalan Langgak Golf Ampang Hilir dan No 3, Lorong Ru Kedua, Off Jalan Ampang, Ampang Hilir di sini antara 22 Sept dan 30 Okt 2008.
Bagi tiga pertuduhan lagi, Yoganandha Moorthy dan Mercy didakwa menipu V. Kodivelu, 30, dengan menyerahkan cek bernilai RM50,640 sehingga mendorong mangsa menyerahkan komputer dan peralatannya di No 3, Lorong Ru Kedua Off Jalan Ampang, Ampang Hilir di sini antara 14 dan 21 Okt 2008.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, denda dan sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan pendakwa Raya Allan Suman Pillai manakala peguam S.R. Srideevi Naidu mewakili Yoganandha Moorthy dan peguam A. G Kalidas mewakili Mercy. - BERNAMA

Thursday 12 December 2013

Jururawat Didapati Bersalah Kahwin Kali Kedua Tanpa Bercerai Dengan Suami Perkahwinan Pertama

KOTA KINABALU: Seorang jururawat berusia 29 tahun yang berkahwin kali kedua tanpa bercerai daripada suami daripada perkahwinan pertama, didapati bersalah di bawah undang-undang adat dan dikenakan denda.
Suami kedua mangsa, yang mana identiti dan usianya tidak didedahkan turut didapati bersalah kerana mengahwini seorang wanita yang masih bergelar isteri kepada seorang lelaki lain merupakan kes poliandri pertama didengar di Mahkamah Bumiputera Penampang awal minggu ini.
Wanita itu dan suami keduanya yang mempunyai seorang anak daripada perkahwinan tersebut dijatuhi hukuman denda sebanyak RM10,500 di bawah undang-undang adat bumiputera oleh panel hakim yang diketuai oleh Ketua Anak Negeri Penampang, Marcus Jonioh.
Atas kesalahan berkahwin kali kedua tanpa bercerai atau bigami, wanita berkenaan dikenakan denda sebanyak RM1,500 (yang bersamaan dengan harga seekor haiwan ternakan biasanya lembu) dan sebanyak RM3,000 (harga dua ekor haiwan ternakan) atas kesalahan melakukan seks secara haram.
Suami kedua tertuduh juga didenda sebanyak RM4,5000 (harga tiga ekor haiwan ternakan). Mahkamah turut mengenakan denda RM1,500 bagi kos kes tersebut.
Dalam keputusan sebulat suara, Jonioh berkata pasangan berkenaan diarahkan supaya tidak meneruskan hubungan mereka atau berhadapan dengan denda tambahan.
Manakala budak lelaki yang dilahirkan daripada perhubungan haram itu sepatutnya ditinggalkan di bawah jagaan bapa sehingga mereka menyelesaikan isu penceraian kerana mahkamah adat tidak mempunyai bidang kuasa dalam memutuskan kes penceraian.
Mahkamah adat memberi masa selama sebulan kepada kedua-dua tertuduh untuk membayar denda sebanyak RM10,500 atau mereka akan dipenjara jika gagal berbuat demikian.
Mahkamah adat telah bersidang untuk mendengar kes tersebut selepas suami pertama tertuduh yang identitinya tidak didedahkan, membuat aduan bahawa isteri dikahwininya di sebuah gereja di Penampang pada 2010 telah berkahwin dengan suami keduanya pada Julai tahun ini serta mendaftar perkahwinan mereka di Mahkamah Bumiputera Beluran selepas dia berpindah ke Sandakan.
(Wanita berkenaan dan suami pertamanya tidak mempunyai cahaya mata dan tiada butiran didedahkan sama ada perkahwinan yang dibuat di gereja itu telah didaftarkan walaupun di bawah undang-undang adat mereka dianggap sudah berkahwin. )

Tipu: Mahkamah Tinggi Perintah Ahli Perniagaan, Rakan Bela Diri

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memerintahkan seorang ahli perniagaan dan rakannya yang sebelum ini dilepas dan dibebaskan daripada sembilan pertuduhan menipu berjumlah RM143,890, membela diri.
Hakim Kamardin Hashim membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas serta membebaskan C.Yoganandha Moorthy, 39, dan Mercy Sumathi Christie, 44, daripada pertuduhan berkenaan.
"Setelah meneliti rekod rayuan dalam kes ini, mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua responden dan mahkamah memerintahkan kedua-duanya membela diri atas sembilan pertuduhan itu," katanya.
Beliau juga memerintahkan kes itu dipindah ke Mahkamah Sesyen untuk kedua-dua responden membela diri dan menetapkan Selasa ini sebagai sebutan kes.
Pada 10 April tahun lepas, Hakim Che Mohamad Zulkifly Jusoh melepas dan membebaskan Yoganandha Moorthy dan Mercy selepas memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi semua pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh.
Mereka berdepan enam pertuduhan menipu Wong Yoke Wan, 54, Tew Soo Guan, 32, Kong Shyang Kun, 32, dan Chan Kin Wai, 34, dengan menyerahkan cek yang tidak boleh ditunai bernilai RM93,250.
Cek itu bagi memperdaya mangsa untuk melakukan kerja-kerja pendawaian, membaiki paip, perkhidmatan mengangkat barang dan menyerahkan kunci rumah untuk disewa kepada tertuduh.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di No 39, Jalan Langgak Golf Ampang Hilir dan No 3, Lorong Ru Kedua, Off Jalan Ampang, Ampang Hilir di sini antara 22 Sept dan 30 Okt 2008.
Bagi tiga pertuduhan lagi, Yoganandha Moorthy dan Mercy didakwa menipu V. Kodivelu, 30, dengan menyerahkan cek bernilai RM50,640 sehingga mendorong mangsa menyerahkan komputer dan peralatannya di No 3, Lorong Ru Kedua Off Jalan Ampang, Ampang Hilir di sini antara 14 dan 21 Okt 2008.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, denda dan sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan pendakwa Raya Allan Suman Pillai manakala peguam S.R. Srideevi Naidu mewakili Yoganandha Moorthy dan peguam A. G Kalidas mewakili Mercy. - BERNAMA

Wednesday 11 December 2013

Perbicaraan Kes Menyamar Kerabat Raja Kedah 10 Februari

GEORGE TOWN: Mahkamah Majistret di sini Rabu menetapkan 10 Februari depan sebagai tarikh perbicaraan kes seorang lelaki yang menyamar kerabat Raja Kedah.
Majistret Sri Pracha Nanthini Balabedha menetapkan tarikh itu selepas tertuduh, Roshidi Fadzil, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Roshidi, 47, dari Taman Bunga Raya, Melaka, dituduh menipu Ooi Ten Seng, 33, dengan menyamar sebagai kerabat raja Kedah Yang Teramat Mulia Tunku Putera Roshidi Tunku Fadzil, di Dewan Banquet Hotel Cititel di sini pada 23 Okt tahun lepas.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Roshidi juga didakwa menggunakan lambang Pertubuhan Amal Kebajikan Islamiah Malaysia (Pakim Diraja atau Serampang Tiga) tanpa kebenaran Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada 23 Okt 2012.
Dia didakwa mengikut Seksyen 50(3) Akta Pertubuhan 1966 yang membawa hukuman penjara tidak lebih tiga bulan atau denda tidak lebih RM3,000, jika sabit kesalahan.
Tertuduh diwakili peguam Muhd Yahya Zakaria. - BERNAMA

Rogol Gadis Bawah Umur: Pengurus Restoran Diperintah Bela Diri

KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu memerintahkan seorang pengurus restoran membela diri atas pertuduhan merogol seorang gadis bawah umur.
Hakim Ummu Khaltom Abd Samad berkata mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Riduan Masmud, 40.
Beliau menetapkan 16 dan 17 Dis untuk kes pembelaan. Mahkamah sebelum ini mendengar keterangan 19 saksi dari 1 Julai hingga 14 Nov.
Riduan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan merogol seorang pelajar perempuan berumur lingkungan 12 tahun sekitar 9 pagi hingga 10 pagi di dalam sebuah kereta di tepi jalan dekat kawasan Air Terjun Kionsom di Inanam pada 18 Feb tahun ini.
Dia berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pada 20 Mei, Riduan memberitahu mahkamah dia sudah mengahwini gadis itu.
Bagaimanapun, pada 6 Jun, Jabatan Peguam Negara berkata pendakwaan terhadap pengurus restoran itu akan diteruskan.
Pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharuddin manakala Riduan tidak diwakili.
Hadir selaku peguam pemerhati ialah Mary Lee bagi Kumpulan Daya Tindakan Wanita Sabah (SAWO), Pusat Kesedaran Wanita Pulau Pinang (WCC Pulau Pinang), Sisters in Islam dan Mama Anne of Bukit Harapan, serta peguam Mary Florence Gomez bagi Persatuan Undang-undang Sabah dan Suara Kanak-kanak Malaysia. - BERNAMA

Tuesday 10 December 2013

Mahkamah Persekutuan Perintah Petisyen Pilihan Raya Machang Didengar Semula

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen pilihan raya yang difail Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi membatalkan kemenangan Barisan Nasional (BN) di Parlimen Machang pada pilihan raya umum ke-13 didengar semula.
Panel lima hakim diketuai Tun Arifin Zakaria membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan calon PKR Wan Zawawi Wan Ismail bagi mengetepikan perintah Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan petisyennya pada 16 Julai lepas.
Dalam penghakimannya, Arifin berkata hakim pilihan raya tidak sepatutnya membatalkan pertisyen itu atas alasan pempetisyen gagal mematuhi beberapa peraturan mengikut Kaedah 9 dan Kaedah 34 Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954.
Arifin, yang bersidang bersama-sama Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Ahmad Maarop dan Datuk Hasan Lah berkata Mahkamah Pilihan Raya perlu mendengar kes itu berdasarkan merit.
Beliau kemudian menetapkan 17 Dis sebagai pengurusan kes bagi petisyen itu.Mahkamah Pilihan Raya membatalkan petisyen Wan Zawawi selepas membenarkan bantahan awal peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili responden.
Wan Zawawi menamakan Anggota Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, pegawai pengurus pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai responden.
Ahmad Jazlan, yang juga Ketua Umno Bahagian Machang, menewaskan Wan Zawawi dengan majoriti 805 undi pada pilihan raya umum ke-13.
Pada prosiding pada Selasa, panel sama menolak lima rayuan berkaitan petisyen pilihan raya selepas mendengar hujah pihak berkaitan.
Tiga daripada petisyen itu difail oleh PAS bagi kerusi Dewan Undangan Pasir Panjang, Manong dan Rungkup di Perak manakala dua oleh BN bagi kerusi Parlimen Bachok dan kerusi Dewan Undangan Negeri Jelawat di Kelantan.
Sementara itu, satu lagi panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif turut menolak petisyen pilihan raya PAS bagi kerusi Dewan Undangan Selama.
Md Raus, yang bersidang bersama-sama Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Hasan Lah dan Datuk Seri Abu Samah Nordin, membuat keputusan itu selepas peguam pempetisyen Mohd Akmal Kamaruddin tidak hadir ke mahkamah.
Rayuan itu ditolak dengan kos RM20,000.
Mahkamah itu turut menetapkan 23 Disember ini untuk memutuskan petisyen pilihan raya bagi kawasan Parlimen Bagan Datoh, Sungai Besar, Tapah dan kerusi Dewan Undangan Negeri Lubok Merbau. -BERNAMA

Bekas Pengerusi NFCorp Dipanggil Semula Beri Keterangan

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail akan dipanggil semula untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes tipu ahli perniagaan Datuk Shamsubahrin Ismail membabitkan wang berjumlah RM1.755 juta.
Hakim Mahkamah Sesyen Rozilah Salleh membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pembelaan untuk memanggil semula Mohamad Salleh mengikut Seksyen 162 Kanun Tatacara Jenayah.
Mahkamah menetapkan 20 Februari tahun depan untuk mendengar keterangan beliau.
Terdahulu, peguam Kamarul Hisham Kamaruddin memaklumkan pihaknya akan menyoal balas saksi ke-42 itu berhubung peranan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang namanya disebut dalam kelima-lima pertuduhan terhadap Shamsubahrin.
Pada 26 November lepas, Rozilah meminda lima pertuduhan itu mengikut Seksyen 158 Kanun Tatacara Jenayah dengan memasukkan nama Dr Mahathir apabila memutuskan Shamsubahrin perlu membela diri terhadap pertuduhan menipu itu selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Shamsubahrin didakwa menipu iaitu menjanjikan suatu perkhidmatan rundingan dan nasihat dengan menyatakan dia disuruh Dr Mahathir bagi membantu Mohamad Salleh serta menawarkan untuk menjalankan kerja-kerja konsultan bernilai RM2.75 juta sehingga mendorong Mohamad Salleh bersetuju membayar wang perkhidmatan kepadanya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Sid's Pub di H2, Taman Tunku, Off Langkat Tunku di sini pada 6 petang 20 November 2011 mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pindaan kedua hingga kelima, Shamsubahrin didakwa menipu iaitu secara tidak jujur memujuk Mohamad Salleh dengan menyatakan dia disuruh Dr Mahathir membantu dan menawarkan untuk melakukan kerja-kerja konsultan.
Perbuatan itu mendorong Mohamad Salleh menyerahkan empat keping cek yang kesemuanya bernilai RM1.755 juta dan mempercayai sebahagian daripada wang itu adalah untuk bayaran perkhidmatan rundingan, nasihat serta diberi kepada pegawai polis di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Perdana bagi menutup kes yang sedang disiasat berkaitan NFCorp.
Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di beberapa bank di Taman Tun Dr Ismail; Kuala Lumpur City Centre (KLCC); dan Petaling Jaya antara 25 Nov dan 5 Disember 2011.
Shamsubahrin didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, denda dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Dia juga diperintah membela diri terhadap 17 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM1.755 juta mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. -BERNAMA

Monday 9 December 2013

Edar Dadah: Warga Nigeria Terlepas Hukuman Gantung

PUTRAJAYA: Seorang warga Nigeria terlepas hukuman gantung sampai mati apabila dia dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan daripada pertuduhan mengedar 707.5 gram dadah jenis methamphetamine.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Azahar Mohamed sebulat suara membenarkan rayuan Nolose Albert Raleshome untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman mati terhadapnya selepas didapati bersalah.
Panel itu turut dianggotai Datuk Rohana Yusuf dan Datuk Zakaria Sam.
Dalam penghakimannya, Azahar berkata mahkamah berpendapat keterangan lisan ahli kimia Muzaiyanah Mohd Kaprawi berhubung analisis yang dilakukan terhadap dadah berkenaan adalah bercanggah dengan laporan yang disediakan beliau.
Oleh itu, beliau berkata hakim Mahkamah Tinggi gagal memberi penilaian maksimum terhadap keterangan saksi berkenaan. Justeru, Azahar berkata pendakwaan gagal membuktikan prima facie dalam kes terhadap Raleshome, 34, dan Mahkamah Tinggi sepatutnya membebaskan tertuduh.
Raleshome didakwa melakukan kesalahan itu di parkir Medan Selera 118 di Taman Len Seng, Cheras pada 12 tengah hari 30 Disember 2010.
Penghakiman dalam kes itu dipercayai merupakan satu 'landmark' berhubung keterangan ahli kimia.
Tertuduh diwakili peguam Karpal Singh dan Zaleha Al-Hayat manakala Timbalan Pendakwa Raya Munahyza Mustafa bagi pendakwaan.-BERNAMA

Kes Bunuh Pengasas Ambank Dipindah Ke Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini, Isnin memindahkan kes bunuh pengasas Kumpulan Perbankan Arab-Malaysian (AmBank)Hussain Ahmad Najadi yang ditembak di tempat letak kereta pada Julai lepas, ke Mahkamah Tinggi.
Majistret Erry Shahriman Nor Aripin juga memindahkan kes cubaan membunuh isteri pengasas itu, Cheong Mei Kuen, 49, ke mahkamah sama.
Bagaimanapun tiada tarikh ditetapkan.Erry Shahriman membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwa raya supaya kedua-dua kes itu dpindahkan ke Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 177A dan Seksyen 418A Kanun Acara Jenayah.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata pihaknya memohon kes cubaan bunuh isteri pengasas dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, walaupun itu biasanya dibicarakan di Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen 418A Kanun Acara Jenayah.
Pada 3 Oktober lepas, penarik kereta Koong Swee Kwan didakwa terhadap pertuduhan membunuh pengasas itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati.
Koong, 44, turut berdepan pertuduhan cubaan membunuh isteri mangsa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun, jika sabit kesalahan.Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta Tokong Cina Kuan Yin No. 4 Lorong Ceylon, Daerah Dang Wangi, di sini pada 1.30 tengah hari hingga 2 petang, 29 Julai lepas.
Dalam kejadian itu, Hussain, 75, maut manakala isterinya cedera parah setelah ditembak dari jarak dekat di kawasan parkir kereta sejurus keluar dari tokong berkenaan selepas berunding mengenai urusan perjanjian tanah. -BERNAMA

Mahkamah Tinggi Tetapkan 24 Januari Pengurusan Kes Bunuh Pegawai AmBank

La Ode dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin, selepas mahkamah menetapkan 24 Januari 2014 sebagai tarikh pengurusan kes itu.
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 24 Januari sebagai tarikh pengurusan kes warga Indonesia, La Ode Ardi Rasila yang didakwa membunuh pegawai AmBank, Norazita Abu Talib.
Pendaftar Mahkamah Tinggi, Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli menetapkan tarikh itu selepas kes berkenaan disebut dihadapannya pagi Isnin.
Pada 19 November lalu, warga Indonesia berusia 36 tahun itu didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas tuduhan membunuh Norazita, sekali gus menamatkan buruan terhadap suspek dalam kes tersebut.
Norazita, 37, maut selepas ditembak di muka menggunakan senjata jenis pump gun di AmBank cawangan USJ Sentral, Subang Jaya pada 23 Oktober lalu.
Peguam S.Selvi yang mewakili tertuduh ketika ditemui, berkata persetujuan untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi telah diperolehi.
Tarikh perbicaraan, bagaimanapun, belum ditetapkan.